Kpah Sherman Sudah Dapat Tonik Terbaik Di Liberia

Kpah Sherman Kedah 2021

Akhirnya, penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC, Kpah Sherman memunculkan diri pada Ahad, selepas beberapa hari masih tidak kelihatan di padang latihan pasukan.

Ia menimbulkan persoalan sama ada beliau akan dapat diturunkan dalam Derbi Utara berdepan Penang FC di Stadium Darul Aman pada 24 Julai ini. Begitupun, dengan kehadirannya semula, ia jelas satu tonik tambahan buat skuad Hijau Kuning.

Selain Kedah yang mendapat tonik dengan penyertaannya semula di sesi latihan, Kpah Sherman juga memaklumkan beliau sudah mendapat tonik ketika pulang ke Liberia tempohari. Ia meningkatkan motivasinya untuk terus meledak jaringan gol.

Beliau pulang ke Liberia selepas mendapat panggilan untuk menyertai kem skuad kebangsaan untuk tiga aksi persahabatan menentang Mauritania, Libya dan Algeria. Mereka menang 1-0 ke atas Libya dan kalah kepada Mauritania (0-1) dan Algeria (1-5).

Kpah Sherman gagal meledak sebarang gol daripada dua gol yang dijaringkan Liberia, malah turut terlepas peluang untuk meledak gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Mauritania. Jadi, apa tonik yang didapatinya daripada tanah airnya?

Jelasnya kepada The Star, “Saya sangat merindui keluarga saya dan lega dapat berjumpa mereka walaupun ketika pandemik sebegini. Saya rasa gembira dapat kembali ke rumah. Ia membantu meningkatkan kesihatan mental saya.”

“Jadi, kini saya sudah boleh fokus dengan tugasan saya di sini,” tambahnya lagi yang menyasarkan untuk meraih anugerah Kasut Emas, sekiranya beliau memiliki peluang.

Selepas 13 perlawanan, Kpah Sherman telah berhasil meledak sembilan gol, dua gol di belakang pendahulu carta penjaring terbanyak, Ifedayo Olusegun daripada Selangor.

Bersama Kedah musim ini, beliau telah merekodkan 1065 minit permainan dan dalam 12 aksi beliau terlibat, Kedah menang tujuh daripadanya. Impaknya di jentera serangan amat ditagih oleh pengendali, Aidil Sharin Sahak untuk berdepan Penang FC.

Ini kerana, tekanan aksi berdepan musuh ketat selalunya memerlukan pemain yang bermentaliti juara sepertinya. Sebagaimana aksi pertama di Stadium Bandaraya pada Mac lalu, ledakannya empat minit menuju penamat menyelamatkan maruah Kedah.

Kedah hampir tunduk kepada pasukan yang baharu kembali ke saingan Liga Super musim ini, Penang FC selepas kapten, Endrick dos Santos meledak gol seawal minit ke-11. Dan dapat dilihat sepanjang perlawanan, Kedah bergelut memburu jaringan.

Sebelum liga berehat memberi ruang untuk aksi antarabangsa, Kpah Sherman telah meledak empat gol dalam lima aksi terakhir. Ini membuktikan, Kedah memerlukannya dalam mana-mana perlawanan yang mereka hadapi dan ia diakui Aidil Sharin.

“Keadaan tersebut [ketiadaannya] sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super yang dijadualkan bersambung pada 24 Julai ini kerana beliau merupakan pemain utama,” tegas Aidil Sharin tempohari,

Baca lagi artikel lain mengenai Kedah Darul Aman:

Kedah Berdepan Penang Dalam ‘Derbi Utara’ Tanpa Kpah Sherman?

Tiada Saingan Piala AFC Buat Kedah & Terengganu Musim Ini

Apakah Percaturan Kemasukkan ‘Cikgu’ Asnan Ahmad Ke Skuad Kedah?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply