Konsortium “Dikuasai” Arab Saudi Semakin Hampir Ambil Alih Newcastle United

Newcastle United

Sebuah konsortium yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan pengambilalihan Newcastle United.

Ini berikutan kelulusan dari pihak Premier League yang dikatakan akan tiba di dalam tempoh 24 jam, setelah pihak dari Arab Saudi dilaporkan tidak akan menguasai kelab tersebut secara langsung.

Sebaliknya sebuah konsortium yang diwujudkan khas dikenali sebagai Public Investment Fund (PIF) yang membiayai 80% daripada jumlah pembiayaan pengambilalihan bernilai £300 juta tersebut dilihat sebagai sebuah entiti berlainan dengan yang ada di Arab Saudi.

Isu diselesaikan

Konsortium sama cuba melengkapkan pengambilalihan Newcastle pada musim panas 2020, namun PIF dihalang berbuat demikian kerana ianya dibayangi oleh tampuk pemerintahan Arab Saudi.

Persetujuan untuk pengambilalihan terbaru ini untuk diteruskan dan menerima lampu hijau dari Premier League dipercayai selepas perkara berkaitan penyiaran haram dan pertelingkahan dengan penyiar rasmi perlawanan Premier League di negara teluk yang dimiliki oleh syarikat Qatar, beIN Sports telah diselesaikan.

Perjanjian pengambilalihan tersebut sebelum ini tertangguh kerana memerlukan penelitian daripada semua pemilik dan pengarah kelab Premier League.

Bidaan PIF terdahulu diselubungi oleh salah laku pihak Arab Saudi berkaitan hak asasi manusia dan bagaimana mereka menguruskan perkara berkaitan siaran sukan cetak rompak di Timur Tengah.

Malah pengambilalihan oleh pihak Arab Saudi terhadap Newcastle pada tahun lalu turut mendapat tetantangan daripada Amnesty International.

Amnesty International adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan sekular antarabangsa yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mempromosikan seluruh hak asasi manusia yang terdapat dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan piawai antarabangsa yang lain.

Bantahan daripada Amnesty adalah berkaitan penindasan hak asasi manusia yang dilaporkan berlaku di dalam kerajaan Arab Saudi yang melibatkan Putera Mohammed bin Salman secara langsung.

Bagi Amesty, membenarkan pengambilalihan tersebut diteruskan akan memberi peluang kepada pihak berkenaan untuk mencari ‘glamour’ dan menyembunyikan hakikat salah laku yang berlaku di kerajaan Arab Saudi.

Bagi sebuah negara seperti Britain yang mementing dan memperjuangkan hak asasi manusia, pengambilalihan tersebut disifatkan sebagai tidak bermoral.

PIF boneka Arab Saudi?

Kelulusan terbaru kepada PIF untuk memiliki Newcastle United adalah berdasarkan konsortium itu tersebut kini tidak lagi di bawah bayangan pemerintahan Arab Saudi secara terus.

Bagaimana Premier League tiba-tiba mengubah persepsi mereka terhadap PIF yang selama ini sememangnya dikaitkan dengan Arab Saudi.

Terdapat laporan pada April lalu Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah berjumpa dengan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. Dalam pertemuan tersebut, Putera Mahkota itu memberitahu Johnson baginda berharap pihak Premier League mempertimbangkan semula pengambilaihan yang ditolak sebelum ini.

Malah Putera Mahkota Arab Saudi itu turut mengancam hubungan Anglo-Saudi akan terjejas sekiranya pengambilalihan tersebut tidak diberi kelulusan.

Sejak dari itu beberapa perbincangan di kalangan individu tahap tertinggi, diketuai oleh pihak Arab Saudi sendiri memulakan kembali rundingan dan percaya persetujuan mampu dicapai.

Difahamkam beberapa minggu lalu beIN Sports turut menghantar senarai laman sesawang yang menyiarkan siaran secara langsung Premier League secara haram kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk tujuan tindakan.

Hanya dalam beberapa hari sahaja, semua laman sesawang tersebut telah ditutup, dan kerugian yang dianggarkan bernilai $1 billion turut diselesaikan. Malah beIN Sports turut mulai diterima di Arab Saudi sebagai penyiar rasmi perlawanan Premier League.

Pejuang hak asasi seperti Amnesty dijangka akan terus mempersoalkan kelulusan oleh Premier League, terutama kerana Putera Mahkota Mohamed bin Salman telah dinamakan oleh perisik US sebagai individu bertanggungjawab untuk pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi pada 2018.

Pekembangan terbaru ini bermakna Premier League akan mendakwa PIF adalah sebuah konsortium bebas – dan tidak dikuasai oleh mana-mana individu dari Arab Saudi sebagai pemilik kelab.

Penyokong The Magpies bergembira

Jika ada pihak yang bergembira dan menyambut baik perkembangan terbaru ini, ia pastilah penyokong Newcastle United.

Era Mike Ashley sebagai pemilik sering dikritik oleh penyokong kerana kurangnya pelaburan untuk membawa pemain baharu ke St. James’ Park – turut menyebabkan kelab tersebut tersingkir ke Championship sebanyak dua kali.

Pengambilalihan ini bermakna penyokong Newcastle United kini boleh memasang impian besar!

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply