Terkini: Isu ‘Tolak’ Siaran Langsung, KFA Beri Kenyataan Rasmi

Sejak semalam lagi peminat bola sepak di Malaysia dikejutkan dengan berita penolakan siaran langsung oleh pasukan Kedah. Ada yang mempersoalkan kewajaran tindakan KFA tersebut. Adakah benar KAFA menolak siaran langsung tersebut kerana risau akan masalah kehadiran penyokong?

Tidak kurang juga yang mahukan penjelasan secara rasmi dari KFA. KFA mengakui mereka adalah pihak yang menolak siaran langsung dari Stadium Darulaman dan sebagai langkah alternatif, Media Prima dilaporkan memilih perlawanan JDT vs. Sarawak untuk disiarkan secara langsung.

KFA menerusi Setiausahanya, Dato’ Aminuddin Omar dalam kenyataan rasmi beliau menyatakan:

Merujuk kepada isu semasa mengenai siaran langsung melibatkan perlawanan Liga Super ke-16 (No. 91) antara pasukan Kedah FA menentang Selangor FA pada hari Sabtu ini di Stadium Darulaman, pihak pengurusan tertinggi KFA menjelaskan seperti berikut:

1. KFA mengalu-alukan sebarang usaha untuk menyemarakkan suasana Liga Malaysia dan tidak pernah menghalang pihak penyiar rasmi Liga Malaysia untuk membuat rakaman siaran langsung membabitkan pasukan Lang Merah selama ini samada di Stadium Darulaman mahupun di gelanggang lawan.

2. Isu berkenaan pembatalan siaran langsung perlawanan Liga Super Ke-16 (No. 91) antara Kedah FA dan Selangor FA pada 15 Julai 2017 di Stadium Darulaman, KFA merasakan amatlah tidak munasabah untuk sesebuah pasukan tuan rumah yang beraksi digelanggang sendiri disiarkan secara langsung sebanyak 3 perlawanan berturut-turut.

Untuk rekod, selepas Liga Malaysia bersambung pada bulan Julai, 2 perlawanan di Stadium Darulaman disiarkan secara langsung iaitu 1 Julai 2017 bertemu Perak FA (Liga Super) dan 4 Julai 2017 bertemu Melaka United SA (Piala Malaysia).

3. Pihak KFA amat berterima kasih dengan penyiar rasmi Media Prima kerana memilih pasukan Lang Merah dan ini adalah satu penghormatan dari pihak penyiar rasmi yang memberi tumpuan terhadap prestasi pasukan dalam pemilihan siaran langsung, namun ianya haruslah selari dan diputuskan atas dasar situasi menang-menang untuk kebaikan semua pihak. Untuk rekod masih ada pasukan lain dalam Liga Super yang masih belum disiarkan secara langsung.

Kedah – Syazwan Zainon – Photo by Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

4. Pihak KFA juga terbuka untuk menerima siaran langsung membabitkan pasukan Lang Merah selepas ini namun pemilihan serta pemakluman awal secara rasmi mengenai sesuatu siaran langsung haruslah dibincangkan bersama antara pihak penyiar rasmi, pengendali liga serta pasukan yang terlibat dengan pemilihan siaran.

Ini adalah penting kerana ianya dapat mengelakkan dari terjadinya sesuatu isu penundaan/pembatalan disaat akhir.

5. Pihak KFA amat berterima kasih buat semua penyokong hijaukuning yang berterusan menyokong pasukan di semua gelanggang terutamanya di Stadium Darulaman dan pengorbanan setiap penyokong akan menjadi azimat pasukan untuk terus beraksi cemerlang pada musim ini.

KFA percaya sokongan melalui pelbagai cara adalah faktor utama kemeriahan Liga Malaysia terutamanya di bumi jelapang padi.

Sekian, terima kasih.

Jadi, persoalan ini sudah terjawab dari pihak KFA sendiri. Mereka tidak menyebut yang langkah menolak siaran langsung ini adalah kerana kutipan duit tiket dan kerisauan ke atas kehadiran penyokong ke stadium.

Sebaliknya, KFA menegaskan mereka mahukan pasukan lain pula merasa siaran langsung selepas 2 kali berturut-turut siaran langsung Liga Super dan Piala Malaysia dari Darulaman.

Mujurlah Media Prima memberikan budi bicara untuk menukar siaran langsung. Ini kerana Media Prima mendapat hak penyiaran rasmi untuk Liga Super 2017.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram