Keputusan & Laporan Matchweek 2: Playoff Selangor Champions League 2017

Kumpulan B: SA United 0-1 AZS FC

Disebalik jangkaan komuniti bola sepak amatur yang memihak kepada SA United berikutan persembahan cemerlang mereka ketika menang 5-2 menentang SKJ SC tempohari, SA United tumbang 0-1 kepada AZS FC dalam aksi kumpulan B playoff Selangor Champions League.

Perlawanan berlangsung di Padang Taman Johan Setia, Klang petang Sabtu lepas.

AZS FC – pasukan yang menduduki tangga ke-3 KVL Cyberjaya pada musim lepas – tampil memberikan persembahan defensif yang cemerlang untuk menafikan jentera serangan SA United yang tumpul ketika bermain dalam cuaca panas terik.

Pujian istimewa harus diberikan kepada penjaga gol mereka, Khairil Asyraf yang menafikan sekurang-kurangnya 3 peluang jelas SA United untuk menjaringkan gol.

Dalam 10 minit pertama perlawanan, SA United jelas dominan, terutamanya dalam aspek penguasaan bola. Bagaimanapun tempo hantaran mereka terlalu perlahan dan mudah dipatahkan oleh jentera pertahanan AZS FC.

Sekali-sekala, AZS mengancam – terutamanya melalui hantaran-hantaran diagonal kapten, Faizal Abd Rahman ke 2 penyerang sayap mereka, Fakhrul Zaman dan Rostam Osman. Tetapi seperti SA United sendiri, tempo hantaran AZS di zon final third terlalu perlahan dan mudah dipatahkan pertahanan.

Separuh masa pertama berakhir 0-0.

Pada separuh masa kedua, lain pula ceritanya. Kali ini AZS pula mendominasi 10 minit pertama. Dengan kedua-dua pemain sayap AZS berkali-kali menewaskan bek kiri dan kanan SA United, jentera pertahanan menjadi kelam-kabut – hingga banyak memberikan fouls di kawasan bahaya.

Dan ketika inilah AZS mula menghukum SA United. Berpunca daripada foul yang dilakukan oleh pemain SA United sendiri, Mohd Arif melepaskan misil sepakan percuma yang padu yang sempat ditepis penjaga gol SA United, Zulazry Sulaiman – tetapi terlalu kuat untuk diselamatkan sebelum melepasi garisan gol.

Gol tersebut merupakan tamparan besar buat SA United. SA United 0-1 AZS.

Pasukan dari Shah Alam ini cuba bangkit selepas itu. Paling mengancam adalah penyerang sayap kiri mereka, Mohamed Ahmed yang beberapa kali mencipta peluang.

Tetapi kegagalan Naim Mukhtar dan Wan Khairil Azwa untuk memanfaatkan hantaran-hantaran lintang dari Mohamed Ahmed kerap kali mengecewakan pengurus mereka, Nadzry Abu Bakar.

Malah pemain terbaik perlawanan SA United ketika kemenangan 5-2 ke atas SKJ SC pada minggu lepas, Khairi Youssef juga tenggelam dalam perlawanan ini.

Dalam temuramah selepas perlawanan, Nadzry tidak menafikan kegagalan penyerangnya untuk menyudahkan peluang adalah salah satu punca kekalahan mereka semalam. “Bola sepak memang kejam. Walaupun kita mendominasi perlawanan, kalau kita tak jaringkan gol, kita patut kalah.”

Dengan 1 kemenangan dan 1 kekalahan, SA United perlu berharap SKJ SC menewaskan AZS pula dalam matchweek 3 nanti untuk layak melalui kelebihan perbezaan gol.

Laporan disediakan oleh: Muzammil, Chief Editor Semuanya BOLA

Kumpulan C: FC Serayan 3-0 Real Mawar

* Ralat grafik:

FC Serayan 3 – 0 Real Mawar
Gol – 26′ Amirul Fareez
Gol – 30′ Amirul Fareez
Gol – 70′ Shaza Badri

Real Mawar tidak cukup durinya untuk menandingi kekuatan pasukan FC Serayan setelah tewas 3-0 dalam aksi kumpulan C playoff Selangor Champions League yang berlangsung di Padang Taman Johan Setia, Klang petang Sabtu lepas.

Real Mawar yang merupakan second runner-up bagi Setia Alam Munro League dipilih untuk menggantikan ZXiV yang menarik diri di saat-saat akhir.

Pemain tengah mereka, berjersi nombor 7, Syed Mohd Shazmer pada 10 minit pertama kelihatan selesa mengawal bola di bahagian tengah namun, lama-kelamaan hilang dari permainan.

“Pemain nombor 7 kami, Shazmer, memang kami panggil dia Messi, pemain yang bijak mengawal bola tetapi sayangnya kurang fit sedikit untuk bermain sebab sudah lama tak bermain” kata rakan pasukannya Khairul Hakimi yang bermain di posisi pertahanan.

Real Mawar juga tidak menafikan bahawa kekangan masa untuk membuat persiapan untuk perlawanan minggu ini memang memberi impak kepada persembahan Real Mawar.

FC Serayan pula, ingin bangkit semula setelah tewas kepada PIB minggu lalu telah membuktikan mengapa mereka adalah juara JES League musim 2017.

Penyerang Serayan, Amirul Fareez merupakan pemain paling cemerlang setelah menjaringkan 2 gol, gol pertamanya pada minit ke-26 dan meletakkan serayan di tempat yang selesa dengan gol keduanya pada minit ke-30.

Gol keduanya yang cantik dan kawalan yang kemas me-lob bola di luar jangkauan penjaga gol Real Mawar.

Separuh masa pertama berakhir 2-0

Serangan demi serangan dibuat oleh Serayan yang cuba untuk mencari sebanyak mungkin jaringan untuk mengurangkan defisit kekalahan minggu lalu.

Beberapa peluang dibuang begitu sahaja oleh pemain Serayan termasuklah satu cubaan yang terkena palang dan beberapa peluang 1 vs 1 yang diselamatkan oleh penjaga gol Real Mawar.

Akhirnya, gol ketiga mereka hadir pada minit ke-69, satu minit sebelum tamat perlawanan. Gol ketiga Serayan dijaringkan oleh penyerang mereka Shaza Badri hasil dari hantaran sudut dari kanan gol Real Mawar.

FC Serayan 3-0 Real Mawar

Pengurus FC Serayan berasa bangga dengan persembahan pemainnya namun percaya pasukannya sepatutnya menjaringkan lebih dari tiga gol tersebut kerana memiliki banyak peluang-peluang keemasan untuk menggandakan jaringan mereka.

“Saya tak tahu kenapa tapi pemain seperti terkaku di depan gol, masih bermain di depan-depan gol, pemain macam kena rasuk kali ni” kata En. Izzudin, pengurus FC Serayan.

Pengurusnya turut memuji pemain terbaik perlawanan, saudara Amirul Fareez yang menjaringkan 2 gol untuk membantu Serayan menewaskan Real Mawar. Amirul Fareez mampu membuat gerakan yang pihak lawan tidak tahu”.

FC Serayan sekarang hanya mampu menunggu keputusan-keputusan perlawanan lain sekarang untuk cuba melayakkan pasukan mereka ke SCL2017

Laporan disediakan oleh: Izrin Nabil, Sportseeker

Kumpulan A: Qharma FC 1-1 Condoh FC

Perlawanan di antara Qharma dan Condoh dinobatkan sebagai El Clasico oleh Aizat Armada Bola kerana rivalry yang wujud di antara mereka setelah bertemu di kejohanan-kejohanan lain.

Qharma yang telah menewaskan Rasta Tigers minggu lalu cuba untuk mendapatkan kemenangan kedua mereka untuk terus melayakkan diri ke SCL2017. Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan kelihatan setanding dan hanya mampu seri 1-1.

Secara keseluruhannya, Qharma memang bola lebih lama berbanding Condoh dengan possession sebanyak 54% berbanding 46% miliki Condoh.

Namun, pada separuh masa pertama, Condoh berjaya mengawal permainan dengan menghadkan serangan-serangan Qharma.

Antara pemain Condoh yang menonjol semalam adalah penyerang Condoh, Muhd Faizzuddin yang bnanyak membuat larian-larian penting untuk mengelirukan pertahanan Qharma ditambah lagi dengan kawalan bola yang kemas.

Pemain nombor 4 Condoh, Syafiq Khor, turut bermain dengan baik sekali dan menjaringkan satu-satunya gol Condoh pada minit yang ke-25. Jaringnya adalah dari tendangan percuma yang melencong ke sudut kanan gol.

Nasih Condoh tidak bernasib baik apabila pemain pertahanan mereka keliru akibat serangan pemain sayap Qharma sehingga menyebabkan foul di dalam kotak penalti.

Pemain Qharma saudara Nurhakimi tidak membuat sebarang kesilapan ketika mengambil sepakan penalti untuk meletakkan kedudukan Qharma 1-1. kedua-dua pasukan mendapat beberapa peluang namun tidak berjaya membuat jaringan untuk pasukan masing-masing.

Peluang keemasan jatuh kepada Condoh pada saat-saat akhir perlawanan yang sayang sekali dihalang oleh palang gol.

Separuh masa pertama berakhir 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Condoh memiliki satu lagi perlawanan melawan Rasta untuk memastikan mereka layak ke SCl2017 jika mereka berjaya menewaskan Rasta lebih dari 3 gol.  

Laporan disediakan oleh: Izrin Nabil, Sportseeker

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN