Lampard Tetap Hormat Mourinho Walaupun Tewaskan Pasukan Kendaliannya

Pengurus Chelsea, Frank Lampard tetap menghormati rakan sejawatannya di Tottenham Hotspur iaitu Jose Mourinho walaupun selepas memperoleh kemenangan ke atas beliau.

Bercakap selepas memenangi perlawanan menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Premier League dengan jaringan 2-0, Lampard mengatakan beliau akan sentiasa menghormati Mourinho yang juga merupakan pengurus beliau sewaktu menjadi pemain.

“Untuk menentang pengurus yang saya cukup hormat sejak dari zaman saya bermain dan menang ke atasnya adalah satu perasaan yang cukup hebat.”

“Apa yang beliau telah lakukan kepada bola sepak dan juga kepada saya sebagai pemain tidak akan ubah rasa hormat saya kepada beliau, selamanya.”

Lampard menyatakan kepada media yang beliau dan Mourinho berkongsi semangat yang kompetitif dalam usaha untuk memenangi perlawanan semalam.

“Jose Mourinho ada berkata yang beliau cukup menyukai saya dan mahu menewaskan saya. Saya cukup memahami situasi itu dan kerana begitulah cara kami memandang perlawanan ini.”

Chelsea memenangi perlawanan menentang Tottenham Hotspur di Tottenham Hotspur Stadium dengan Willian menjaringkan kedua-dua gol.

Gol dari pemain Brazil itu jelas merentap hati penyokong tuan rumah kerana Willian sebelum ini hampir sekali menyertai Tottenham Hotspur sebelum berpindah ke Chelsea pada saat akhir.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram