Lazio Dakwa Ada Konspirasi Jahat Mahu Jatuhkan Mereka

Lazio mendakwa terdapat pakatan atau pun konspirasi untuk menjatuhkan mereka setelah pengadil gagal menganugerahkan penalti kerana bola terkena tangan pemain Torino di dalam kotak penalti, sebelum Ciro Immobile dilayangkan kad merah beberapa minit selepas itu.

Ciro Immobile dilayangkan kad merah setelah dikatakan menanduk pemain pertahanan Torino, Nicolas Burdisso pada lewat separuh masa pertama.

Torino kemudian menggunakan kelebihan pemain yang ada untuk menewaskan Lazio buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun. Torino berjaya menjaringkan gol dalam tempoh 19 minit pertama selepas babak kedua bermula, sebelum Luis Alberto merapatkan kedudukan dengan jaringan ada minit ke-69 perlawanan.

(Photo by Giuseppe Maffia/NurPhoto via Getty Images)

Simone Edera kemudiannya melengkapkan kemenangan 3-1 Torino, sekaligus menafikan kebangkitan Lazio yang cuba mencari gol penyamaan sebelum itu.

Tetapi selepas memerhatikan ulang tayang video insiden membabitkan Immobile dan panggilan untuk penalti apabila bola terkena tangan Iago Falque, menyebabkan pemain Lazio tidak berpuas hati ketika dan selepas perlawanan tamat.

“Mungkin ada pihak tidak gemar melihat Lazio berada di kedudukan empat teratas liga. Sukar untuk mempercayainya. Sangat jelas bahawa sepakan penalti harus diberikan,” ujar pemain tengah Lazio, Luis Alberto kepada Mediaset Premium pada waktu rehat separuh masa.

“Anda tidak boleh bermain bola seperti ini. Perkara sebegini telah berlaku dalam beberapa perlawanan membabitkan Lazio. Ada yang tidak mahu kami berada di kedudukan empat teratas.”

“Ini membuatkan kami lebih lagi mahu mencari kemenangan. Kami akan keluar pada separuh masa kedua dan akan menang perlawanan ini,” kata Alberto.

(Photo by Paolo Bruno/Getty Images)

Malang sekali buat Luis Alberto, kemenangan tidak memihak kepada Lazio dalam perlawanan tersebut.

Pengurus Lazio, Simone Inzaghi turut berkata bahawa perlawanan tersebut sudah pun ditentukan terlebih dahulu oleh pengadil, dan pasukannya telah menjadi mangsa skandal penipuan.

Inzaghi berkata:

“Berdasarkan pemerhatian kita, ia sangat jelas dalam kedua-dua insiden. Kami boleh menganalisis perlawanan untuk babak pertama perlawanan. Tetapi di separuh masa kedua, ia telah ditentukan oleh pengadil, dan bagaimana mereka memanipulasikan VAR.”

“Kami sepatutnya bermain lebih baik pada separuh masa pertama. Kami memiliki beberapa peluang, begitu juga dengan Torino. Kami mempunyai keyakinan untuk mencatat kemenangan.”

(Photo by Paolo Bruno/Getty Images)

“Namun untuk beberapa minggu secara berturut-turut, beberapa insiden meragukan menyebabkan anda rasa seolah ditipu. Ia bukan sekadar satu insiden. Tetapi melibatkan beberapa siri insiden yang menyebabkan anda berfikir demikian.”

“Perbincangan dengan pemain pada waktu rehat separuh masa dalam perlawanan tersebut, adalah antara yang paling sukar sepanjang karier kejurulatihan saya. Ia adalah kerana sukar untuk saya menafikan kejadian tersebut di hadapan pemain.”

“Kami sepatutnya mendahului selepas 45 minit perlawanan. Namun selepas beberapa insiden, ia akan menyebabkan keadaan menjadi sukar. Tiga kali saya cuba menenangkan pemain selepas kejadian di atas padang. Untuk kali keempat, ia sudah menjadi sangat sukar.”

Pengarah Lazio, Igli Tare lebih berterus terang akan nasib yang dialami oleh pasukannya dengan mendakwa pasukannya seolah-olah disabotaj dan mereka wajar untuk mendapatkan penjelasan daripada penjelasan yang diperolehi daripada rakaman VAR.

(Photo by Matteo Ciambelli/NurPhoto via Getty Images)

“Kami mahukan penjelasan bagaimana rakaman VAR ini ditafsir. Lazio sangat jelas seperti dianiaya. Kami bukannya mencuri untuk berada di tahap ini. Pasukan ini bermain dengan baik untuk mendapatkan mata mereka.”

“Kami mahu mengawal nasib kami sendiri tanpa pihak lain yang berkuasa mengubah perlawanan seperti ini. Malam ini, ia adalah jelas sebuah skandal. Malah ia lebih besar daripada sebuah skandal.”

“Semua orang boleh melihat rakaman perlawanan dan VAR yang membabitkan insiden penalti itu. Tetapi akhirnya Immobile menjadi mangsa, walaupun Burdisso sudah memberitahu pengadil bawaha Ciro langsung tidak menyentuh beliau.”

“Buat masa sekarang, kami perlu bertenang, walaupun ia adalah sukar. Perlawanan ini adalah peluang keemasan untuk Lazio berada di posisi yang lebih baik di dalam liga.”

“Torino layak memenangi perlawanan pada separuh masa kedua kerana berhadapan dengan 10 pemain. Hari ini Lazio disabotaj, dan kami hanya mahu hak kami dihormati.”

(Photo by Matteo Ciambelli/NurPhoto via Getty Images)

“Di dalam bola sepak, kesilapan itu adalah perkara biasa. Tidak mengapa jika ia berlaku sekali atau dua kali. Tetapi jika ia menjadi kebiasaan, maka jelas kita ada masalah di sini.”

Kekalahan tersebut menyaksikan Lazio kekal berada di kedudukan ke-5, lapan mata di belakang pendahulu Inter Milan selepas mengharungi 15 perlawanan pada musim ini.

Walaupun merujuk kepada wujudnya konspirasi dan skandal yang sengaja menjatuhkan Lazio, tidak ada pihak dari Lazio menyatakan siapa yang bertanggungjawab terhadap nasib malang yang menimpa kelab tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN