Langkah Rodney Calvin Untuk Ke Alor Setar Tersekat, Kekal Di Selangor

Kerjasama Semuanya BOLA

rodney-celvin-akwensivie-selangor

Semalam, Selangor mengumumkan yang pertahanan tengah, Rodney Calvin akan kekal menyarung jersi Merah Kuning untuk saingan Liga Super musim depan.

Pertahanan berusia 23 tahun itu sebelum ini dikatakan mendapat tawaran daripada naib juara Liga Super 2020, Kedah untuk mewakili mereka, namun kini tampaknya khabar baharu ini bakal menoktahkan minat daripada Helang Merah.

Boleh dikatakan aset berharga buat Selangor dengan usianya yang masih muda, serta beraksi dalam lapan perlawanan musim lalu, masih banyak perkara yang Rodney Calvin boleh tawarkan. Dengan pemergian dua pemain benteng tengah, Taylor Regan dan Nicholas Swirad, Selangor tidak seharusnya kehilangannya pula.

Memulakan kariernya di Sarawak, Rodney Calvin yang merupakan pemain kacukan Malaysia-Ghana, telah berhijrah ke Selangor pada musim lalu selepas menjadi tonggak penting PKNS FC (kini Selangor 2) untuk dua musim pada 2017 dan 2018.

Bersama Taylor Regan, beliau boleh dikatakan tonggak penting di bek tengah serta berjaya mengetepikan pemain yang lebih berpengalaman seperti Nicholas Swirad. Disebabkan itu, mungkin Selangor masih memerlukannya sebagai pemain yang lebih berpengalaman di benteng untuk menghadapi saingan musim hadapan.

Semasa di bawah kendalian pengendali sementara iaitu Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor, Michael Feichtenbeiner, beliau tetap menjadi pilihan utama dan khidmatnya ditagih dalam tiga perlawanan di bawah pengendali itu.

Tawaran daripada Kedah hadir untuk beliau menggantikan pemain berpengalaman, Khairul Helmi Johari yang telah bersara sebaik musim 2020 melabuhkan tirainya. Kedah juga khabarnya akan kehilangan Irfan Zakaria, menjadikannya sebagai pilihan utama untuk mengambil alih posisi tersebut bersama Renan Alves.

Kedah yang juga kehilangan Shakir Hamzah yang tidak disambung kontraknya juga dilihat sangat-sangat memerlukan pemain yang memiliki pengalaman baik di Liga Malaysia. Begitupun, disebalik khabar Rodney Calvin telah kekal, terdapat juga cakap-cakap tidak rasmi yang mengatakan beliau akan dipinjamkan ke Kedah.

Namun, selagi tiada berita rasmi daripada pengurusan Selangor, boleh kita anggap yang Rodney Calvin akan menjadi nadi penting mereka untuk musim depan.

KREDIT FATURED IMAGE: SELANGOR FC

Baca lagi artikel mengenai Rodney Calvin dan Selangor:

Rodney Celvin: Penyokong Selangor Beri Aura & Semangat Luar Biasa

K. Rajagopal: “Panggilan Untuk Negara Lebih Penting Untuk Rodney & Firdaus”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram