Ketiadaan Safawi Hanya ‘Luka Kecil’ Buat JDT

Kerjasama Semuanya BOLA

JDT Safawi Rasid

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini dunia bola sepak

Kehilangan khidmat Safawi Rasid untuk tempoh beberapa perlawanan tidak menjadi masalah buat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai barisan skuad yang serba lengkap di setiap posisi.

Menjelang pertemuan berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu ini, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui tidak bimbang dengan ketiadaan penyerang skuad kebangsaan itu kerana masih mempunyai beberapa pilihan lain di posisi sayap kanan.

Bagaimanapun pengendali yang berasal dari Mexico itu tetap berharap Safawi segera pulih agar pemain muda itu dapat kembali bekerja keras untuk meningkatkan tahap permainannya dan sekaligus membantu JDT untuk mengharungi saingan Liga-M musim ini yang masih panjang.

“Pasukan ini masih mempunyai Aiman, Ramadhan, Sumareh, Akhyar untuk diturunkan malah Nazmi juga boleh bermain di posisi itu,” ujar Mora yang ditemubual media MFL.

“Saya sememangnya belum tahu lagi untuk menurunkan siapa sebagai penggantinya. Saya bernasib baik kerana pemain-pemain ini sentiasa beraksi dengan begitu cemerlang jika diberi ruang, semua ini hanya berkenaan pemain dan saya hanya bertindak sebagai pemberi keyakinan kepada mereka.

“Safawi sememangnya seorang pemain yang terbaik di Malaysia, seperti mana yang saya pernah beritahu banyak kali sebelum ini tetapi inilah bola sepak, ada masanya anda perlu berehat untuk sembuh daripada kecederaan.”

Mora juga berkata beliau gembira semua pemain yang diturunkan setakat ini sentiasa mampu memberikan yang terbaik di atas padang dan ini memudahkan perancangannya untuk membuat penggiliran pemain.

Menjelang pertemuan dengan kelab dari Lembah Klang itu, Mora telah pun membuat persediaan dengan merehatkan beberapa pemain utama ketika berdepan UiTM FC pada Sabtu lalu sebagai fokus untuk memastikan tiga mata menjadi milik pasukannya di tempat sendiri.

“Segala-galanya memang perancangan saya setelah melakukan analisa terperinci keadaan pemain dan saya merehatkan Leandro Velazquez, Afiq Fazail manakala Naxto Insa hanya bermain sehingga minit ke-60, Gonzalo Cabrera dikeluarkan pada pertengahan separuh masa pertama,” ujarnya lagi.

“Hampir lapan ke sembilan pemain utama tidak menamatkan perlawanan dengan UiTM kerana kami gunakan penggiliran pemain, sekali lagi, saya bernasib baik semua pemain mampu beraksi dengan baik.”

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada September tahun lalu di mana juara Liga Super 2020 itu meraih kemenangan besar 6-1 Stadium Sultan Ibrahim dengan Safawi meledak dua jaringan pada perlawanan itu selain Ramadhan (dua gol), Diogo dan Cabrera.

Perlawanan lain yang turut berlangsung pada Rabu ialah membabitkan Kuala Lumpur City FC dan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur serta Kedah Darul Aman (KDA) FC akan melayani kunjungan PJ City FC di Stadium Darul Aman.

Manakala Terengganu FC yang sedang mencabar hebat JDT selaku pendahulu, akan berdepan Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Cheng Hoe: Luqman Hakim Pemain Berpotesi Besar Untuk Skuad Kebangsaan

Pendekatan ‘Tenang’ Nafuzi Jadikan Pemain Muda TFC Bersemangat Tinggi

Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Arif Aiman & Bergson da Silva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply