Kerjasama MFL, TM Beri Semangat Baharu Buat Semua Pasukan

TM

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan bahawa beliau begitu berbesar hati dengan kerjasama di antara Malaysia Football League (MFL) dan Telekom Malaysia (TM).

Dr Johan turut mengharapkan kerjasama yang kembali terjalin itu dapat mengubah hala tuju bola sepak tempatan ke arah yang lebih cemerlang.

Bahkan, beliau tidak menolak semua pasukan yang bertanding melahirkan rasa teruja dengan penajaan tersebut memandangkan MFL telah bergelut dengan pelbagai cabaran pada musim lalu dan kini sudah tiba masa untuk mengorak langkah dengan lebih baik.

Dr. Johan Kamal

Apa yang pasti, Johan percaya tidak akan timbul lagi isu hak penyiaran pada musim ini dengan adanya TM sebagai penaja dan percaya usaha keras daripada MFL untuk terus memastikan kelancaran Liga Malaysia buat semua pasukan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selaku Presiden MFL dan semua rakan kerja MFL atas usaha untuk memeterai perjanjian bersama TM selaku penaja utama.

“Saya rasa dengan kehadiran semula TM ini dapat memberikan semangat baharu kepada semua pasukan dan FAS sendiri berbesar hati bahawa perkara ini akhirnya selesai dan Alhamdulillah kami mengharapkan TM akan sentiasa menyokong Liga Malaysia selaku penaja.

“Sudah tentu, apabila ada penaja, hak penyiaran turut menjadi kepentingan dan kami sememangnya percaya MFL begitu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat semua rakan kongsi di mana saya rasa ini permulaan yang cukup baik daripada TM dan MFL,” jelasnya.

Kredit foto: Malaysia Football League

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram