Kisah Pemilik Kelab Mengamuk, Pandu BMW Kejar Pengadil Kerana Tidak Puas Hati

Mutu pengadilan yang buruk boleh sahaja menyebabkan mood sesiapa sahaja menyaksikan perlawanan bola sepak rosak.

Apa tidaknya. Dalam perlawanan penting, setiap keputusan daripada pengadil dianggap penting, dan akhirnya ia mampu mempengaruhi keputusan perlawanan.

Kisah di Afrika Selatan

Insiden pada tahun lalu, seorang lelaki yang merupakan penyokong salah sebuah pasukan di Afrika Selatan memandu meredah padang perlawanan dengan tujuan menyerang pengadil.

Ada juga laporan mengatakan lelaki yang memandu kenderaan tersebut adalah pemilik kepada salah sebuah pasukan.

Insiden memalukan tersebut membuatkan penyokong lain yang hadir ketakutan melihat BMW tersebut dipandu di sekeliling padang.

Dalam video yang tular di media sosial pada tahun lalu itu, penyokong dan pemain kelihatan melarikan diri untuk menyelamatkan diri.

Perlawanan tersebut berlaku di pertandingan Liga ABC Motsepe, membabitkan pasukan Luka Ball Controllers dan Polokwane City Rovers.

Perlawanan itu kemudiannya terpaksa dibatalkan demi keselamatan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan.

Menurut akhbar The Citizen, individu tersebut mengamuk selepas beberapa keputusan pengadil tidak memihak kepada pasukannya.

“Kami di Kesatuan Bola Sepak Afrika Selatan  (SAFPU) terkejut untuk melihat kejadian yang gila ini,” ujar satu kenyataan dari Setiausaha Agung badan itu, Nhlanhla Shabalala.

“Tidak ada tempat untuk perkara sebegitu di dalam bola sepak.”

Penyokong tersebut dikatakan marah apabila Ball Controllers ketinggalan 2-1 selepas sebelum itu mendahului 1-0.

“Setiap kali perlawanan mahu dimulakan semula, penyokong itu mengancam akan masuk ke padang untuk membantah.

“Ia merosakkan perlawanan tersebut kerana dia asyik cuba memandu kenderaannya ke arah bangku simpanan City Rovers,” kata seorang saksi kejadian.

“Dia juga mahu melanggar pengadil, itulah yang beliau sasarkan. Kemudian perhatian beliau terarah ke bangku simpanan City Rovers kerana kecewa selepas pengadil meninggalkan padang.

“Pengadil terus pergi kerana risaukan keselamatannya.”

Ini bukan kejadian aneh pertama yang berlaku di dalam bola sepak Afrika Selatan. Sebelum itu, perlawanan Mamelodi Sundowns dan Blem Celtic menyaksikan tiga layangan kad kuning kepada pemain.

Semuanya gara-gara pemain Sundowns melengah-lengahkan pelawanan disambung dari sepakan sudut. Malah dalam fiasco selama lima minit itu, pengurus pasukan sempat melakukan pertukaran. Ia jelas tiada semangat kesukanan ditampilkan pasukan tersebut.

Tidak wajar dicontohi

Walau betapa geram sekali pun kita dengan pengadil, janganlah kita bertindak seperti apa yang berlaku di Afrika Selatan ini.

Kalah, menang adat permainan. Akhirnya bola sepak hanyalah sebuah permainan. Kerana itulah ia tidak berbaloi jika ia menyebabkan kecederaan atau hilang nyawa kerana perkara tidak diingini,

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply