Khabar Dari Terengganu FC, Faris Ramli Antara Yang Pergi, Lee Tuck Belum Pasti

Kerjasama Semuanya BOLA

Lee-Tuck-Faris-Ramli-vs-Pahang-Terengganu-FC-2020

Layak ke saingan Piala AFC 2021, Terengganu FC seakan-akan dilanda ombak kuat dengan beberapa khabar status pemain musim depan termasuklah Faris Ramli.

Apa yang sudah pasti adalah Faris Ramli sudah tidak bersama Terengganu. Ini telah disahkan menerusi postingnya di Instagramnya sebentar tadi. Memetik kenyataannya di posting tersebut, “Kita tunggu dan lihat apa yang menanti saya untuk tahun 2021, tetapi buat masa sekarang, saya mahu ucapkan selamat tinggal.”

“Kita berjaya capai sasaran yang kita letak pada awal musim dan saya mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan. Tiada sebarang peluang diberikan kepada kita, tetapi kita telah memberikan yang terbaik,” titipnya di Instagramnya itu lagi.

Faris Ramli hadir dengan reputasi besar selaku pemenang Anugerah Pemain Terbaik S-League 2019 dan pernah memenangi gelaran Liga Super 2013 dan Piala FA 2015 bersama LionsXII yang bersaing di Liga M, beberapa ketika dahulu.

Ternyata kehadirannya memberi impak yang baik buat Sang Penyu terutamanya di jentera sayap menyerang apabila beliau menjadi antara penyumbang utama bantuan gol dan juga turut meledak gol. Untuk musim 2020, beliau menghasilkan tiga gol.

Selain itu, berita ini turut disahkan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran dan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Selain Faris Ramli, nampaknya dua bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok dan D. Saarvindran juga tidak menyambung kontrak.

Turut berada dalam senarai belum tentu kekal adalah kapten, Lee Tuck, Boubacar Diallo dan Dominique da Sylva yang menyumbang sembilan gol buat mereka musim ini. Selain itu, Sanjar Shaakhmedov pula dikatakan ada tawaran dari luar negara.

Sebelum ini, Lee Tuck tampak seakan-akan mahu kekal bersama Sang Penyu apabila kerap kali mengeluarkan kenyataan mengenai kejayaan mereka musim ini. Katanya, “Diharapkan kontrak saya bersama pasukan dapat disambung dan bersama pemain lain, kami harap dapat tunjukkan kemampuan Terengganu di pentas lebih tinggi.”

Agak janggal apabila seseorang itu tampil beberapa kali bercakap tentang kejayaan pasukan dan mahu buktikan sesuatu di pentas Asia secara tiba-tiba mahu membawa haluan baru dalam karier bola sepaknya. Begitupun, ia masih dalam perbincangan.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain Terengganu yang dikhabarkan bakal menyertai sebuah pasukan di Lembah Klang, Arif Fadzillah, dikatakan membuat ‘pusingan U’ untuk kekal bersama pasukan dalam usaha untuk bersaing di pentas Asia nanti.

KREDIT FEATURED IMAGE: TFC

Baca lagi artikel mengenai Faris Ramli dan Terengganu FC:

Statistik Ini Menunjukkan Impak Kehadiran Faris Ramli Buat Terengganu FC

Nafuzi Zain: Yang Penting Terengganu Layak Ke Suku Akhir

Nafuzi Zain: Faris Ramli Pemain Yang Bijak Dan Pengalamannya Diperlukan TFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram