Laporan Sidang Media Perlawanan Akhir Piala FA 2017

Perlawanan Akhir Piala FA 2017 menemukan pasukan Pahang dan Kedah di Stadium Shah Alam. Sepak mula akan diadakan pada jam 9 malam, Sabtu, 20 Mei 2017.

Satu sidang media telah diadakan bertempat di Bilik Media, Stadium Shah Alam petang tadi. Wakil kami sempat hadir untuk mendapatkan perkembagan dan persiapan akhir kedua-dua buah pasukan.

Ikutilah rangkumannya.

Kedah FA

Menariknya bagi pasukan Kedah, mereka dikendalikan oleh jurulatih sementara, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff.

Muhammad Nidzam Adzha Yusoff mengambil alih sebagai pengendali Kedah setelah ketua jurulatih terdahulu, Tan Cheng Hoe menerima tawaran pembantu jurulatih skuad kebangsaan.

Menjawab soalan wartawan, Nizam menyatakan tidak ada tekanan untuk beliau dan Kedah untuk muncul juara. Faktor pengalaman Dollah Salleh yang diperbandingkan dengan beliau juga bukan isunya. Perlawanan akhir adalah pentas berbeza.

Nizam turut membayangkan untuk menggunakan corak dan taktikal yang hampir serupa untuk perlawanan akhir bertemu Pahang esok.

Sidang media pasukan Kedah.

Walaupun yakin dengan keupayaan Lang Merah, beliau tetap percaya bahawa peluang kedua-dua buah pasukan adalah 50-50.

Saya cuma menyambung apa yang ditinggalkan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe. Alang-alang dah sampai sejauh ini, kita turun untuk menang”, ujar Nizam ketika menjawab soalan wartawan berkenaan keyakinan dan perasaannya untuk perlawanan esok.

Kapten Kedah, Khairul Helmi juga turut senada dengan jurulatihnya. Rakan-rakan sepasukan berada di tahap moral terbaik untuk final yang akan berlangsung esok.

“Mereka tampak dalam keadaan ceria dan fokus. Selain itu, rakan-rakan juga menunjukkan kesungguhan dan disiplin ‎pada sesi latihan kelmarin,” kata beliau.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Pengurus Kedah FA, Dato’ Jeffrey Low Hang Chow. Menjawab soalan wartawan berkenaan kemungkinan Nizam akan dilantik ke jawatan Ketua Jurulatih, ini jawapan beliau:

“Pemain-pemain selesa dengan Nizam. Buat masa ini beliau akan mengendalikan pasukan Kedah sehingga ke akhir musim. Kemudian kita akan lihat.”

“Dilantik sebagai ketua jurulatih atau tidak, Nizam akan tetap bersama kami. Beliau mempunyai kontrak bersama Kedah FA sehingga 2018,” ujar beliau.

Pahang FA

Bagi kem pasukan Pahang, ketua jurulatih Dollah Salleh dan kapten pasukan, Matthew Davies tampak yakin dan santai ketika sesi bertemu media.

Ditanya mengenai pemain import yang baru sahaja menyertai skuad Tok Gajah, Dollah nyata yakin dengan ayam tambatan barunya itu.

” Yamil Romero memiliki pengalaman bermain di tahap tertinggi. Dia tampak “ok” ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

“Bagaimanapun beliau mungkin belum cergas sepenuhnya kerana baru sahaja menyertai kami. Tetapi, saya yakin beliau boleh menyumbang sesuatu dalam perlawanan akhir esok”, kata Dollah.

Sidang media pasukan Pahang.

Menjawab soalan daripada Semuanya BOLA, adakah beliau mempunyai perancangan taktikal yang khusus untuk mengelakkan kekalahan 4-1 di Alor Setar pada awal musim daripada berulang , ini jawapan beliau:

“Pada waktu itu, pemain belum lagi serasi sesama sendiri. Persefahaman belum lagi mantap. Saya pun baharu saja menyertai Pahang. Perlawanan esok juga adalah pentas yang berbeza.”

“Saya cuma mengharapkan satu perlawanan menarik ditampilkan kedua-dua buah pasukan,” ujar Dollah dengan yakin.

Matthew Davies juga menharapkan beliau dan rakan sepasukannya tidak gugup ketika aksi perlawanan akhir esok.

Ditanya mengenai perasaannya untuk memimpin barisan kesebelasan Pahang, ini jawapan beliau:

“Saya gementar, saya juga teruja untuk menanti perlawanan ini. Sudah tentu sebagai kapten yang masih muda, saya mahu menjulang piala tersebut. Ini adalah pengalaman baharu untuk saya,” ujar Davies.

Rumusan

Baik Lang Merah mahupun Tok Gajah, kita pasti ingin menyaksikan aksi perlawanan akhir yang menarik di antara kedua-dua pasukan.

Bagi anda yang ingin mengikuti siaran secara langsung secara “Live Text”, jangan lupa! Kami akan bersiaran langsung, eksklusif kepada anda hanya dari Semuanya BOLA.

Buat Pahang dan Kedah, selamat maju jaya daripada kami. Kita jumpa di Stadium Shah Alam esok!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN