Kisah Nuri Sahin Dan Mesut Ozil Yang Memilih Negara Berbeza

Nuri Sahin dan Mesut Ozil antara 2 nama berketurunan Jerman-Turks yang sangat popular pada generasi mereka. Mereka antara perancang tengah terbaik pada era mereka.

Mereka juga antara gelombang terawal evolusi bakat Jerman-Turks yang menjadi bakat elit dalam bola sepak Jerman, selepas era Halil dan Hamit Altintop.

Kedua-dua mereka lair di Jerman, daripada keluarga berketurunan Turki. Kedua-dua mereka juga pernah menyarung jersi Real Madrid, menerima gaji lumayan di kelab gergasi Sepanyol itu.

Mungkin Ozil lebih baik kariernya di Real Madrid. Namun jangan dipandang rendah kepada Nuri Sahin. Beliau menjadi pemain penting generasi emas Borussia Dortmund yang memecahkan dominasi Bayern Munich – pada era Jurgen Klopp.

Mesut Ozil lahir di Gelsenkirchen, manakala Nuri Sahin lahir di Lüdenscheid.

Ozil pilih Jerman

Mesut Ozil pernah melukakan hati orang Turki apabila menyatakan beliau tidak mahu bermain untuk Turki. Beliau mahu mengejar impian bersama Jerman.

Ketika itu, akhbar di Jerman menyatakan, ia adalah kemenangan buat Jerman dan kehilangan untuk Turki.

Mesut Ozil menjadi sasaran boo oleh peminat Turki yang kecewa dengan pemain itu.

Bukan Ozil seorang pemain berdarah Jerman-Turki yang memilih Jerman. Namun kenyataan Ozil melukakan penyokong di Turki kerana beliau menyatakan Jerman adalah tempat lebih baik untuk memacu kariernya.

Bagi peminat Turki, dalam memuji Jerman, Ozil tidak seharusnya memilih untuk membanding dan merendahkan (downgrading) Turki.

Pada Oktober 2010, di Stadium Olimpik Berlin, Turki ketika itu lebih banyak penyokong daripada warga Turki.

Ini kerana ramai mereka yang berdarah Turki yang tinggal di Jerman memberikan sokongan kepada Turki. Ozil diboo dan dicemuh oleh penyokong Turki yang berkunjung ke stadium tersebut. Jerman menang 3-0.

Mereka yang tinggal di Jerman sendiri menganggap tindakan Ozil itu satu pengkhianatan kepada negara Turki. Ozil dicemuh dan diboo setiap kali menyentuh bola.

Pada 2012, Ozil berkata: “Saya gembira berada di Istanbul, bandar yang cantik dan atmosferanya luar biasa.”

“Saya rasa, penyokong Turki akan mencemuh saya lagi, seperti mana berlaku di Berlin [2010] dahulu. Saya sangat profesional, dan tak akan membiarkan perkara seperti itu mempengaruhi permainan saya.”

Komen itu mengundang kemarahan lagi di kalangan peminat Turki yang menyatakan Ozil sengaja memanaskan keadaan, sedangkan perkara itu sudah 2 tahun yang lalu.

Dalam aksi kelayakan Euro pada 2012, Ozil kemudian menjaringkan gol dalam perlawanan itu. Beliau memilih untuk meraikan gol, dengan berkata, biarkan bola itu berbicara.

Tamat perlawanan, Ozil menegaskan beliau tidak meraikan gol kerana masih ada rasa hormat kepada negara asal keluarganya. Merujuk kepada ibu bapanya yang berasal dari Turki. Beliau pula lahir di Jerman.

Daripada hari ini, para penyokong Turki mulai memaafkan Ozil di atas apa yang berlaku. Ini ditambah dengan semangat cintakan Turki yang menebal dalam diri Ozil.

Misalnya, ketika di London, hampir keseluruhan binaan rumah dan perabot beliau didatangkan dari Turki. Beliau juga sangat rapat dengan Recep Tayyib Edorgan.

Ozil lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Peminat Turki bukan marah beliau memilih Jerman, tetapi marah apabila beliau menganggap Turki tak mampu untuk menaikkan karier beliau. Biasalah, masih muda, masih banyak perkara beliau belum belajar.

Sahin pilih Turki

Seorang lagi pemain yang dianggap bakat elit di Jerman, Nuri Sahin berbeza dengan Ozil. Beliau memutuskan untuk mewakili Turki.

Alasan Sahin adalah, beliau mahu membantu negara asal keluarganya.

Sahin menjadi sasaran beberapa peminat Jerman yang menyatakan pemain itu tidak patriotik selepas membesar di negara mereka sejak dari kecil.

Sahin memilih negara asal nenek moyangnya, berbanding negara beliau dilahirkan dan membesar.

Sahin menegaskan: “Saya bangga dengan Jerman dan Turki. Saya mahu menjadi salah satu talian antara 2 negara ini.”

Sahin melakukan debut dalam Bundesliga pada usia 16 tahun 355 hari. Paling muda dalam sejarah Bundesliga.

Perkembangan bakat beliau membuatkan beliau sangat digeruni dan membantu Borussia Dortmund menjuarai liga pada 2010/11.

Sahin dianggap pemain yang cepat matang dan lebih berhati-hati dalam kata-katanya.

Agak ironi, debut antarabangsa Sahin bersama Turki pada 2005 adalah menentang Jerman. Beliau turut menjaringkan gol ke atas Jerman ketika itu. Turki menang 2-1. Sahin menjadi penjaring antarabangsa termuda untuk Turki, pada usia 17 tahun.

Sahin dan Ozil bertemu di lapangan antarabangsa pada 7 Oktober 2011, di mana Sahin mewakili Turki dan Ozil mewakili Jerman.

Karier kebangsaan mereka ternyata berbeza. Ozil menikmati segala kejayaan dengan Jerman termasuk Piala Dunia.

Manakala Nuri Sahin bermain untuk pasukan Turki yang dianggap sebagai ‘mediocre’ dan dalam era penuh pergelutan prestasi.

Sahin membantu Turki mara ke separuh akhir Euro B-17 pada 2005. Manakala karier belia Ozil pula menyaksikan beliau menjulang Euro B-19 pada 2009.

Ozil dijulang sebagai perancang tengah terbaik pada era generasi emas Jerman di bawah Joachim Low.

Nuri Sahin kemudiannya bergelut dengan isu kecergasan dan mempengaruhi prestasi beliau.

Namun selepas Piala Dunia 2018, Mesut Ozil menjadi sasaran penyokong Jerman.

Jika dahulu, beliau diboo oleh penyokong Turki, kali ini beliau menjadi sasaran penyokong Jerman. Malah ada yang menyerang beliau dengan cemuhan rasis.

Ianya gara-gara Ozil dan Gundongan yang dilihat bergambar dengan Edorgan. Peminat mulai mempertikaikan taat setia Ozil kepada Jerman.

Ada beberapa pihak cuba melakukan ‘pembunuhan’ karakter kepada Ozil.

Ozil kemudian memutuskan untuk bersara daripada pasukan kebangsaan. Pada ketika ini, peminat-peminat dari Turki tampil mempertahankan Ozil daripada serangan di media sosial.

Mereka memberitahu Ozil bahawa, Turki sentiasa negara kamu dan datanglah ke sini bila-bila masa.

Legenda Jerman, Uli Hoeness antara tokoh yang paling lantang mengkritik Mesut Ozil. Beliau menyatakan Ozil bukan pemain yang bagus dan malas.

Semua jasa Ozil dengan Jerman, sehingga membantu Jerman juara dunia dahulu, dilupakan begitu sahaja. Persaraan Ozil dengan Jerman berakhir dengan cukup menyedihkan, dengan apa yang telah beliau sumbangkan.

Sehinggakan Ozil menyatakan: “Saya orang Jerman ketika menang. Dan seorang pendatang [imigran] apabila kalah.”

Itulah dilema yang dihadapi oleh Ozil. Ibarat habis madu sepah dibuang. Anda boleh ulang baca artikel kami ini.

Berbeza dengan Ozil, Nuri Sahin bersara di peringkat kebangsaan dengan lebih tenang. Sahin mengakui Turki masih mahukan beliau dan para penyokong Turki sentiasa sayangkan beliau. Pada masa yang sama penyokong di Jerman pun sentiasa menghormati Nuri Sahin.

Dalam ucapan persaraannya pada 2017, Sahin berkata:

“Saya yakin, dengan kerja keras dan keinginan yang ada pada generasi baru bola sepak Turki, saya percaya, dengan sokongan yang baik kepada mereka. Pada 10-15 tahun akan datang, mereka akan mencapai kejayaan gemilang.”

“Saya mengakhiri karier kebangsaan, kerana mahu memberikan peluang kepada generasi baru mengambil alih.”

“Sepanjang karier saya, saya telah mendapat banyak peluang dan juga pengalaman berguna. Saya sentiasa akan berhubung dengan dekat dengan bola sepak Turki. Saya sedia membantu apa yang saya mampu.”

Rumusan

Dalam hidup, setiap orang berhak membuat pilihan dan bebas untuk berimpian dan mengejar mimpi. Namun sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata terutama sekali apabila berada di atas.

Nuri Sahin, misalnya, beliau turut dicemuh beberapa penyokong Jerman. Namun beliau bijak dan mengambil pendekatan merendah diri dan berlembut dalam berkata-kata.

Dalam kes Ozil, kenyataan celupar beliau telah melukakan hati rakyat Turki satu ketika dahulu menimbulkan kemarahan.

Ia dijadikan modal media Jerman untuk membanggakan Jerman dan merendah-rendahkan Turki.

Mujurlah selepas itu, penyokong Turki memaafkan Ozil secara perlahan-lahan. Dan pada hari ini, penyokong dari Turkilah yang paling setia menyokong karier Ozil.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN