Kisah & Statistik Ifedayo, Penggempur Berbisa Dari Nigeria Berdarah “Gergasi Merah”

Di mata Ifedayo Olusegun hanya ada satu sahaja pasukan ‘terbesar’ di Malaysia. Dengan yakinnnya Ifedayo menegaskan hanya Selangor sahaja yang dianggap sebagai pasukan terbesar dalam kancah bola sepak negara.

Perkara ini diakui beliau sebelum dirinya menjadi sebahagian daripada skuad Gergasi Merah lagi. Mungkin ramai yang mempersoalkan kenyataan oleh Ifedayo. Tetapi itulah bola sepak.

Bola sepak bukan hanya boleh dihidangkan dengan fakta semata-mata. Ia juga berkisar kepada falsafah perspektif yang berbeza. Sama sahaja seperti anda berdebat siapakah pemain terbaik dunia. Maradona atau Pele? Messi atau Cristiano Ronaldo? Setiap pandangan dan pendapat memiliki perspektif.

VIDEO: “You Call Yourself The King Of Malaysia, You Come Shah Alam” – Ifedayo

“Minta maaf kepada pasukan-pasukan lain, tetapi satu-satunya pasukan yang saya lihat di carta adalah Selangor. Apabila saya melihat kepada carta bilangan piala dan sebagainya, nama yang sering keluar adalah Selangor,” ujar penyerang berusia 30 tahun itu dalam satu rancangan televisyen di negara ini pada April lalu.

Maka tidak menghairankan mengapa Ifedayo berpendapat sedemikian rupa. Ini kerana beliau memandang tinggi pasukan The Red Giants yang kaya dengan sejarah dan tradisi, selain beberapa kejayaan lampau yang terus menjadi legasi dan sebutan generasi baharu sehingga ke hari ini.

Pengalaman di Liga Malaysia

Pemain yang memiliki pasport Bahrain ini sebenarnya pernah berada di dalam radar Kelantan pada 2015, namun perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan. Namun ketika itulah beliau mula mengenali Liga Malaysia dan Selangor melalui kajian yang beliau usahakan sendiri.

Pengalaman beraksi di Liga Malaysia untuk Ifedayo bagaimanapun bermula bersama Felda United pada 2017. Musim berikutnya pula beliau disambar Melaka United untuk separuh musim.

Ketika bersama Felda, Ifedayo tampil dalam 18 perlawanan dan menjaringkan 9 gol dalam semua pertandingan. Rekod beliau bersama Melaka – bermula dari jendela perpindahan kedua – juga menyerlahkan reputasi pemain ini sebagai antara penyerang berbisa di saingan Liga Malaysia.

Tampil dalam sembilan perlawanan liga, Ifedayo turut merekodkan lapan gol untuk Melaka. Bagaimanapun Ifedayo tidak kekal di Melaka.

Sebaliknya selepas tamat saingan Liga Malaysia, beliau menyertai kelab Bahrain, Al Riffa untuk musim 2019. Bersama pendahulu Liga Perdana Bahrain itu, Ifedayo hanya pernah beraksi sekali, dan satu-satunya jaringan yang dihasilkan oleh beliau ialah ketika Al Riffa tewas 2-1 kepada Al Hala.

Bukan pilihan utama di Selangor?

Pada awal musim 2019 Selangor di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, B. Sathiananthan telah mendaftarkan lima pemain import iaitu Michal Nguyen (Vietnam), Antonio German (Grenada), Endrick Dos Santos (Brazil), Taylor Regan (Australia), manakala Rufino Segovia (Sepanyol) adalah satu-satunya pemain import yang dikekalkan dari musim sebelumnya.

Kemudiannya Selangor mengambil langkah drastik menggantikan Antonio German dengan Sandro Da Silva Mendonca sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup pada Mac.

Ifedayo pula hanya didatangkan oleh Selangor pada jendela perpindahan pertengahan musim tersebut selepas penyerang utama, Rufino Segovia disahkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

Pembelian Ifedayo nyata tidak mengecewakan apabila pemain itu menjaringkan 12 gol dan membantu Selangor berada di kedudukan ketiga.

Walaupun tiba hanya pada Mei, jumlah jaringan Ifedayo dianggap amat prolifik – menyamai julah jaringan Diogo Luis Santo (JDT) dan hanya kurang dua gol berbanding Kpah Sherman yang memenangi kasut emas pada musim tersebut.

Statistik Ifedayo

Statistik Ifedayo pada musim ini juga mengkagumkan. Ini kerana beliau berjaya memecah rekod penjaring terbanyak Liga Super yang dipegang oleh Mohammed Ghaddar pada 2017 – rekod disamakan oleh Bergson da Silva baru-baru ini – apabila menjaringkan 25 gol setakat ini.

Hatrik yang dihasilkan pemain itu menentang Sabah pada malam tadi turut menjadikan Ifedayo sebagai pemain import dengan jaringan terbanyak di Liga Malaysia dengan 62 gol.

Lebih menarik, pemain Nigeria itu turut memecahkan rekod Marlon Alex James untuk hatrik terbanyak di Liga Malaysia apabila sehingga kini telah menghasilkan enam hatrik – berbanding Marlon yang memiliki lima hatrik sepanjang tempoh beraksi di negara ini.

Hatrik menentang Sabah juga merupakan hatrik ketiganya pada musim ini, selepas turut menghasilkan jumlah jaringan yang sama ketika membantu Selangor menundukkan Kedah 4-2, dan Perak 3-1 pada April lalu.

Jumlah 25 gol keseluruhan yang dimilikinya bermakna Ifedayo turut memiliki kelebihan dua gol atas jumlah jaringan yang dihasilkan Bergson yang telah mencetak 23 gol setakat ini. Berbaki satu perlawanan sahaja lagi, kedua-dua pemain masih berpeluang untuk anugerah Kasut Emas 2021.

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply