Klip Lama ESPN Jadi Punca Jumlah Gol Rasmi Marlon Dipertikai

Semalam salah satu dari artikel yang kami siarkan telah mendapat pelbagai reaksi di media sosial, khususnya dari penyokong Kedah.

Artikel tersebut: “Marlon Tak Pernah Lakar Jaringan Terbanyak Liga Super, Hanya Ghaddar Sahaja” mulai menjadi pertikaian kerana dikatakan tidak mendapatkan data dari sumber yang sahih.

Apakah yang dimaksudkan sebagai “sumber yang sahih” di sini? Mengapa kami bersetuju kiraan gol Marlon seebenarnya adalah 21 gol, dan bukannya 23 gol?

Perubahan ini sebenarnya telah dilakukan pada 2017, tetapi seperti ramai yang baru mengetahuinya hanya selepas artikel di atas disiarkan semalam. Ianya hanya kembali menjadi perbualan peminat bola sepak tempatan apabila jumlah jaringan tersebut berkemungkinan untuk dipecahkan pada musim ini.

Bukan perkara baru

Di atas kertas atau secara rasmi bekas penyerang import Kedah, Marlon Alex James kini sudah sah hanya pernah menghasilkan 21 gol pada musim 2008 dan bukan 23 seperti yang ramai dakwa.

Sebelum ini kebanyakkan media melaporkan Marlon pernah mencetak 23 gol sepanjang musim 2008. Ini termasuklah oleh Berita Harian melalui sebuah artikel pada 27 Oktober 2017, apabila penyerang JDT pada ketika itu (turut beraksi bersama Kelantang pada musim yang sama) Mohammed Ghaddar dikatakan menyamai rekod sembilan tahun Marlon – 23 gol.

Sumber: bharian

Tidak ada sesiapa yang mempersoalkan data dan rekod yang ditulis pada ketika itu kerana tiadanya data yang dikutip secara rasmi dilakukan pada era tersebut.

Namun selang beberapa hari selepas laporan tersebut dikeluarkan, sebuah artikel dari StadiumAstro: Marlon who? Why the Super League single-season scoring record now belongs to Ghaddar mengubah fakta mengenai jumlah sebenar jaringan bekas penyerang skuad St. Vincent & Grenadines itu.

Artikel tersebut ditulis oleh seorang wartawan senior, Saudara Lee Seng Foo yang juga merupakan bekas Editor FourFour Two dan kini bersama Stadium Astro.

Jika anda membaca artikel tersebut, jelas sekali ianya ditulis oleh Saudara Lee berdasarkan kajian dengan bukti bertulis (laporn perlawanan dari media utama) dan juga bukti video yang diambil dari sumber YouTube.

Bukti bertulis jumlah jaringan Marlon yang dikumpul oleh Saudara Lee Seng Foo.

Jumlah jaringan tersebut turut disahkan oleh seorang lagi wartawan senior, iaitu Saudara Devinder Singh. Saudara Devinder juga pernah bersama New Strait Times selama 15 tahun dan kini merupakan Ketua Editor SPORTIMES.MY.

Tiada rekod jelas disimpan pada era tersebut, dan sumber dari kedua-dua wartawan bola sepak (berdasarkan rekod simpanan data) dianggap sebagai rekod paling nyata dan memiliki kredibiliti untuk menjadi sumber rujukan rasmi.

Mengapa ianya dipersoalkan?

Antara sebab yang menyebabkan jaringan rasmi Marlon Alex James hanya 21 menjadi pertikaian adalah kerana klip berita SportCentre terbitan ESPN seperti di bawah.

Melalui sumber tersebut, ESPN turut menyatakan jumlah jaringan semusim oleh pemain itu ialah 44 gol. Ia berdasarkan pecahan 23 gol yang dihasilkan di saingan liga, 9 gol di Piala FA, 13 dihasilkan di PialaFA dan 4 lagi di Piala AFC.

Bagaimanapun kami tidak pasti sumber asal ESPN tersebut, dan laporan sebenar mengenai Marlon pada klip tersebut ialah mengenai minat yang ditunjukkan oleh kelab MLS, San Jose Quakers FC, dan bukannya tertumpu kepada butiran jaringan pemain tersebut.

Jaringan yang dipertikaikan

Antara jaringan yang dipertikaikan sehingga menyebabkan jumlah jaringan Ghaddar sepatutnya adalah 21 ialah hatrik yang dijaringkan pemain itu ketika Kedah membelasah Selangor 6-2 ada 29 Disember 2007.

Menurut Saudara Lee Seng Foo, Utusan dan RTM melaporkan Marlon meledak hatrik. Namun hasil semakan dari laporan oleh The Star, Marlon Alex James hanya menghasilkan dua gol pada malam tersebut – satu gol lagi oleh Bernard Huggins.

Semakan dari video perlawanan yang boleh didapati melalui YouTube (sumber asal TV3) mengesahkan dakwaan tersebut.

Ditolak gol yang dikreditkan kepada Bernard Huggins, Marlon sepatutnya masih menghasilkan 22 gol. Mana lagi satu gol yang dipertikaikan? Dari artikel oleh Saudara Lee Seng Foo, tidak dinyatakan mengenai status gol ke-22 Marlon.

Semakan kami kemudiannya kepada seorang penulis bebas, Zuraim Zukri yang menyimpan rekod jaringan sejak sekian lama.

Menurut Zuraimi Zukri, antara gol yang turut tidak dikira ialah Saudara Lee Seng Foo ialah jaringan menentang Pulau Pinang pada 16 Februari. Marlon dipercayai menjaringkan satu gol sahaja ketika itu, dan bukannya dua yang seperti yang direkodkan selama ini.

Rumusan

Dalam penghasilan sesebuah tulisan terutama untuk simpanan rekod, sumber yang sahih dan mempunyai kredibiliti adalah perkara terpenting.

Di dalam kes di atas, artikel oleh Saudara Lee Seng Foo dianggap sebagai sumber rasmi yang mempunyai bukti dan kredibiliti yang kukuh. Disebabkan itu jugalah, pihak MFL mengangkat hanya nama Mohammed Ghaddar sebagai pemegang rekod jaringan sebelum ini – 23 gol.

Dan ia juga bukan satu kesalahan untuk membetulkan fakta sebenar selagi mempunyai bukti kukuh untuk melakukannya.

Walaupun nama Marlon seperti dipadam dari pemegang rekod tersebut, ini tidak bermakna sumbangan dan apa yang pernah ditampilkan Marlon Alex James di Liga Malaysia harus dipadam. Marlon harus kekal antara penyerang import terhebat yang pernah beraksi di negara ini pada eranya.

Satu perkara yang pasti ialah rekod itu wujud bukan untuk disimpan, tetapi untuk dipecahkan.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply