Laporta Pernah Berharap Messi Sudi Bermain Secara Percuma Untuk Kekal Di Barcelona

Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata beliau sentiasa berharap Lionel Messi akan terus kekal bersama Barcelona dan bersetuju bermain untuk kelab itu secara percuma.

Penyerang Argentina itu adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, meninggalkan Barcelona untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu.

Bercakap kepada sebuah stesen radio di Sepanyol, ESports RAC1, Laporta dipetik sebagai berkata: “Saya amat sayangkan beliau [Messi] sehingga tidak boleh marah. Tetapi ada masanya anda akan sedar ada perkara sememangnya tidak akan berlaku, dan akhirnya akan ada kekecewaan di kedua-dua belah pihak.

“Ada keinginan untuk beliau terus kekal, begitu juga tekanan daripada tawaran yang beliau perolehi. Beliau sudah tahu dirinya akan ke PSG jika tinggal di sini.”

“Beliau akan dikenali sebagai pemain terbaik sepanjang zaman di Barcelona dan saya mahu ia kekal begitu. Setiap perkara menunjukkan beliau telah ditawarkan kontrak dari PSG sebelum meninggalkan Barcelona. Dan kami tahu ia adalah kontrak yang besar.

“Apa yang saya harapkan ialah beliau berubah hati dan berkata; ‘Saya akan bermain secara percuma’. Pada pendapat saya La Liga harus menerima perkara itu, tetapi kami tidak boleh bertanya soalan sebegitu kepada pemain dengan status seperti Messi.”

Tidak dapat dipastikan sekiranya Messi dibenarkan terus kekal di Barcelona sekiranya sanggup bermain secara percuma kerana ia perlu mendapat kelulusan La Liga disebabkan masalah perundangan.

Kontrak Messi sebelum itu bernilai €40 juta semusim, dan menjadi salah satu punca kewangan Barcelona menanggung beban.

Pada Rabu lalu, CEO Barcelona, Ferran Reverter mendedahkan kelab tersebut secara teknikal sudah muflis pada awal tahun ini.

Barcelona merekodkan kerugian berjumlah €481 juta pada tahun lalu, dan turut dibebani hutang dibebani hutang berjumlah €1.35 billion.

Prestasi semasa di dalam padang juga tidak ketentuan sejak ketiadaan Messi. Pengendali dari Belanda, Ronald Koeman kini berhadapan dengan tekanan, dan pasukan kendaliannya itu berada di keduduka  kesembilan di dalam La Liga – di belakang kelab yang lebih kecil seperti Osasuna dan Rayo Vallecano.

Barcelona juga melalui permulaan terburuk mereka di pertandingan Champions League, selepas tewas dua perlawanan pertama setakat ini kepada Bayern Munich dan Benfica, masing-masing dengan jaringan 3-0.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply