Kompilasi Rekaan Jersi 12 Pasukan unifi Liga Super Malaysia 2018

Kurang seminggu sebelum sepak mula Liga Super Malaysia (MSL) untuk musim 2018, antara perkara yang menjadi tumpuan peminat dan penyokong bola sepak tanah air sudah pasti terarah kepada pelancaran jersi oleh setiap pasukan yang mengambil bahagian pada musim ini.

Juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan antara pasukan terawal memperkenalkan jersi mereka pada musim ini, dan berjaya mengutip RM1.2 juta pada hari pertama penjualan.

Ini diiukuti oleh pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian. Mari kita ikuti rekaan jersi oleh kesemua 12 pasukan yang bertanding di saingan MSL 2018 pada musim ini.

1. Johor Darul Ta’zim (Nike)

Pelancaran jersi oleh juara MSL selama empat musim berturut-turut ini adalah antara yang dinanti-nantikan oleh penyokong dan peminat bola sepak tanah air.

Tidak hairanlah, majlis pelancaran jersi JDT telah menarik kehadiran tidak kurang daripada 1000 orang ketika ianya dilancarkan di Dataran Bandaraya pada 12 Januari lalu.

Berjenama Nike, jersi baharu itu turut dijual pada harga RM215 sehelai dan jersi alternatif pada harga RM179.

Pelancaran jersi JDT untuk musim 2018 turut menarik perhatian ramai dengan penggunaan teknologi ‘Virtual Reality’ (VR) untuk memberi pengalaman baharu dan kelainan kepada para penyokong setia JDT dari seluruh dunia.

Teknologi VR membenarkan penonton menikmati pengalaman 360 darjah apabila melayari secara langsung majlis pelancaran jersi tersebut dari tempat lain.

Sempena pengenalan jersi tersebut, JDT turut melancarkan video khas untuk tujuan promosi yang turut menampilkan bekas bintang dan legenda Perancis serta Arsenal, Robert Pires.

2. Kelantan FA (Lotto)

Kelantan FA adalah pasukan terawal di kalangan pasukan MSL 2018 yang menggunakan jenama Lotto melancarkan jersi untuk kegunaan pada musim ini.

Ditaja oleh syarikat permotoran dunia terkenal, jersi pasukan Kelantan turut tampil di dalam 3 warna, iaitu berasaskan merah, putih dan juga biru.

Dijual pada harga RM139 untuk versi pemain, dan RM69 untuk versi penyokong, jersi Kelantan turut mendapat sambutan hangat berdasarkan tinjauan kami di pusat jualan Prestige Sport di Damansara pada hari pertama pelancaran.

Bagi yang kecewa kerana tidak memperolehi saiz yang dikehendaki pada hari pertama pelancaran, jangan risau. Prestige Sport memberi jaminan stok akan diperolehi secepat mungkin untuk memenuhi permintaan penyokong.

3. Selangor FA (Lotto)

Selang dua hari Kelantan melancarkan jersi, Selangor turut melancarkan jersi mereka dalam satu majlis yang diadakan di  Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sepertimana Kelantan, jersi Selangor turut dihasilkan oleh pengilang pakaian sukan terkenal, Lotto Sport Italia yang dibawa secara eksklusif oleh kedai sukan terbesar di negara ini, Al-Ikhsan Sdn Bhd.

Menarik sekali mengenai jersi Selangor pada musim ini ialah kerana ia direka khas berinspirasikan legenda bola sepak negara yang sinonim dengan kejayaan lalu pasukan Selangor, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Pada jersi Selangor pada musim ini, kelihatan dua jalur menyerupai nombor sebelas, kerana ia adalah jumlah Piala Malaysia dimenangi oleh Selangor bersama legenda bola sepak negara itu.

Jersi Selangor dijual pada harga RM139, dan RM69 untuk versi penyokong, anda boleh mendapatkan jersi Selangor secara atas talian atau kedai milik Prestige Sport di alamat: B-3-29, Block Bougainvillea, 10 Boulevard, 47400 Petaling Jaya, Malaysia.

4. Perak TBG (AL)

Jika di Johor Bahru dilaporkan 1000 orang hadir untuk menyaksikan majlis pelancaran, di Ipoh menyaksikan hampir 5,000 orang penyokong Perak TBG tidak ketinggalan untuk menyaksikan dengan lebih dekat para pemain serta jersi baharu pasukan mereka.

Untuk rekod, Perak bakal membuat penampilan ke-15 dalam saingan Liga Super sejak mula dipertandingkan pada tahun 2004.

Bagi jersi musim 2018, Perak masih mengekalkan warna tradisi iaitu kuning pada jersi ‘home’ mereka. Namun terdapat kelainan bagi jersi ‘away’ apabila warna merah menjadi pilihan.

Majlis yang pertama kali diadakan di Bulatan Amanjaya itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Dijual pada harga RM129 untuk versi pemain dan RM69 untuk versi penyokong, jersi pasukan Perak boleh diperolehi di semua cawangan Al- Ikhsan.

5. Kedah FA (AL)

Jersi pasukan Kedah adalah antara yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air pada musim ini. Musim lalu jersi kedua untuk aksi tempat lawan adalah antara yang laris di pasaran.

Untuk saingan Liga Malaysia 2018, Kedah masih mengekalkan tajaan daripada Al-Ikhsan Sports dengan jersi berjenama AL.

Oleh itu, asas warna jersi bagi ‘home’ dan ‘away’ masih dikekalkan oleh Kedah pada jersi mereka pada musim ini, namun dengan rekaan yang berbeza.

Majlis pelancaran jersi Kedah untuk musim 2018 dirasmikan oleh Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Hotel Royal Signature Alor Setar pada Rabu lalu.

Jersi pertama berwarna hijau kuning untuk aksi di laman sendiri manakala jersi kedua merah dengan jalur hijau dibahagian tepi untuk perlawanan di tempat lawan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan jersi Kedah musim 2018, anda boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana cawangan Al-Ikhsan dengan harga hersi versi pemain ialah RM129, manakala jersi versi penyokong berharga RM69.

6. Negeri Sembilan FA (AL)

Untuk musim 2018, Al-Ikhsan Sports mempunyai 3 pasukan yang bersaing di Liga Super Malaysia 2018 yang memperagakan jersi di bawah jenama syarikat peralatan dan pakaian sukan itu, AL.

Dilancarkan pada Selasa, majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Bagi musim 2018, jersi baru tersebut masih mengekalkan gabungan warna kuning dan hitam bagi perlawanan di sini dan merah ketika berkunjung ke tempat lawan.

Seperti mana jersi-jersi jenama AL yang diguna pakai oleh Kedah dan juga Perak, jersi Negeri Sembilan turut dijual pada harga RM129 dan RM69, masing-masing bagi versi pemain dan juga penyokong.

7. Terengganu FC (Korbert)

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memilih jenama Kobert untuk diperagakan oleh setiap pasukan yang bernaung di bawah badan induk bola sepak negeri Terengganu itu.

Ini bermakna TFC I (Liga Super); TFC II (Liga Perdana); TFC III (Piala Perdana); TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Piala KPM) akan menggunakan set jersi yang sama sepanjang tahun ini.

Jersi keluaran tempatan, Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd ini turut menggunakan logo baru Terengganu FC yang direka oleh penyokong setia skuad penyu, Muhamad Hanif Razali.

Pada musim ini jersi Terengganu FC didatangkan dalam tiga warna iaitu hitam putih untuk jersi di laman sendiri, hitam untuk jersi di tempat lawan, manakala warna biru menjadi pilihan bagi jersi ketiga.

Dijual pada harga bermula dari RM 99.90, jersi ini mempunyai ‘bar code’ keselamatan untuk mengelakkan pembeli tertipu daripada menjadi mangsa barangan tiruan.

8. Melaka United (Warrix)

Melaka United mendapat tajaan syarikat pengeluar barangan sukan jenama Warrix dari Thailand untuk jersi musim 2018.

Perjanjian penajaan disempurnakan seawal Disember lalu dengan Warrix diwakili Pengarah Urusan Warrix Malaysia, George Vui, manakala Melaka United diwakili oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Serba hijau merupakan warna pilihan skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Super 2018 di laman sendiri. Bagi aksi di tempat lawan, Melaka United memilih jersi berwarna serba hitam, manakala serba merah merupakan pilihan bagi jersi alternatif.

Turut didatangkan dengan pilihan lengan panjang, jersi skuad Melaka United boleh diperolehi daripada kedai atas talian rasmi milik Melaka United dengan harga dari RM94 untuk versi pemain, dan serendah RM68 untuk jersi versi penyokong.

9. Kuala Lumpur FA (SkyHawk)

Bertempat di Berjaya Times Square yang terletak di tengah ibu kota, majlis pelancaran jersi bagi skuad ‘The City Boys’ disempurnakan oleh Penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sumper: KLFA

Bagi menghadpi saingan musim 2018, Kuala Lumpur yang menjuarai 100Plus Liga Premier 2017 sebelum kembali ke Liga Super sejak sekian lama pada musim ini memilih tiga warna iaitu merah untuk jersi home (tuan rumah), biru untuk jersi away (tempat lawan) serta jersi warna ungu sebagai jersi ketiga.

Kekal dengan jenama sukan daripada Taiwan iaitu SkyHawk, Kuala Lumpur setakat ini hanya melancarkan jersi bagi kegunaan bagi perlawanan tempat sendiri, dan juga di gelanggang lawan.

Manakala jersi ketiga yang berwarna ungu masih belum dilancarkan pada majlis yang diadakan pada 20 Januari yang lalu.

Bagi yang ingin mendapatkan jersi skuad warga kota musim 2018, harga permulaan ialah pada harga RM90. Untuk maklumat lanjut dan harga jersi, anda boleh menghubungi Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur untuk diskaun dan tawaran menarik.

10. Pahang FA (FILA)

Skuad Tok Gajah tidak ketinggalan daripada melancarkan jersi pasukan mereka pada musim ini dalam satu majlis yang diadakan serentak dengan pengenalan pemain bagi musim 2018.

Tampil di dalam tiga warna, serba kuning terus menjadi pilihan Pahang FA untuk aksi di halaman sendiri. Jersi berkenaan tampil dengan rekaan klasik, mempuyai struktur lukisan kulit gajah jika dilihat daripada dekat.

Manakala jalur lurus pada ketiga-tiga jersi, adalah susunan huruf  ‘F’ yang ditulis secara halus dan menghiasi keseluruhan bahagian depan jersi ketiga-tiga rekaan.

Jikajersi berwarna kuning menjadi pilihan untuk aksi di halaman sendiri, warna putih adalah pilihan warna jersi yang akan digunakan oleh skuad bimbingan Dollah Salleh di tempat lawan.

Bagi jersi alternatif, jersi warna hitam yang tampak elegan menjadi pilihan skuad Tok Gajah.

Melalui semakan kami di laman sesawang niaga milik Pahang FA di pautan https://pahangfaofficialstore.easy.co/, setakat ini hanya jersi berwarna kuning dan putih dijual kepada penyokong dengan harga RM110 setiap sehelai.

Anda juga boleh mendapatkan terus jersi Pahang FA anda di pengedar rasmi yang dilantik oleh FILA di Kedai Sukan Maju, Lot G-50A, Ground Floor, Kompleks Teruntum, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan, Pahang.

11. PKNP FC (FILA)

Selain daripada Pahang FA, sebuah lagi pasukan yang memperagakan jenama FILA di Liga Super Malaysia 2018 ialah PKNP FC.

Dilancarkan semalam dalam satu majlis yang diadakan di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh petang semalam, PKNP FC dan FILA Malaysia turut mengumumkan kerjasama melibatkan penajaan selama dua tahun merangkumi kelengkapan sukan termasuk jersi rasmi pasukan yang melibatkan skuad Liga Super, Piala Presiden dan juga Piala Belia PKNP FC.

Tampil di dalam tiga warna, oren menjadi pilihan warna untuk PKNP FC untuk aksi di halaman sendiri di Stadium Batu Kawan, Pulalu Pinang.

Bagi aksi di gelanggang lawan, warna biru angkasa menjadi pilihan, manakala serba merah sebagai jersi alternatif pada musim ini.

Sehingga artikel ini ditulis, belum lagi ada pengumuman rasmi oleh pihak PKNP FC mengenai harga jualan jersi kepada penyokong yang ingin mendapatkan jersi berkenaan sebagai koleksi.

12. PKNS FC (Kappa)

‘Fight All Fear None’, demikianlah slogan baharu skuad PKNS FC yang sinonim dengan gelaran The Red Ants pada musim ini.

Dalam satu majlis yang diadakan untuk memperkenalkan pemain-pemain yang bakal membawa cabaran PKNS FC pada musim 2018, pelancaran jersi baharu PKNS FC turut diadakan di dalam majlis yang sama.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar semalam.

Tampil di dalam tiga warna, PKNS FC memilih warna oren bagi jersi yang akan diguna pakai di halaman sendiri, biru di gelanggang lawan, dan warna gabungan kuning-oren bagi jersi bagi jersi alternatif.

Berjenama Kappa, jersi ini turut akan dijual kepada penyokong dengan harga RM129, dan boleh didapati di perkarangan Stadium Shah Alam mulai 7 Februari akan datang.

Penutup

Berdasarkan pengumuman oleh setiap pasukan, harga jersi pasukan Liga Super Malaysia 2018 boleh dianggap sebagai mampu milik.

Sudahkah anda memiliki jersi pasukan kegemaran masing-masing pada musim ini? Jika belum, sila dapatkan di pengedar-pengedar sah di seluruh negara.

Buat semua pasukan, selamat maju jaya buat pasukan yang bertanding di Liga Malaysia 2018!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN