Kisah ‘Rapper’ Romania Yang Ditakdirkan Menyarung Jersi Selangor

selangor-victor-astafei-in-the-air-heading-in-his-teams-equaliser-against-melaka-united

Pada musim 2017, Selangor menandatangani seorang pemain sayap menyerang dari Romania, Victor Astafei yang juga merupakan seorang rapper dengan nama pentas Asta serta memiliki satu album yang dikeluarkan setahun sebelum tiba di Malaysia.

Walaupun memiliki dua kerjaya, Victor Astafei masih mampu memberikan aksi terbaik di padang dan buktinya dalam 11 penampilan kesebelasan utama Selangor, beliau telah meledak tiga gol. Namun, jodohnya dengan mereka tidak panjang.

Pada jendela perpindahan kedua, sekitar Mei 2017, pasukan memutuskan untuk menamatkan kontraknya dan telah membawa masuk semula Andik Vermansyah yang tidak didaftarkan pada awal musim akibat masalah kecederaan panjang.

Victor Astafei akhirnya kembali ke Romania dan sehingga kini masih kekal beraksi di sana. Selepas meninggalkan Gergasi Merah, sudah lima kelab di Romania yang disertainya dan terkini bersama CSM Resita di Divisyen II, Liga Romania 2020.

Ketika bersama Selangor, Victor Astafei dikatakan memiliki corak permainan yang pantas serta rajin membantu samaada pasukan dalam fasa menyerang ataupun bertahan. Malah, ada yang merasakan Selangor sepatutnya mengekalkannya.

Pemain yang kini berusia 32 tahun itu telah beraksi hampir keseluruhan 16 tahun kariernya di Romania dengan hanya Malaysia dan Turki merupakan liga asing yang pernah disertainya. Namun malangnya, kedua-duanya tidak bertahan lama.

Bercerita mengenai album rapnya, Victor Astafei telah mengeluarkan album tersebut sekitar Januari 2016 dengan tajuk, ‘Sunt aici să mă satur’ yang membawa maksud, saya di sini untuk memuaskan hati saya, yang mengandungi 9 buah lagu rap.

Mungkin album tersebut hanya sekadar untuk memuaskan impiannya untuk menjadi rapper, beliau kemudian meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak seperti biasa dan telah berkelana ke Malaysia setahun selepas itu – bersama Selangor.

Selain seorang rapper, beliau juga menceburi bidang perniagaan dengan memiliki kedai pakaian yang menjual secara online antaranya jeans, jaket, baju, t-shirt dan sebagainya. Begitupun, Insync21 dikatakan sudah tidak aktif agak sekian lama.

Untuk mendengar lagu-lagu dalam satu-satunya album Victor Astafei itu, para pembaca boleh ke laman Youtube INI. Ada 9 buah lagu dan anda boleh nilaikan sendiri bakatnya. Boleh berkolaborasi bersama Altimet untuk lagu Selangor?

KREDIT FEATURED IMAGE: HAZRIN ZAIDUN/CSN

Baca artikel lain mengenai Victor Astafei dan Selangor:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply