Khalid Ali Tidak Mahu Pemain Harimau Malaya Tendang Ke Bulan Lagi

Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali yakin skuad Harimau Malaya akan mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF berdasarkan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buah Tan Cheng Hoe ketika menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bercakap kepada Berita Harian, meskipun bangga dengan corak permainan cantik skuad Harimau Malaya namun beliau kecewa banyak peluang yang terhidang di depan mata gagal disudahkan dengan baik kerana kebanyakan pemain tendang melambung tinggi.

“Terus terang, bagi saya perlawanan malam tadi adalah yang terbaik dan cantik daripada pasukan bola sepak kita kalau dibandingkan dengan empat atau lima tahun lalu.

“Tetapi kelemahan kita adalah penyudah yang tidak tepat walaupun mempunyai terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya harap Cheng Hoe selaku jurulatih berpengalaman akan perbaiki segera kelemahan itu kerana kita sedar apabila bermain di Bangkok bukan mudah dan apabila dapat peluang pemain kena gunakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Berita Harian

Aksi pemain skuad Harimau Malaya ketika menentang Thailand. FOTO: AFF

Waspada terhadap ancaman Thailand di Bangkok

Malaysia terikat 0-0 di hadapan 87,000 penyokong sendiri ketika aksi separuh akhir pertama di Bukit Jalil. Perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember ini bakal menjadi penentu slot ke final.

Walaupun berjaya memastikan Thailand gagal membawa bekalan gol dari tempat lawan, Khalid harap barisan pertahanan negara terus konsisten dan kebal kerana skuad gajah putih itu pasti akan menyerang habis-habisan.

“Lawan Thailand di tempat mereka bukan senang, apatah lagi Indonesia dan Singapura (dalam Kumpulan B) turut menjadi mangsa apabila bermain di sana.

“Begitupun, saya optimis kita tetap ada kualiti untuk menang dengan syarat bermain secara serangan balas dan penyerang kena guna betul-betul peluang yang datang dan jangan bazirkan lagi,” katanya.

Skuad negara dalam misi mencari kejuaraan kali kedua selepas menjuarai trofi berkenaan pada tahun 2010 yang ketika itu Tan Cheng Hoe bertindak selaku penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply