Khairu Azrin: Pemain Serba Boleh Yang Menjadi Kunci Kestabilan Penang

Khairu Azrin Penang

Ketiadaannya dalam tiga perlawanan terakhir bersama Penang FC jelas satu kehilangan besar apabila pasukan mengalami dua kekalahan berturut-turut sekali gus menjejaskan peluang merapatkan jurang dengan tiga pasukan teratas Liga Super.

Pemain yang dimaksudkan ialah pemain tengah, Khairu Azrin Khazali, yang kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan MCL (Ligamen Medial Collateral) dan kini berharap dapat pulih sebelum Liga Malaysia kembali bersambung.

Bertindak selaku pemain tengah yang memegang fungsi nombor 6 iaitu membantu bahagian pertahanan, kehadirannya sering kali menjadi kunci kepada kestabilan pasukan yang turut ampuh di jentera serangan.

“Saya mendapat kecederaan di bahagian lutut semasa pertemuan dengan Sri Pahang sebelum disahkan mengalami MCL dan mengikut kata doktor, saya kena berehat selama dua bulan.

“Mujur tidak perlu dibedah dan hanya perlu melakukan rawatan biasa kerana ada sedikit koyakan di dalam lutut, sekarang saya sudah pulih lebih kurang 90 ke 95 peratus namun saya tidak boleh lagi menyertai latihan seperti biasa kerana sudah lama tidak menyentuh bola.

“Memang saya akui tidak sabar untuk turun beraksi selepas hanya mampu melihat dari jauh menonton kawan-kawan beraksi dalam beberapa perlawanan, harap saya boleh membantu kembali pasukan.

“Saya berterima kasih kepada Penang memberikan kepercayaan untuk beraksi dalam hampir semua perlawanan dilalui, saya akui karier di sini antara detik terbaik sepanjang bergelar pemain profesional,” katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu bukanlah satu nama yang asing dalam pentas Liga Malaysia kerana pernah menjadi tunjang kekuatan PKNS FC yang pernah bersama pasukan itu mencipta sejarah mara ke pentas akhir Piala FA 2016.

Selain pernah bersama PKNS sejak tahun 2011, pemain yang berasal dari Hulu Langat, Selangor itu juga pernah beraksi dengan Melaka United, Felda United dan Terengganu FC sebelum ke Penang sejak musim lalu.

Sementara itu, Khairu berkata, apa yang dicapai Penang musim ini adalah sesuatu yang menakjubkan kerana selaku pendatang baharu Liga Super, mereka berjaya meraih kedudukan di tempat keempat.

“Pada asalnya, sasaran yang diletakkan pasukan hanyalah untuk berada dalam kalangan enam terbaik tetapi selepas 13 perlawanan, kami sudah melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Jika kami boleh kekalkan kedudukan ini, bagi saya semestinya sudah cukup baik kerana bukan sahaja kami ini pendatang baharu tetapi turut mempunyai ramai pemain baharu, ” katanya.

Khairu dalam masa sama mengatakan kecemerlangannya setakat ini bukanlah tiket untuk dia terus berada dalam kesebelasan utama memandangkan Penang turut mempunyai beberapa pemain lain untuk bermain di posisinya.

“Dalam pasukan, pemain yang boleh bermain di posisi nombor 6 ialah David Rowley dan Fadhil Idris, ini satu persaingan yang sihat kepada saya untuk sentiasa beri terbaik dalam perlawanan.

“Jika jurulatih menggunakan taktikal 4-2-3-1, saya dan Rowley akan digandingkan bersama tetapi jika 4-1-4-1 iaitu yang lebih bercorak serangan, saya akan digunakan jurulatih di posisi nombor 6,” katanya. – MFL

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Ifwat Kembali Perkukuh Benteng Kedah, Harap Tak Lagi Dihantui Kecederaan Panjang

Penantian Tujuh Tahun Ashar Al Aafiz Bersama Sri Pahang Akhirnya Membuahkan Hasil

Bekas Pengurus Selangor ‘Bidas’ Kenyataan TMJ Tentang Isu Intensiti

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply