KL Rovers Tumpu Bantu Pemain Bina Kembali Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
KL Rovers

Pengurus KL Rovers yang akan bersaing dalam saingan Liga M3 musim ini, Ashraf Mazlan menjelaskan skuad ini dalam misi membuka jalan kepada pemain muda serta pemain yang terpinggir untuk kembali menyerlah.

KL Rovers yang merupakan pasukan amatur baharu dalam Liga M3 sudah pun mengikat pemain-pemain khususnya daripada skuad Piala Presiden serta pemain yang pernah beraksi baik di Liga Super dan Liga Premier musim lalu termasuklah bekas pemain Perak dan PKNP, Hafiz Kamal.

Apa yang pasti, Ashraf menegaskan pasukan ini tidak terikat dengan mana-mana persatuan dan paling utama bukan ‘Reserve Team’ kepada skuad Kuala Lumpur FA yang kini beraksi di saingan Liga Premier.

Sebaliknya, KL Rovers hanya mahu memastikan skuad kendalian Nazrul Erwan Makmur ini dapat menjadi platform kepada pemain-pemain muda yang tidak berpeluang menyerlah sebelum ini agar kembali membuka mata pasukan yang lebih hebat pada masa akan datang bagi mendapatkan khidmat mereka.

“Ingin saya tegaskan, KL Rovers merupakan pasukan baharu dan tidak terikat pun dengan pasukan Kuala Lumpur atau tidak menjadi ‘Reserve Team’ kepada pasukan itu.

“Kami di sini ingin membantu pemain-pemain khususnya daripada skuad Piala Presiden sebelum ini untuk mereka bina kembali kerjaya bersama pasukan ini.

“Semuanya kita bergerak dan menguruskan pasukan ini sendiri di mana kita sudah mendapatkan semua pemain yang diinginkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini”, jelasnya.

Kredit foto: Malaysian Football League