‘Koleksi’ Pemain Kebangsaan Bertambah Lagi, Ini 6 Perkara Mengenai Ketibaan Sumareh Di JDT

Mohamadou Sumareh dan teka teki menyelubungi masa depannya telah terjawab. JDT akhirnya mengumumkan pemain sayap Harimau Malaya itu sebagai pemain mereka sebentar tadi.

Sumareh sebelum ini dilanda kemelut berkenaan kontrak dan gaji dengan Pahang, sebelum beraksi bersama Polis Tero FC selama beberapa bulan.

Desas desus Sumareh akan menyertai JDT sebenarnya bukan perkara baharu. Pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebelum ini turut pernah secara terbuka menyatakan minat untuk mendapatkan pemain kelahiran Gambia itu.

Berikut adalah lima perkara daripada perpindahan Sumareh yang menyertai skuad Harimau Selatan bagi musim 2021.

1. Kembali bergandingan dengan Matt Davies

Kemasukkan Sumareh ke JDT bermakna beliau akan kembali bergandingan dengan Matthew Davies di sebelah sayap kanan JDT. Gandingan Sumareh-Davies bukan perkara baharu.

Kedua-dua pemain sebelum ini membentuk gandingan yang mantap di sebelah sayap kanan ketika bersama Pahang di bawah kendalian Dollah Salleh selama tiga musim.

Matt Davies bukan sahaja rakan gandingan kepada Sumareh di dalam padang. Pemain kelahiran Perth, Australia itu juga adalah sahabat baik kepada Sumareh sejak kedua-duanya bersama skuad Tok Gajah.

Berdasarkan sebab tersebut, Sumareh dijangka tidak akan kekok dan akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan baharunya itu.

2. Impak positif kepada Harimau Malaya 

Gandingan Matt Davies-Sumareh bukan sahaja dikenali sejak kedua-duanya beraksi bersama Pahang. Davies dan Sumareh juga merupakan tunjang dan pemai utama kepada skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

Menggandingkan kedua-dua pemain bersama di dalam satu pasukan bukan sahaja akan memberikan impak positif kepada JDT.

Ia juga mampu memberi pulangan kepada pasukan negara – terutama di dalam pusingan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia yang bakal bersambung kembali.

Kehadiran ramai pasukan kebangsaan di JDT juga akan membenarkan Sumareh dengan mudah menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan sepasukan negara berbanding ketika beliau bersama Pahang atau Polis Tero FC.

3. Seorang lagi naturalisasi

Dengan ketibaan Sumareh, ini bermakna JDT memiliki dua pemain naturalisasi negara. Sumareh adalah pemain naturalisasi pertama negara, sebelum hak eksklusif sama diberikan kepada Liridon Krasniqi pada musim lalu.

Bagaimanapun Liridon kini beraksi secara pinjaman dengan Newcastle Jets di Liga Australia.

Ketibaan Sumareh juga bermakna JDT memiliki pemain berdarah asing (termasuk kacukan) paling ramai di Liga Malaysia.

Selain dari Liridon, Sumareh dan Davies, JDT turut memiliki Corbin Ong dan Natxo Insa di dalam pasukan.

4. Persaingan dengan Safawi, Gonzalo Cabrera

Jika ketika bersama Pahang, Sumareh adalah pemain pilihan pertama di dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Dollah Salleh, keadaan kini adalah berbeza buat Sumareh di bawah kendalian Benjamin Mora.

Untuk berjaya di JDT, Sumareh perlu bersaing dengan beberapa pemain lain termasuk Safawi Rasid di sayap kanan atau Gonzalo Cabrera dan Akhyar Rasid di sayap kiri.

Kebangkitan beberapa pemain muda lain seperti Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Mohd Hanafi juga bermakna tiada tempat automatik buat Sumareh. Hanya kerja keras akan memastikan peluang untuk Sumareh berada di dalam perancangan Mora selepas ini.

5. Perancangan Mora

Walaupun Sumareh adalah seorang inverted winger di sebelah kanan dan mampu beraksi di sebelah kiri, agak menarik untuk melihat apakah perancangan Benjamin Mora untuk Sumareh.

Pada 2019, kita telah menyaksikan sekilas kemampuan beliau beraksi sebagai No.9 jadian ketika bersama Harimau Malaya. Ketika bersama Pahang, Sumareh turut pernah dijadika pemain penyerang.

Kemampuan dan versaitiliti dimiliki Sumareh hanya akan memberikan lebih banyak variasi dan pilihan kepada Mora dan JDT. Dengan jumlah perlawanan dan pertandingan yang bakal disertai JDT, sudah pasti kita bepeluang melihat sesuatu yang berbeza pada Sumareh bersama JDT pada masa hadapan.

6. Peluang beraksi di ACL

Satu perkara yang eksklusif (buat masa ini) apabila ada pemain menyertai JDT ialah adanya peluang untuk beraksi di tahap tertinggi seperti di pertandingan AFC Champions League (ACL).

Tidak semua pemain berpeluang untuk beraksi di tahap tertinggi seperti di pertandingan ACL. Peluang tersebut sudah pasti akan menjadi medan Sumareh menguji kemampuan sebenarnya di pentas berlainan selain daripada beraksi bersama skuad kebangsaan.

Penutup

Apa pendapat anda semua terutama dari kalangan penyokong JDT? Anda teruja dengan ketibaan Sumareh?

Nyatakan komen anda di platform yang kami sediakan. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply