Kisah Bagaimana Anfield Menjadi ‘Rumah’ Manchester United Pada 1971

Teres Spion Kop pada hari itu padat dipenuhi penyokong yang memakai lilitan scarf berwarna merah dan putih di leher mereka.

Spion Kop cukup berbeza dengan bahagian lain di stadium Anfield. Spion Kop bukan sahaja tidak mempunyai bangku untuk penonton, ia juga berbeza dari segi roh.

Spion Kop tak pernah senyap daripada laungan yang menggerunkan pasukan pelawat. Dalam pada masa yang sama, ia juga mengangkat semangat pemain Liverpool.

Dan pada satu masa dulu, pemain Manchester United juga.

Hari Anfield menjadi halaman Manchester United

Tanggal 20 Ogos 1971 telah berlakunya peristiwa yang cuba disenyapkan dalam sejarah bola sepak.

Pada tarikh tersebut, 11 pemain berjersi merah pekat mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong di bahagian teres Spion Kop. Mengapa tidak? Mereka baru saja menewaskan pasukan lawan, Arsenal.

Namun penyokong tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan oleh jaringan Arsenal seawal minit ke-4. Namun hasil inspirasi pemain sayap lincah kelahiran Ireland Utara, George Best, kebangkitan ajaib berlaku. Pasukan tuan rumah menang 3-1.

Tetapi apa yang anda perlu tahu adalah 11 pemain berjersi merah pekat yang baru menang 3-1 ke atas Arsenal tersebut bukanlah pemain Liverpool.

Mereka adalah pemain Manchester United.

Inilah kisah gelap yang telah tenggelam di dasar lautan sejarah. Kisah Manchester United menjadikan stadium Anfield sebagai halaman mereka. Kisah penyokong Manchester United berdiri di teres Spion Kop dengan perasaan megah dan penuh bangga.

Pada ketika itu, penyokong Manchester United juga faham nilai keramat teres tersebut. Ia menjadi simbol kepada maksud sebenar penyokong sejati – menyokong dengan penuh ghairah ketika menang dan kalah.

Mengapa Manchester United bermain di Anfield?

Mungkin kisah kewujudan alien lebih masuk akal berbanding kisah Anfield yang pernah menjadi halaman Manchester United.

Kisah ini bagai mencabar kewarasan akal penyokong Liverpool dan Manchester United. Bagaimana dua musuh sejati ini boleh berkongsi rumah yang sama?

Titik mula peristiwa ini bermula pada musim sebelumnya, pada waktu gejala hooliganism menjadi semakin tak terkawal di stadium Old Trafford.

Sebagai hukuman, pihak FA England telah mendenda United dengan mengharamkan mereka bermain 2 perlawanan di Old Trafford.

Liverpool pula bermurah hati untuk menawarkan Anfield sebagai ‘rumah’ sementara kepada Manchester United. Pada ketika itu, United tidak mempunyai sebarang sebab untuk menolak pelawaan Liverpool.

Sir Matt Busby – lagenda Manchester United. Dan Liverpool?

13 tahun sebelum itu di lapangan terbang Munich, sebuah pesawat model Airspeed AS57 Ambasador yang sarat dengan penumpang bersiap-sedia untuk berlepas.

Salji turun dengan sangat lebat. Kawasan landasan lapangan terbang diliputi salji tebal. Apabila pesawat itu meluncur laju di landasan, ia hilang kawalan dan melanggar pagar lapangan terbang. Sayap kiri pesawat terputus dari badan pesawat setelah ia menghentam sebuah rumah.

Nahas tersebut meragut banyak nyawa. Antaranya ialah 8 pemain Manchester United.

Pengurus United ketika itu, Matt Busby terselamat dalam nahas tersebut. Ketika pengurus lain akan meratapi kehilangan pemainnya, Busby terus melihat ke depan. Empayar runtuh mesti dibina semula.

Kebangkitan empayar Matt Busby cukup dramatik. Manchester United berjaya merangkul kejuaraan liga pada tahun 1965 dan 1967. Pada 1968, beliau memimpin United menjuarai kejohanan Eropah pula.

Kerana pencapaian luar biasa itu, Matt Busby dikurniakan pangkat Sir oleh Queen Elizabeth. Satu tugu Sir Matt Busby berdiri megah di hadapan Old Trafford. Jika bukan kerana Sir Matt Busby, nama Manchester United mungkin akan lenyap dalam arena bola sepak dunia.

Tetapi apa kaitannya Sir Matt Busby dalam naratif ini?

Sir Matt Busby merupakan bekas ketua pasukan Liverpool dan lagenda kelab sebelum Perang Dunia meletus.

Dengan 125 penampilan dan 3 gol, nama Matt Busby sentiasa bermain di bibir penyokong Liverpool pada ketika itu.

Melihat Matt Busby menjadi lagenda Manchester United bagaikan melihat Steven Gerrad menjadi lagenda pengurus Manchester United. Ia bagaikan melihat sebuah tugu kapten lagenda Liverpool didirikan di Old Trafford.

Ia satu perkara yang memang tidak boleh diterima akal. Tetapi itulah hakikatnya – Sir Matt Busby, bekas kapten lagenda Liverpool bertanggungjawab membina asas dan sejarah kejayaan Manchester United hari ini.

Pertolongan United ketika Tragedi Hillsborough

Jika tragedi Munich 1958 adalah detik hitam untuk Manchester United, tragedi Hillsborough 1989 adalah detik hitam untuk Liverpool.

Tragedi Hillsbrough yang mengorbankan 96 penyokong Liverpool – antara mangsanya adalah Jon Paul Gilhooley, sepupu kesayangan Steven Gerrard – menjadi saksi solidariti Liverpool dan Manchester United.

Insan pertama yang menelefon pengurus Liverpool, Kenny Dalglish selepas tragedi tersebut untuk menghulur bantuan adalah pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Jika Liverpool berbangga dengan 5 kejuaraan Eropah, Manchester United pula berbangga dengan 3 kejuaraan Eropah.

Jika Manchester United berbangga dengan 20 kejuaraan liga, Liverpool pula berbangga dengan 18 kejuaraan liga.

Liverpool dan Manchester United adalah satu jasad dan satu jiwa. Penyokong kedua-dua kelab patut perlu tahu pasukan mereka mempunyai banyak titik solidariti dengan ‘musuh’ mereka.

Liverpool dan Manchester United bukanlah musuh tetapi adalah sahabat yang erat. Api kebencian dan permusuhan hanya boleh dipadamkan dengan kasih sayang dan kesatuan hati.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Masao Sato, salah seorang watak yang membangunkan laman Malaysian Reds, sebuah laman bola sepak mengenai Liverpool. Like fanpage Malaysian Reds di Facebook untuk mendapatkan info tentang Liverpool.

Baca juga: Sejarah Permusuhan Manchester United Dengan Liverpool

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN