Kisah Perak Sehandal Israel & Mengapa Israel FA Jadi Persatuan Dibenci Di Benua Asia

Tahun ini seperti semua sedia maklum adalah ulangtahun ke-100 Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA). Hari ni pasukan Perak FC yang telah diswastakan adalah pasukan yang mewakili Perak FA dalam kancah saingan Liga Malaysia.

Bola sepak Perak sememangnya mempunyai sejarah yang cukup panjang. Pernah muncul juara liga sebanyak dua kali pada 2002 dan 2003, pasukan Perak juga pernah merangkul kejuaraan Piala Malaysia sebanyak lapan kali di antara tahun 1926 sehingga 2018.

Antara nama-nama besar bola sepak negara yang pernah beraksi bersama pasukan Perak adalah seperti Azizol Abu Haniffah, Roslan Hamid, Shahrul Azhar, Khalid Jamlus dan ramai lagi.

Dan di dalam sejarah panjang bola sepak Perak, tahukah anda bahawa pasukan dari utara tanah air ini pernah beraksi menentang pasukan dai Israel, sebanyak dua kali.

Kejohanan Kelab Juara Asia 1969-1971

Kejohanan Kelab Juara Asia adalah sama seperti AFC Champions League pada hari ini. Edisi 1969 adalah kali kedua pertandingan kelab-kelab Asia itu dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), selepas kali pertama diadakan pada 1967.

Untuk rekod, Selangor FA mara ke perlawanan akhir pertandingan edisi pertama pertandingan tersebut pada 1967 sebelum tewas 2-1 kepada Hapoel Tel-Aviv di perlawanan akhir.

Perlawanan akhir Kejohanan Kelab Juara Asia 1967 menjadikan Selangor FA sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang pernah berhadapan dengan kelab Israel pernah direkodkan. Perak adalah pasukan kedua selepas tampil dalam pertandingan sama pada 1969.

Selangor FA 1967. Kredit sumber: http://mohdalizal.blogspot.com/

Pertandingan edisi 1969 bagaimanapun tampil lebih mencabar kerana membabitkan 10 pasukan berbanding hanya enam pasukan pada edisi sebelumnya.

Perak FA berada di dalam Kumpulan B diundi bersama kelab Hong Kong, Bas Motor Kowloon; Persepolis dari Iran; Toyo Kogyo dari Jepun, dan Maccabi Tel Aviv dari Israel.

Bertarikh 16 Januari 1969, Perak memulakan kempen dengan cemerlang menewaskan Bas Motor Kowloon dengan jaringan 6-2. Bagaimanapun empat hari kemudian Perak tewas 4-3 kepada Persepolis.

Walaupun berjaya mengikat Maccabi Tel Aviv 1-1 pada perlawanan seterusnya, Perak yang wajib menang perlawanan terakhir bagaimanapun tewas 4-2 kepada wakil Jepun, Toyo Kogyo.

Toyo Kogyo adalah Sanfrecce Hiroshima FC yang beraksi di J1 League pada hari ini. Perak gagal mara ke pusingan seterusnya apanila sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan keempat dari lima pasukan di dalam Kumpulan B.

Perak FA vs Maccabi Tel Aviv

Pertemuan di antara Perak FA dan Maccabi Tel Aviv sebenarnya pernah didokumenkan secara terperinci oleh akhbar Berita Harian melalui satu laporan perlawanan bertarikh 24 Januari 1969.

Maccabi dilihat sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan tersebut, namun pasukan Perak tetap berjaya menjaringkan gol pendahuluan pasukan hasil jaringan Mohamed Noor selepas menerima hantaran M. Karathu.

Laporan tersebut turut mengisahkan bagaimana ampuhnya benteng pertahanan pasukan Perak dalam perlawanan tersebut yang diketuai oleh gandingan J. Vincent dan Chan Kon Leong dan dibantu oleh takan sepasukan yang lain seperti Chow Tuck Chuen, Yee Sang Chay dan Au Yoon.

Penjaga gol Perak, P. Nadarajah turut dipuji ketangkasannya di hadapan gawang walaupun sekadar tampil sebagai pemain ganttian kepada penjaga gol utama, Liew Keng Foo yang mengalami kecederaan ketika perlawanan.

Perak FA 1969. Kredit sumber: http://mohdalizal.blogspot.com/

Ini bukan satu-satunya perlawanan membabitkan Perak FA dan Maccabi Tel Aviv. Kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada edisi ketiga pertandingan pada 1971. Namun demikian Perak FA tewas 1-0 dalam perlawanan tersebut, dan seperti pada 1969 gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Maccabi Tel Aviv muncul juara kejohanan masing-masing pada edisi 1969 dan 1971 yang turut disertai Perak FA itu.

Rekod Israel dan Malaysia

Perak dan Selangor kekal sebagai satu-satunya kelab yang pernah berhadapan dengan kelab Israel dalam perlawanan kompetitif. Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia pernah berhadapan dengan Israel sebanyak dua kali iaitu pada 1973 dan 1974.

Perlawanan pertama pada 19 Mei 1973 iaitu di perlawanan kelayakan Piala Dunia, Malaysia tewas 3-0. Antara pemain yang beraksi di dalam perlawanan tersebut ialah anggota skuad olimpik 1972 seperti Namat Abdullah, Mohamad Bakar, Wan Zawawi Wan Yusoff, dan Soh Chin Aun.

Kedua-dua pasukan kemudiannya sekali lagi bertemu di Sukan Asia 1974 yang diadakan di Tehran dan dibelasah Israel 8-3 ketika membuka tirai Kumpulan C. Malaysia bagaimanapun berjaya bangkit dalam kejohanan tersebut untuk meraih pingat gangsa selepas menewaskan Korea Utara 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Israel kemudian meraih perak, dijinakkan tuan rumah 1-0.

Penampilan terakhir Israel di Asia

Iran ketika itu diperintah raja terakhirnya, Shah Iran – Mohammad Reza Pahlavi yang turut merasmikan upacara pembukaan temasya empat tahun sekali itu. Itulah kali terakhir Israel tampil dalam perlawanan bola sepak di bumi Asia. Jangan harap Israel boleh menjejak bumi Iran jika dengan kerajaan republik Islam sekarang.

Bola sepak Israel sebenarnya mempunyai kisah dan sejarah yang panjang di Asia. Malah ia sebenarnya bermulah sejak era Empayar Uthmaniyah menguasai bumi Palestin. Persatuan Bola Sepak Palestin ditubuhkan pada 1928 dan secara rasmi menyertai FIFA pada 1929.

Namun bola sepak Palestin pada ketika itu diwakili oleh pemain-pemain dari kelab Arab, Yahudi dan juga tentera British yang menguasai jajahan tersebut selepas Perang Dunia pertama sehingga kewujudan Israel pada 1948.

Dan pada 1948, pasukan yang pada asalnya didaftarkan di atas nama Palestine secara rasmi menjadi pasukan kebangsaan Israel. Sebagai sebuah wilayah di Asia, Israel juga adalah salah sebuah negara terawal yang membentuk Konfederasi Bola Sepak Asia.

Sukan Asia 1974 menjadi kejohanan terakhir kompetitif Israel di bumi Asia selepas kebanyakkan negara Islam dan Arab enggan beraksi menentang mereka. Semuanya atas sebab politik yang sama mengapa Israel-Palestin berada di dalam keadaan pada hari ini.

Akhirnya Israel seperti dibuang dari AFC selepas dicadangkan oleh Kuwait untuk berbuat demikian. Cadangan tersebut mendapat sokongan 17 undian, dan 13 lagi menentang. 6 lagi negara tidak menghadirkan diri dalam undian tersebut.

Kejadian itu menyebabkan mereka menyertai benua Oceania untuk beberapa pusingan kelayakan olimpik dan Piala Dunia, sebelum menyertai UEFA pada 1991.

 

Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak Israel:

Pernah Dedah Pemilik Chelsea Penyumbang Utama Dana Israel, Pejabat Media Di Gaza Dibom Israel

Euro-Med Kutuk FIFA Tutup Mata Penindasan Israel Ke Atas Pemain Palestine

Video: Wartawan Muat Naik Detik Pemain Palestine Ini Ditembak ‘Sniper’ Israel

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply