Kesebelasan Utama Bundesliga Selepas Tamat Pusingan Pertama Pilihan Whoscored.com

Sejumlah 17 perlawanan pusingan pertama telah dilalui oleh 18 pasukan yang bersaing dalam merebut kejuaraan liga utama di Jerman ini.

Perlawanan pada minggu ke 17 yang berlangsung dua minggu lalu merupakan perlawanan terakhir pusingan pertama sebelum pentas di buka kembali pada 13 Januari 2018.

Daripada 17 perlawanan ini, sebuah portal analisa bola sepak yang dikenali sebagai ‘whoscored.com’ telah memilih kesebelasan utama hasil daripada reputasi dan persembahan pemain melalui analisa yang dilakukan sejak dari perlawanan pertama.

Berikut merupakan senarai kesebelasan utama yang dipilih berdasarkan ‘rating’ pemain-pemain yang dikumpul dalam kesemua penampilan di peringkat liga:

Penjaga Gol: Koen Casteel (7.1) Wolfsburg

Penjaga gol kebangsaan Belgium ini telah turun dalam kesemua perlawanan peringkat liga dan telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika membantu pasukannya menundukkan Borussia Monchengladbach 3-0 di laman sendiri.

Berjaya mencipta 4 ‘clean sheet’ dari 17 perlawanan selayaknya pemain ini dipilih sebagai penjaga gol pilihan Bundesliga setakat ini. Untuk rekod, musim lepas beliau berjaya merekod 8 ‘clean sheet’. Berbaki lagi 17 perlawanan, adakah beliau mampu memecah rekod musim lalu?

Pemain ini pernah berada dalam situasi yang terumbang ambing dalam kariernya pada tahun 2015 apabila pernah beraksi untuk 3 pasukan. Namun, baru-baru ini, Wolfsburg berminat untuk meletakkannya dalam perancangan jangka panjang pasukan dengan menandatanganinya selama 4 tahun.

Pertahanan Kanan: Joshua Kimmich (7.4) Bayern Munich

Pemain muda dan merupakan antara prospek utama dalam mengekalkan penguasaan Jerman dalam kejohanan Piala Dunia 2018 nanti.

Sering dikaitkan dengan lagenda Bayern Munich, Philip Lahm, beliau tampak semakin selesa di posisi bek kanan dan merupakan antara pemain ‘regular’ skuad kendalian Jupp Heynckes.

Membuat 17 penampilan termasuklah diturunkan sebanyak 2 kali sebagai pemain simpanan, beliau berjaya meledak 1 jaringan dan mencipta 6 bantuan gol.

Beliau turut terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika pasukannya menundukkan Mainz 4-0 di Allianz Arena dan dalam perlawanan ini juga, beliau berjaya mencipta 3 bantuan gol.

Pertahanan Tengah: Salif Sane (7.5) Hannover 96

Pemain kebangsaan Senegal yang berusia 27 tahun  ini hanya terlepas satu perlawanan bersama Hannover sepanjang kempen liga setakat ini.

Berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol adalah satu pencapaian baik buat seorang pemain pertahanan.

Dipilih sebanyak 6 kali sebagai pemain terbaik perlawanan membuktikan betapa pemain pertahanan ini berada dalam kelasnya yang tersendiri setidak-tidaknya mengetepikan beberapa pemain pertahanan berpengaruh yang ada pada pasukan Bayern Munich, Bayer Leverkusen, Borussia Dortmund dan RB Leipzig.

Pertahanan Tengah: Naldo (7.4) Schalke 04

Meskipun sudah berusia 35 tahun, namun tidak menghalang pemain dari Brazil ini dari mempamerkan prestasi yang menakjubkan.

Menggunakan pengalaman yang luas sebelum ini ketika bersama pasukan Werder Bremen sejak tahun 2005 jelas mematangkan corak pertahanan yang dimiliki.

 

Meledak sebanyak 3 gol dan 2 kali mencipta bantuan gol serta dipilih 4 kali sebagai pemain terbaik setakat ini membuktikan mengapa pemain ini perlu ada dalam kesebelasan utama Bundesliga musim ini.

Antara ‘moment’ yang paling indah musim ini apabila beliau menjadi wira buat Schalke ketika menjaringkan gol penyamaan selepas pasukannya itu ketinggalan 4 gol ke atas Borussia Dortmund.

Pertahanan Kiri: Philipp Max (7.4) Augsburg

Dilabel sebagai pemain ‘regular’ Augsburg dan telah menjaringkan 1 gol buat pasukannya setakat 17 perlawanan.

Apa yang membuatkan pemain ini tersenarai dalam kesebelasan pilihan ini ialah jumlah bantuan gol yang tinggi direkodkan beliau selepas 17 penampilan.

Sebanyak 9 bantuan gol meletakkan betapa sentuhan kaki kirinya amat berbisa dalam mengatur serangan buat pasukannya.

Pakar dalam sepakan ‘set-piece’ terutamanya sepakan sudut antara penyumbang kepada jumlah bantuan gol yang tinggi dan melebihi pencapaian tonggak Bayern Munich, Thomas Muller dan Joshua Kimmich yang sekadar merekodkan 6 kali.

Beliau yang baru berusia 24 tahun dilihat antara prospek yang baik untuk pasukan Jerman selepas pemain bek kiri kebangsaan, Jonas Hector mengalami kecederaan.

Sayap Kanan: Daniel Caligiuri (7.4) Schalke 04

Pemain sayap Schalke ini dilihat sedikit melebihi prestasi dan reputasi besar pemain muda Dortmund, Christian Pulisic.

17 kali diturunkan berbanding Pulisic sebanyak 16 kali, dan merekodkan bantuan gol yang lebih berbanding Pulisic meletakkan pemain ini dipilih sebagai pemain sayap terbaik berbanding Pulisic.

Salah satu perkara unik yang ada pada Caligiuri adalah kebolehan pemain ini dalam membantu barisan pertahanan yang dilihat agak kurang pada Pulisic serta keupayaan pemain ini dalam melancarkan bentesan yang bersih sekaligus melindung kubu pertahanan pasukannya.

Tengah Bertahan: Arturo Vidal (7.7) Bayern Munich

Masih lagi menjadi pilihan Bayern Munich untuk beraksi di posisi tengah meskipun terpaksa berebut dengan seorang lagi jeneral di bahagian tengah iaitu Thiago Alcantra.

Menerusi 14 penampilannya bersama pasukan, beliau telah dinobatkan sebagai pemain terbaik sebanyak 4 kali sekaligus mendahului pemain-pemain lain yang berada diposisinya itu.

Telah menjaringkan 5 gol setakat ini, merupakan pencapaian baik buat pemain yang turut dilabelkan sebagai pemain ‘box-to-box’ dek kerana ‘link-up play’ yang dimainkan antara barisan pertahanan dan menyerang.

Musim lalu sahaja, purata sentuhan bola pemain ini adalah sebanyak 107 untuk satu-satu perlawanan, satu angka yang agak tinggi.

Antara perlawanan musim ini yang menjadi ingatan adalah perlawanan melibatkan Bayern Munich dan Augsburg, di mana beliau dipilih sebagai pemain terbaik hasil dari 1 gol yang dijaringkan, 1 bantuan gol kepada Robert Lewandowski dan memenangi statistik bentesan yang kedua tertinggi dalam perlawanan itu.

Tengah Menyerang: Naby Keita (7.5) RB Leipzig

Pemain yang sedang menjadi buruan beberapa pasukan dari Liga Perdana Inggeris ini selayaknya berada dalam kesebelasan pilihan setakat ini. Baru berusia 22 tahun, pengaruh yang dimainkan pemain ini sangat besar untuk RB Leipzig.

Dua gol dan 1 bantuan gol selepas 17 perlawanan mungkin angka yang kurang menarik, namun dari aspek ‘pass success pemain ini adalah antara yang terbaik iaitu merekodkan 82%, memungkinkan pemain ini dinobat 3 kali sebagai pemain terbaik perlawanan.

Sayap Kiri: Leon Bailey (7.5) Bayer Leverkusen

Bintang Jamaica berusia 20 tahun ini sedang meniti dibibir dalam kalangan peminat di Eropah selepas beliau berjaya mempamerkan prestasi yang hebat selepas melakukan 14 penampilan bersama Leverkusen di Bundesliga.

Berjaya meledak 6 gol sebagai pemain sayap merupakan pencapaian yang baik dan telah dipilih sebanyak 2 kali sebagai pemain terbaik. Mampu diletakkan di bahagian kiri dan kanan pasukan menjadikan pemain ini sedikit menegelamkan tumpuan yang sebelum ini lebih terarah kepada Julian Brandt dan Karim Bellarabi.

Beliau turut diletakkan dalam kesebelasan pilihan dalam kejohanan UEFA Europa League selepas melalui perlawanan peringkat kumpulan, dan antara penglibatan yang maksima oleh pemain ini adalah sumbangan 2 gol untuk pasukannya ketika melebarkan rekod tanpa kalah Leverkusen dalam liga selepas 12 perlawanan.

Penyerang: Pierre-Emerick Aubameyang (7.3) Borussia Dortmund

Pemain yang baru sahaja merekodkan sejarah baru selepas mengetepikan lagenda Afrika, Tony Yeboah ketika mewakili Werder Bremen dahulu. Beliau telah meledak 97 gol berbanding 96 gol oleh Yeboah dan dilihat mampu melebarkan penguasaan ini bersama Dortmund.

Hanya dipisahkan 2 gol dengan pendahulu penjaring terbanyak iaitu Robert Lewandowski, beliau dilihat antara senjata pemusnah buat Dortmund. Baru-baru ini, beliau dilaporkan telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Dortmund sehingga tahun 2021 sekaligus menafikan khabar angin perpindahan pemain ini ke La Liga dan EPL.

Penyerang: Robert Lewandowski (7.5) Bayern Munich

Merupakan antara penyerang yang terhebat di Eropah ketika ini menjadikan pemain ini merekodkan jumlah jaringan tertinggi selepas menamatkan pusingan pertama Bundesliga.

Tidak pernah terlepas dalam setiap aksi liga memberikan peluang untuk beliau menambah koleksi jaringan sekaligus berjaya menjarakkan kedudukan dengan Aubameyang.

Meskipun tidak merekodkan sebarang bantuan gol dan dipilih sebagai pemain terbaik dalam aksi liga, bukanlah penghalang buat pemain ini untuk dinobatkan sebagai seorang penyerang utama hasil dari keupayaan pemain ini dalam menjaringkan gol dalam situasi yang agak sukar.

Rumusan:

Selepas menamatkan 17 perlawanan pusingan pertama, ini adalah kesebelasan utama yang menyinar hasil statistik yang dikeluarkan oleh whoscored.com. Penyenaraian beberapa pemain yang dianggap ‘unsung hero’ adalah tepat seperti Caliguiri, Max dan Bailey.

Mampukan beberapa pemain ini terus konsisten selepas tirai pusingan kedua liga bersambung pada 13 Januari ini? Siapa pula pilihan kesebelasan utama anda selepas 17 perlawanan Bundesliga? Kongsikan bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN