“Komitmen Mereka Lebih Tinggi” – Bagi Pemain Tempatan Beraksi Di Piala AFF

Malaysia Jordan Persahabatan 2021 pemain tempatan piala aff 2020

Utamakan pemain tempatan dan jangan bawa pemain naturalisasi ke saingan Piala AFF Suzuki 2020, itulah saranan bekas pemain skuad kebangsaan dan pengendali Perak, Datuk M.Karathu kepada Harian Metro.

Ini berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan pemain naturalisasi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun yang lalu selain ketika dua aksi persahabatan di Amman, Jordan baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia tewas enam daripada tujuh perlawanan yang dilalui sepanjang tahun ini sejak Mei.

Pastinya ia ditujukan kepada pemain naturalisasi terbaharu skuad kebangsaan, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang tampil sejak Mei lalu. Walaupun dalam dua aksi persahabatan baru-baru ini Liridon Krasniqi tidak terlibat, namun prestasinya ketika kelayakan Piala Dunia tempohari juga dilihat tidak memberi impak.

Kata bekas pengendali Perak itu kepada Harian Metro semalam, “Nama pun pemain naturalisasi, sepatutnya kita guna mereka untuk kejohanan besar sahaja seperti kelayakan Piala Asia atau kelayakan Piala Dunia. Tapi untuk Piala AFF, bagilah pemain tempatan, kalau tak pemain kita tak ada peluang nak menyinar.”

“Sebelum ini pun kita kalah juga dengan Vietnam [kelayakan Piala Dunia]. Jadi baik kita bagi peluang kepada pemain tempatan di mana komitmen mereka lebih tinggi ketika bermain di atas padang,” tegasnya lagi.

Karathu berpengalaman luas sebagai pengendali di mana beliau pernah mengendalikan skuad kebangsaan Sri Lanka selain Perak, Kelantan, Negeri Sembilan serta sebuah kelab di Singapura, Woodlands Wellington FC.

Pastinya pandangannya adalah berdasarkan kepada pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Pemain muda kita pun akan main kelayakan hujung bulan ini, saya rasa dari situ jurulatih negara [Tan Cheng Hoe] juga boleh memanggil pemain yang menyerlah nanti,” cadangnya mengenai pilihan pemain negara nanti.

“Bila diadunkan pemain muda, pemain senior dan pemain kacukan, saya rasa pasukan kita juga kuat dan boleh menewaskan Thailand dan boleh beri tentangan sengit kepada Vietnam,” tambahnya lagi menutup bicara.

Malaysia, naib juara edisi lalu akan beraksi di saingan Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember depan di Singapura dan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Indonesia, Kemboja dan juara bertahan, Vietnam.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply