Kisah Ronaldinho Tertidur Dalam Kereta Sebelum Jaring 5 Gol Belasah Skuad Legenda Crespo & Scholes

Ronaldinho hanya pernah tampil sekali di pertandingan Indian Premier Futsal League pada 2016. Dan penampilan tunggal itu adalah selepas beliau terlelap di dalam kereta sebelum sepak mula perlawanan.

Walaupun baru sahaja bangun daripada tidur, pemain bola sepak ikonik dunia yang pernah beraksi bersama Barcelona dan AC Milan itu tetap mampu menjaringkan lima gol untuk pasukannya Goa.

Gol-gol oleh Ronaldinho itu membantu Goa menewaskan sebuah lagi pasukan dari Bengaluru yang dibarisi legenda Manchester United, Pauil Scholes serta bekas penyerang Inter dan Chelsea, Hernan Crespo dengan jaringan 7-2.

Futsal di India

Indian Premier Futsal League (kini dikenali sebagai  Asian Premier Futsal Championship) baharu sahaja bertapak di India pada ketika itu.

Kejohanan futsal ini adalah kejohanan yang dianjurkan secara francais dan multinasional. Untuk menjayakannya, beberapa nama besar di dalam bola sepak dunia telah ditawarkan beraksi di kejohanan ini untuk menarik minat penonton.

Bekas bintang Brazil Ronaldinho adalah salah seorang daripada mereka, selain dua ikon Manchester United iaitu Ryan Giggs dan Paul Scholes.

Hubungan erat futsal dan bola sepak tidak dapat disangkal. Ikatan kedua-dua sukan ini boleh diibaratkan bagai aur dengan tebing.

Kualiti tinggi yang diperlukan terhadap penguasaan taktik, teknik, kemahiran, kepantasan, ketangkasan dan pemikiran kreatif dalam membuat keputusan dalam sukan futsal yang ditampilkan pemain-pemain menjadi daya penarik utama.

Dan seperti yang kita tahu Ronaldinho adalah salah seorang pemain berbakat yang dilimpahkan dengan segara kemahiran tersebut.

Wartawan kongsi kisah Ronaldinho tertidur

Tiada siapa dapat menyangkal kebolehan luar biasa yang dimiliki Ronaldinho. Bola sepak kelihatan amat mudah setiap kali ia dimainkan oleh beliau.

Mungkin kerana terlampau mudah, Ronaldinho sempat melelapkan mata sebelum perlawanan di dalam kereta sambil menunggu rakan sepasukan Goa yang lain sedang memanaskan badan untuk perlawanan pembukaan kejohanan futsal tersebut pada 2016 di Chennai.

Salah seorang wartawan, Sam Matterface dari talkSPORT sempat berkongsi bagaimana pasukan dan penganjur kelam kabut mencari kelibat pemain itu yang menghilangkan diri – tanpa menyedari Ronaldinho pergi melelapkan mata kerana mengantuk.

“Kami terbang ke India untuk membuat liputan kejohanan Premier Futsal ini – dan ia bermula dengan agak kelam kabut,” kenang Matterface.

“Beliau [Ronaldinho] dijadualkan hanya akan beraksi satu perlawanan. Penganjur telah membayar jumlah wang yang banyak untuk beliau melakukan penampilan untuk beberapa minit di salah satu perlawanan peringkat kumpulan.

“Kemudian Ronaldinho sepatutnya akan digantikan oleh Cafu – pertukaran satu lagi nama besar dari Brazil.

Masalahnya sebelum perlawanan bermula, kelibat Ronaldinho tidak kelihatan. Pada malam menjelang perlawanan, pemain itu juga dipercayai berparti sehingga ke awal pagi.

“Di mana Ronaldinho? Setiap orang di bilik persalinan tertaya-tanya di manakah Ronaldinho. Beliau sebenarnya berada di dalam kereta yang terletak di kawasan parkir arena dan sedang menikmati tidurnya.

“Kemudian salah seorang daripada mereka mengetuk tingkap kereta untuk membangunkkanya.

“Pada ketika itu Ronaldinho memang sudah lengkap berpakaian jersi pasukan, keluar dari kereta, dan dengan selamba berjalan ke arena untuk dimasukkan bermain, menjaringkan lima gol, sebelum dikeluarkan.

“Itulah dia. Sukar dipercayai. Beliau berada di kelas berbeza dan ia menjadi kejohanan yang menarik.”

Penutup

Perlawanan tersebut adalah satu-satunya penampilan Ronaldinho di kejohanan tersebut sebelum terus terbang kembali ke Brazil hari berikutnya untuk memainkan peranan sebagai duta Sukan Paralimpik di Rio pada tahun yang sama.

“Beliau datang dan bermain satu perlawanan, menjaringkan lima gol  – terus viral, kemudian dikeluarkan… demikianlah. Beliau telah menyelesaikannya dengan mudah.

Walaupun tampil sekejap sahaja dalam kejohanan tersebut, impak ditampilkan Ronaldinho terhadap kejohanan amat besar. Demikian juga insiden terlelap dalam kereta yang membuatkan penganjur hampir pengsan.

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Ronaldinho:

Anak Kandung Ronaldinho Diberi Kontrak 5 Tahun Sertai Cruzeiro

Analisis: Perak Tak Melawak Mahukan Ronaldinho, Ini Pandangan Kami

5 ‘Hijack’ Perpindahan Terkenal Dalam Bola Sepak Termasuk Beckham Dan Ronaldinho

Rahsia Disebalik 7 Nama Pemain Bolasepak Terkenal Dunia

Leave a Reply