Koronavirus: Ighalo Tidak Dibenarkan Berlatih Bersama Rakan Sepasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pemain baharu Manchester United, Odion Ighalo yang tiba dari kelab China dilaporkan terpaksa berlatih bersendirian tanpa rakan sepasukan berikutan kebimbangan serta langkah berhati-hati kelab untuk mencegah wabak koronavirus.

Pihak pengurusan United memutuskan polisi berkenaan kerana tidak mahu mengambil risiko memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah mengeluarkan amaran mengenai penyakit berkenaan.

United juga telah mengambil keputusan untuk tidak membawa penyerang Nigeria itu untuk latihan musim sejuk yang akan berlangsung di Sepanyol kerana bimbang pemain itu sukar untuk pulang semula ke United Kingdom (UK) berikutan sekatan pihak berkuasa negara itu terhadap mana-mana individu yang mempunyai rekod berkunjung ke China.

BBC Sports melaporkan, Ighalo kini sedang menjalani program latihan kecergasan dengan sokongan staf kejurulatihan kelab bagi memastikan pemain tersebut bersedia sepenuhnya untuk turun beraksi dalam perlawanan kompetitif pertamanya.

Latihan tersebut diadakan di Pusat Taekwando Kebangsaan yang lokasinya tidak jauh dari Stadium Etihad dan beliau menetap di sana sejak ketibaannya di England pada 11 hari lepas.

Pemain berusia 30 tahun itu berkemungkinan besar akan bersama skuad untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di Stamford Bridge pada Isnin ini.

Ighalo menyertai United secara pinjaman dari kelab Liga Super China (CSL) sehingga penghujung musim ini bagi menampung masalah kekurangan pemain serangan di Old Trafford.

Sebelum ini mereka telah melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez kepada Inter Milan. Kemudian Marcus Rashford pula mengalami kecederaan dan terpaksa berehat panjang.

Media antarabangsa melaporkan, kematian di China disebabkan oleh wabak virus berkenaan telah mencecah sehingga 1,350 dengan 60,000 orang pula mengalami jangkitan.

Hampir semua kejohanan sukan di China telah dibatalkan termasuk perlumbaan Grand Prix Formula 1 yang telah dijadualkan pada bulan April ini.