Kpah Sherman Hanya Mampu ‘Ushar’ Darul Aman Dari Balkoni Rumah

Kpah Sherman Kedah 2020 Kelayakan ACL

Penyerang Kedah, Kpah Sherman hanya mampu melihat dari jauh Stadium Darul Aman, iaitu daripada balkoni rumahnya untuk melepaskan rindu beraksi di sana selepas hampir sebulan terpaksa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan arahan untuk PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang kini telah melumpuhkan keseluruhan aktiviti seharian penduduk dunia, tidak terkecuali juga perlawanan bola sepak.

Mengakui sebagaimana semua orang, beliau juga adakalanya bosan terpaksa memerap sahaja di rumah, namun, untuk kebaikkan bersama, segalanya perlu dipatuhi dan beliau yakin yang segalanya akan berakhir dalam masa terdekat.

“Dengan perancangan dan tahap kesungguhan tinggi ditunjukkan semua pihak ketika ini, saya yakin wabak ini dapat dibendung dan kini kita hampir memasuki tiga minggu tempoh PKP sejak ianya bermula bulan lalu,” ujarnya kepada Berita Harian.

“Sebagai pemain saya memang rindukan aksi bersama Kedah, tambahan pula dari dari luar balkoni kondominium saya nampak Stadium Darul Aman,” jelasnya yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super musim 2019 bersama PKNS FC.

“Dan ini yang membangkitkan lagi semangat dan harapan saya setiap hari agar dapat kembali semula beraksi bersama rakan-rakan,” tambahnya lagi.

Selain melakukan latihan sendiri di rumah untuk mengekalkan kecergasan, Kpah Sherman turut meluangkan masa menonton filem dan bermain permainan video bagi memenuhi masa yang ada bersama abang dan adiknya di kondominium tersebut.

“Saya juga sentiasa berhubung rakan pemain serta jurulatih bagi memaklumkan perkembangan latihan yang dilakukan melalui rakaman video,” ceritanya lagi.

Menurutnya, jika sebelum ini beliau boleh melakukan latihan sendiri di gimnasium di kawasan kondominiumnya, namun kini ianya telah ditutup sepenuhnya.

“Sebelum ini saya akan menggunakan gimnasium di kawasan blok kediaman saya namun sejak PKP berlangsung gimnasium ini tidak lagi dibuka dan kini semua penduduk mematuhi sepenuhnya arahan yang diberi,” jelasnya mengenai latihannya.

Pemilihan pemakanan dan diet sepanjang PKP ini juga penting kepada para pemain, jadi penyerang berusia 28 tahun itu menyatakan yang beliau telah memilih pemakanan yang kaya dengan vitamin seperti buah-buahan.

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA

Baca artikel lain kami mengenai Kpah Sherman dan Kedah:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply