Frank Lampard: Christian Pulisic Mampu Setanding Mane, Salah & Sterling

Christian Pulisic

Pengurus Chelsea, Frank Lampard meluahkan keyakinannya terhadap pemain sayap lincah, Christian Pulisic yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi sebaik sahaja pulih dari kecederaan.

Sebaik sahaja saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung pada pertengahan bulan Jun lalu, pemain kelahiran Pennsylvania itu memainkan peranan penting dalam membantu Chelsea mencatatkan rentak kemenangan bersih pada dua aksi liga.

Lebih menarik untuk diperkatakan pada kedua-dua perlawanan tersebut, Pulisic berjaya menjaringkan gol pertama buat Chelsea ketika menumpaskan Aston Villa dan Manchester City.

Selain daripada kejayaan Chelsea menundukkan Manchester Citu, kemampuan Pulisic dalam menggunakan kepantasan larian dimiliki sekaligus menyempurnakan peluang dengan begitu tenang untuk menewaskan penjaga gol, Ederson Moraes tempoh hari nyata menjadi buah mulut para penyokong The Blues pada ketika ini.

Sehubungan dengan itu, Lampard berpendapat pemain berusia 21 tahun itu mampu untuk mengikuti jejak langkah pemain-pemain bintang seperti Mohamed Salah, Sadio Mane dan Raheem Sterling yang memiliki keupayaan meledakkan jaringan dengan begitu cemerlang.

”Saya merasakan dia boleh menjadi seorang pemain yang ‘besar’,” ujar Lampard menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Kerana dia berjaya memecah masuk ke [liga] Jerman pada usia yang begitu muda dan dia datang kepada kami, harapan orang ramai makin meningkat tetapi kami harus mempertimbangkan usianya.”

”Tiada keraguan terhadap kualitinya dan anda juga boleh melihatnya. Dia sangat berminat untuk bekerja dan meningkat.”

”Dia begitu ‘lapar’ pada ketika ini berikutan kecederaan yang dialaminya sebelum ini. Dan sekiranya dia mahu untuk belajar, dia akan melakukannya, di dalam padang latihan dan bagaimana anda melihat persembahannya.”

”Dia perlu untuk melihat pemain yang dilihat di sekelilinya seperti Raheem Sterling, Sadio Mane dan Mo Salah yang mana berjaya menjaringkan banyak gol meskipun beraksi di posisi yang lebih ‘wide’.”

”Amat penting buatnya untuk memahami kerja yang perlu dilakukan olehnya kerana dia sememangnya mempunyai bakat untuk melakukan perkara tersebut [menjaringkan gol].”

”Dia perlu untuk mencuba dan sampai ke tahap itu dan saya gembira memilikinya pada ketika ini. Dia bekerja dengan keras pada setiap hari dan dia harus menetapkan pandangannya setinggi yang dia boleh letakkan,” tambah Lampard lagi.

Meskipun dibelenggu kecederaan pada musim pertamanya di London, Pulisic berjaya menjaringkan tujuh gol hasil 18 penampilannya dalam saingan EPL.

Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Christian Pulisic:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply