Kpah Sherman: Nantikan ‘Gandingan Afrika’ Saya Bersama Kipre Tchetche

Kpah Sherman Kedah FA Latihan

Penjaring terbanyak Liga Super 2019, Kpah Sherman baharu sahaja menandatangani kontrak bersama Kedah semalam dan berikrar untuk berikan yang terbaik kepada para penyokong dan juga meraih kejuaraan bersama Helang Merah pada musim 2020.

Musim lalu, Kpah Sherman telah meledak 14 gol untuk dinobatkan sebagai pemenang kasut emas Liga Super 2019 bersama PKNS FC namun gagal membantu pasukannya untuk meraih kedudukan yang lebih baik. PKNS FC menamatkan musim di kedudukan ke-9.

Pemain berusia 27 tahun itu mahu memberikan aksi terbaik seperti ketika bersama Semut Merah dan akan bekerja keras untuknya.

“Saya gembira untuk menyertai Kedah. Para penyokong dan juga pengurusannya amat menakjubkan,” ujar Kpah Sherman yang dipetik daripada laman Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Saya berharap dapat melakukan apa yang telah saya lakukan ketika bersama PKNS FC kerana saya sangat selesa berada di sini. Saya akan bekerja keras untuk pasukan,” tekad pemain kelahiran Liberia itu yang juga merupakan pemain kebangsaan Liberia.

“Sudah tentu. Saya mahu memenangi piala musim ini. Ia sangat penting untuk saya,” tuturnya sambil ketawa ketika ditanyakan mengenai misinya bersama Kedah untuk musim hadapan.

Bercakap mengenai gandingan bersama seorang lagi penyerang sensasi di Liga Malaysia, Kipre Tchetche yang dibawa masuk daripada Terengganu FC, Kpah Sherman mengakui sudah lama mengenalinya dan akan bekerjasama untuk memburu kejuaraan.

“Saya telah lama mengenalinya, dia orang Afrika seperti saya dan kami telah bercakap [satu sama lain] yang kami akan bergandingan bersama-sama untuk kejayaan pasukan,” jelasnya lagi.

Sudah berada di Alor Setar lebih kurang seminggu, Kpah Sherman mengakui menyukai suasana di Kedah dan juga penyokongnya. Kedah sudah memulakan sesi latihan beberapa hari lalu.

“Saya kurang gemar suasana bising. Saya sukakan suasana tenang dan suka apabila berada di sini [Kedah],” jelas pemain yang sudah tiga tahun menetap di Malaysia itu sejak menyertai PJ City FC.

“Seperti yang saya katakan tadi, para penyokongnya menakjubkan. Saya harap dapat melakukan yang terbaik untuk mereka kerana mereka tunjukkan mereka sukakan [kehadiran] saya,” tambahnya.

Kredit Featured Image: Kedah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram