Lazio: Tawaran Kurang Dari RM479 Juta Untuk Milinkovic-Savic Tidak Dilayan

Milinkovic-Savic

Kelab Itali sedia untuk berbincang dengan mana-mana pasukan yang mahukan pemain tengahnya, Sergej Milinkovic-Savic apabila pintu perpindahan dibuka tidak lama lagi.

Bagaimanapun, menurut laporan Bein Sports, Pengarah Sukan Lazio, Igli Tare berkata kelab itu tidak akan sesekali menurunkan tanda harga pemain tengah Serbia itu sekalipun kebanyakan kelab berdepan dengan kekangan kewangan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.

Kehebatan dan kemahiran teknikal yang Pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab besar Eropah seperti Juventus, Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United.

Lazio telah beberapa kali menegaskan pihaknya tidak akan melepaskan Milinkovic-Savis dengan harga kurang dari €100 juta dan Tare percaya implikasi kewangan disebabkan krisis COVID-19 tidak terkesan kepada pasaran ‘pemain kelas pertama’ seperti pemain tengahnya itu.

“Jika tiada kelab yang mampu beli dengan harga itu, kita tak perlu pun menjualnya sekarang,” kata Tare kepada Sky Italia.

“Saya tak nafikan ada perubahan besar kepada pasaran perpindahan disebabkan pandemik ini, tapi ianya hanya berlaku sekali sahaja dalam kehidupan kita, jadi ia bukanlah satu kesan untuk jangka masa panjang. Kita perlu menjadi lebih kreatif dalam memastikan perancangan kelab dapat dilaksanakan untuk sekarang dan akan datang.

“Saya juga percaya, harga untuk pemain yang mempunyai reputasi tinggi tidak akan jatuh, tidak seperti mana pemain yang sederhana, mungkin harga ada penurunan nilai harga mereka.

“Jika ada kelab yang berminat untuk mendapatkannya, kami akan pertimbangkan, jika tidak ada yang mampu membayar harga yang kami minta, kami gembira dia boleh terus kekal di sini.”

Tare kemudian mengesahkan Lazio akan mengumumkan ketibaan pemain Argentina, Gonazalo Escalante tidak lama lagi selepas rundingan bersama kelab Sepanyol, Eibar selesai dalam masa terdekat.

“Escalante adalah pemain yang mempunyai pengalaman luas dan wataknya sesuai dengan falsafah dan corak permainan di Lazio.”

Lazio kini sedang mengekor rapat pendahulu Serie A, Juventus dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan ketika 12 perlawanan lagi berbaki.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Lazio dan Serie A:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply