Quantcast

BERITA

KVL M4: Shah Alam Antlers Beri Perlima United Kekalahan Pertama

Aspirasi Perlima United untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu Klang Valley League (KVL) M4 tersekat seketika selepas tewas 1-2 kepada Shah Alam Antlers dalam aksi minggu ke-7 di KV Rhino Shah Alam semalam.

Shah Alam Antlers yang kecewa sekadar seri dalam 2 perlawanan sebelum ini bangkit dengan cemerlang menerusi gol terpantas liga musim ini. Salihan Jamil yang menerima bola di sebelah kanan membuat percubaan yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Syahiran ketika perlawanan baru berusia 30 saat.

10 minit kemudian, Antlers sudah pun dua gol di hadapan. Sepakan penjuru Salihan berjaya menemui kepala Syarifuddin Johan, sekali lagi menewaskan Syahiran.

Perlima kembali menguasai perlawanan selepas menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-17. Sepakan percuma kanan mereka berjaya menemui Faiz Ismail sebelum penyerang Perlima itu merembat jauh dari jangkauan Amirul Haziq.

Perlima mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-23. Hantaran lintang rendah dari kanan menemui Faiz sekali lagi yang tidak dikawal oleh sesiapa. Tetapi percubaannya tersasar ke tepi.

Antlers pula berpeluang menambah gol ke-3 pada minit ke-50. Salah faham pertahanan Perlima ketika berhadapan dengan hantaran lintang kanan menghadiahkan peluang kepada percubaan improvisasi Lukman Hakim. Bagaimanapun percubaan beliau hanya beberapa inci melewati palang.

Separuh masa kedua berlangsung dengan kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti dan keagresifan dalam pertarungan fizikal untuk memenangi bola. Perlima paling banyak memiliki bola. Tetapi penyudah mereka mengecewakan.

Tamat perlawanan, Antlers berjaya mempertahankan kelebihan satu golnya untuk menang. Perlima pula kehilangan momentum untuk mengejar pendahulu liga, AZE FC yang menang dalam perlawanan sebelumnya.