Ledak 2 Gol, Jafri Firdaus Chew Jumpa ‘Tune’ Balik Lepas Kahwin?

Jafri Firdaus Chew ledak gol persahabatan 2021 penang fc

Dalam aksi persahabatan Penang FC yang berlangsung malam tadi, bekas pemain muda negara, Jafri Firdaus Chew ledak dua gol seterusnya membantu skuad Harimau Kumbang menang 4-0 ke atas Kelantan United.

Sudah agak lama kita tidak melihat Jafri Firdaus Chew meledak gol – kali terakhir pada April lalu ketika menewaskan Sri Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super. Beliau juga sudah agak lama tersisih daripada beraksi dengan hanya empat penampilan dan merekodkan 71 minit permainan sahaja sepanjang musim ini.

Beliau bukanlah kegemaran di kalangan penyokong Penang FC dengan ramai mempersoalkan kehadirannya dalam skuad kendalian Tomas Trucha pada musim ini. Ini kerana, sepanjang musim 2020, beliau tidak beraksi.

Pemain yang berusia 24 tahun itu pernah menyinar bersama skuad bawah umur negara dalam saingan antarabangsa, namun entah di mana silapnya, beliau hilang rentak sebaik sahaja beraksi di saingan liga.

Musim 2020 adalah paling malang dalam karier bola sepaknya apabila beliau yang baru sahaja diumumkan menyertai Kedah Darul Aman FC, akhirnya dilepaskan semula sebelum sepak mula saingan musim 2020. Mungkin inilah punca beliau hilang seketika daripada peta bola sepak Malaysia sepanjang tahun tersebut.

Dan untuk musim ini, beliau juga mencipta sensasi tersendiri. Terjahan kerasnya ke atas pemain Kedah, Rabih Ataya dalam aksi Liga Super menjadi bualan ramai, malah ramai yang tampil mengkritik terjahan kerasnya.

Permainannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat agak keras dan berada di luar kotak pemikiran para penyokong. Ia turut mengundang layangan kad, sama ada kuning atau mungkin boleh menerima kad merah seterusnya akan menyusahkan rakan sepasukan yang sedang bekerja keras bermain di dalam padang.

Adakah beliau sedang melempiaskan rasa kurang berpuas hati apabila jarang diturunkan untuk beraksi? Atau kini beliau sudah kekok untuk beraksi dengan lebih baik dan mengembalikan zaman kegemilangannya ketika di usia muda pada satu ketika dahulu? Jawapannya hanya ada pada penyerang kelahiran Pulau Pinang itu sendiri.

Pada 15 Oktober lalu, Jafri Firdaus Chew menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hatinya, Nurnilam Sari.

Dan kira-kira seminggu selepas itu, Jafri Firdaus Chew kembali menemui sentuhan jaringan. Walaupun ia hanyalah sekadar aksi persahabatan, itu sudah cukup untuk menambah keyakinannya sebagai penyerang.

Penang FC hanya bergantung kepada penyerang tunggal, Casagrande dalam hampir semua perlawanan liga musim ini dan adakalanya, Sheriddin Boboev atau pemain pinjaman dari KL City, Azim Rahim akan beraksi.

Dengan kembalinya sentuhan jaringan Jafri Firdaus Chew ini, mungkin ia akan menambah pilihan penyerang buat pengendali, Tomas Trucha untuk saingan Piala Malaysia 2021, disamping persediaan untuk musim depan. Jom kita saksikan highlight persahabatan Penang FC menentang Kelantan United, malam tadi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply