Komen Luqman Hakim Tentang Aksi Berdepan Laos, “Semestinya Menang, Nak Bagi Rakyat Malaysia Gembira”

Luqman Hakim Malaysia Laos Kelayakan Piala Asia B-23 menang

Penyerang sensasi skuad B-22 negara, Luqman Hakim Shamsudin berkata mereka semestinya mahu menang dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia B-23 2022 berdepan Laos bagi menggembirakan hati rakyat Malaysia.

Beliau menyatakan kesediaan mereka untuk meraih kemenangan dalam aksi pertama dan mereka telah pun bersedia dari segi mental bagi menghadapi Laos. Mereka telah meletakkan sasaran untuk menang semua aksi.

Ujarnya dalam temu ramah tersebut, “Mentaliti kami pun sudah bersedia untuk lawan Laos esok. Bagi saya tak ada masalah sebab kawan-kawan saya semua dah bersedia dah. Jadi, [tinggal] hanya untuk menang sahaja.”

“Semestinya! Itu target untuk team. Bagi saya of course lah, kita kena menang. Tak boleh ambil mudah, team kena menang. Semua pemain kena bagi something untuk menang,” ungkap penyerang berusia 19 tahun itu lagi mengenai sasaran pasukan untuk menang perlawanan pembukaan pusingan kelayakan berdepan Laos.

“Target kami semua untuk menang sahaja. Tak nak kalah, tak nak seri, nak menang. Jadi, untuk perlawanan esok kami akan bagi rakyat Malaysia happy. Semestinya menang,” ujar Luqman Hakim dalam nada optimis.

Berdasarkan tiga rekod pertemuan terakhir, ia lebih memihak kepada Malaysia apabila memenangi semua perlawanan itu dengan kali terakhir pada pusingan kelayakan AFC B-23 di Stadium KLFA, Cheras pada 2019.

Ketika ditanyakan tentang kemungkinan pergerakannya akan dirantai oleh pihak lawan, Luqman Hakim berkata itu adalah perkara biasa buatnya. Katanya, “Itu biasalah. Sebagai penyerang, mesti ada orang target punya.”

“Saya kena bijaklah dan jangan ambil mudah,” ujarnya lagi sambil berkata mereka ada perancangan tersendiri.

“Bagi saya sendiri, itu tak menjadi masalah. Kami pasukan Malaysia pun tidak ambil mudah bertemu Laos. Untuk saya, itu perancangan dia [Laos], jurulatih Brad Maloney pun ada perancangan tersendiri,” jelasnya lagi.

Skuad negara akan berdepan Laos pada 25 Oktober, sebelum disusuli Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Hanya juara kumpulan akan mendapat tiket automatik, jadi sebagaimana kata Luqman Hakim, Malaysia perlu menang dalam ketiga-tiga aksi untuk terus menempah tiket ke Uzbekistan tanpa memikirkan masalah lain.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply