Kurniawan Kecewa Sabah Hadiahkan Perak Satu Mata Di Likas

Shahrel Fikry Park Tae-soo Perak Sabah Liga Super 2020

Beraksi di halaman sendiri, mendahului aksi dua kali, namun gagal menjinakkan Perak sedikit mengecewakan pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi minggu ke-4 CIMB Liga Super 2020.

Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-5 menerusi sepakan percuma jarak jauh Azzizan Nordin yang berhasil melemaskan penjaga gawang muda Perak, Nasrullah Aziz sebelum Shahrel Fikry menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Penyerang Sabah, Guy Gnabouyou kemudian berjaya memberikan semula kelebihan buat Sabah 10 minit kemudian sebelum percubaannya pada minit ke-37 ditangkap kemas oleh Nasrullah Aziz untuk menafikan gol kedua buatnya.

Dan akhirnya, bermula daripada sepakan percuma yang diambil Hafiz Ramdan, telah berjaya disudahkan dengan jaringan mudah oleh Shahrel Fikry pada minit ke-80 untuk membolehkan The Bos Gaurus mengikat keputusan 2-2 sehingga ke wisel penamat.

Beberapa perkara telah digariskan oleh pengendali berusia 43 tahun itu iaitu masalah komunikasi di barisan benteng dan bagaimana kegagalan untuk fokus sepanjang 90 minit mampu memusnahkan impian pasukan dalam satu-satu perlawanan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas perjuangan para pemain saya dan tahniah juga buat Perak kerana telah berjaya mengambil satu mata daripada kita,” ucap Kurniawan Dwi Yulianto ketika ditemui media sejurus perlawanan berakhir.

“Saya memang kecewa saat Perak berjaya menjaringkan gol. Mungkin masalah komunikasi di belakang kerana ada yang menganggapnya sebagai offside. Namun, itulah bola sepak,” ujarnya mengenai jaringan penyamaan Perak di hujung aksi.

Ketika ditanyakan adakah keletihan dengan jadual padat menjadi punca kepada keputusan tersebut, Kurniawan Dwi Yulianto tidak mahu ianya dijadikan alasan.

“Saya tidak mahu menyalahkan pemain atas faktor keletihan kerana Perak juga melalui perkara yang sama. Apa yang perlu kita perbaiki adalah bagaimana kita boleh fokus selama 90 minit kerana ia boleh mengundang padah jika kita lalai.

“Kita juga mungkin kurang berkomunikasi ketika bertahan sehingga mereka berjaya memanfaatkannya,” tambahnya lagi mengenai perkara tersebut.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Baca juga artikel kami yang lain yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply