La Liga: Gol ‘Anugerah Puskas’ Benzema Pastikan Real Terus ‘Cucuk Rapat’ Barcelona

Salah satu gol yang dijaringkan Karim Benzema ketika pasukan Real Madrid menewaskan Valencia 3-0 pada awal pagi tadi mungkin menjadi salah satu gol tercantik dan layak untuk dicalonkan untuk Anugerah Puskas pada tahun ini.

Kemenangan selesa itu membolehkan Real Madrid terus merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Barcelona dengan perbezaan hanya dua mata selepas mengumpul 62 mata daripada 29 perlawanan.

Real Madrid terlebih dahulu dikejutkan dengan percubaan Rodrigo pada minit ke-15 yang terkena tiang. Lima minit kemudian, Rodrigo menyumbat gol buat pasukan pelawat, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil membuat semakan menerusi VAR.

Selepas sejam perlawanan berlangsung, Benzema meletakkan Real Madrid di hadapan dengan menyudahkan hantaran pendek Eden Hazard yang sebelum itu melakukan gerakan satu dua dengan Luka Modric.

Sentuhan pertama Marco Asensio yang masuk sebagai pemain gantian menghasilkan gol kedua Real dengan merembat masuk hantaran lintang Ferland Mendy dari sebelah kiri.

Benzema melengkapkan malam sempurna The Los Blancos di gelanggang sementara mereka, Estadio Alfredo Di Stefano dengan gol yang dihasilkan dengan teknik yang cukup luar biasa.

Selepas menerima hantaran Asensio, penyerang Perancis itu melembungkan bola dengan kaki kanannya sebelum melepaskan rembatan voli kencang menerusi kaki kiri tepat ke penjuru gol.

Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, pemain muda Valencia dari Korea Selatan, Kang-In Lee dilayangkan kad merah selepas mengasari Sergio Ramos.

“Kami sebenarnya bermula dengan baik, tetapi selepas Valencia berjaya mengawal permainan, kami tahun perlu lakukan sesuatu untuk mengubah corak permainan menjadi lebih rancak, dengan sebab itu kami menang dalam perlawanan ini,” ujar Asensio yang baru sahaja kembali dari kecederaan panjang.

“Saya rasa amat beremosi dan berpuas hati, di sebalik gol yang dijaringkan itu, saya telah berusaha keras untuk kembali beraski dan yang lebih penting kami berjaya mencapai kemenangan dan saya di sini bersedia untuk beraksi untuk semua baki perlawanan musim ini.

Asensio yang dilanda kecederaan lutut semasa aksi pra-musim pada musim panas lalu sebelum ini dijangka akan terlepas keseluruhan aksi musim ini. Bagaimanapun ada hikmahnya apabila saingan La Liga tertangguh akibat pandemik apabila beliau berpeluang untuk menyumbang kepada pasukan.

Kredit Foto: Bein Sports

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Real Madrid:-

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram