Ong Kim Swee: “Jadikan Provokasi Sebagai Senjata Untuk Menentang Iraq”

Iklan

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan melalui pengalaman pertama beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 apabila dijadualkan akan turun bertemu Iraq dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, 4.00 petang ini (waktu Malaysia).

“Kami sudah bersedia, ia bukanlah kejohanan yang mudah, dan saya yakin ia akan memberikan kami pengalaman,” ujar ketua jurulatih skuad B-23 itu ketika sidang media pra-kejohanan, semalam.

“Kami perlu bekerja keras, saya yakin pemain-pemain saya telah bersedia. Kami berharap dapat belajar banyak perkara dan berkemungkinan akan ada keputusan yang mengejutkan,” tambahnya lagi.

Melihatkan rekod terkini pasukan Iraq, ternyata anak-anak buah Abdul-Ghani Shahad sangat cemerlang tahun lalu apabila merekodkan 5 kemenangan dan 2 seri dalam 7 perlawanan sepanjang 2017.

Malah, juara edisi 2013 ini juga mencatatkan rekod bersih, menang semua aksi kelayakan untuk kejohanan ini. Iraq menang 8-0 ke atas Afghanistan, Bahrain (2-1) dan Arab Saudi (3-0).

Ong Kim Swee mengendalikan sesi latihan skuad bawah 23 tahun negara. FOTO: FAM

Semuanya BOLA telah menghubungi Kim Swee untuk bertanyakan persediaan akhir menjelang aksi sulung skuad muda negara dalam kejohanan yang telah memasuki edisi ketiga ini.

“Iraq telah menjuarai kejohanan B-23 dan layak ke Olimpik melalui kejohanan sebelum ini,” ujar Kim Swee apabila ditanya mengenai kekuatan pasukan lawan.

“Mereka mempunyai kekuatan yang seimbang dan memiliki pemain-pemain yang berkualiti, namun setiap kekuatan pasti ada kelemahannya,” tambahnya lagi.

Apabila ditanya mengenai perancangan khasnya untuk menyekat pasukan daripada Timur Tengah itu, Kim Swee menjelaskan tiada perancangan khas untuk skuad kendaliannya.

“Tiada rancangan khas dan yang penting pemain berusaha sebagai satu unit dan tunjukkan semangat juang yang tinggi,” ujarnya kepada Semuanya BOLA.

Kim Swee sudah pasti ada merancang sesuatu, namun ianya bergantung kepada keadaan pemain pada petang ini. Seperti yang umum ketahui, saiz para pemain dari Timur Tengah lebih tegap berbanding Asia Tenggara.

“Ianya amat mustahak, tetapi kita tidak perlu mengikut emosi,” jelas Kim Swee mengenai kemungkinan akan menggunakan pendekatan yang lebih fizikal dan keras untuk pertemuan dengan Iraq.

Para pemain sedang menjalani latihan. Foto: Facebook FAM.

Kim Swee yakin dengan pendekatan taktikal dan disiplin yang betul, mereka mampu untuk memperolehi keputusan yang baik ketika menentang Iraq nanti.

Ditanyakan mengenai isu provokasi para pemain Iraq terhadap pemain negara, dia melihat perkara tersebut dari sudut positif dan mahukan pemainnya juga bersikap begitu.

“Provakasi atau apa sekalipun yang terjadi di luar padang, itu telah menjadi asam garam dalam bolasepak,” ujarnya sambil menyatakan para pemainnya telah bertindak bijak dengan bersikap profesional.

“Yang lebih penting kita harus ambil provokasi tersebut sebagai senjata untuk lebih bersemangat apabila bermain dengan Iraq,” tambah jurulatih berusia 47 tahun itu lagi.

Semuanya BOLA turut bertanyakan tentang bayangan kesebelasan utama untuk aksi pertama ini, namun Kim Swee jelas masih belum membuat keputusan mengenainya.

“Senarai kesebelasan hanya akan ditentukan beberapa jam sebelum sepak mula di mana kita mempunyai satu lagi sesi latihan petang ini (kelmarin),” jelas Kim Swee.

Mengenai pemilihan ketua pasukan pula, Kim Swee memaklumkan bahawa dia masih mengekalkan kapten yang sama iaitu, Adib Zainudin dan akan dibantu oleh Adam Nor Azlin.

Apa jua keputusan petang ini, skuad muda negara perlu mempamerkan aksi yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini bukanlah peringkat Asia Tenggara lagi, inilah kejohanan tahap Asia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram