Kerat Separuh Logo KDA FC Untuk Beri Kesedaran Kepada KFA Kepentingan Bola Sepak Wanita

Semalam kita dikejutkan dengan berita melibatkan skuad bola sepak wanita Kedah. Juara Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2018 dilaporkan tidak akan beraksi pada musim ini selepas badan induk yang mengelola pasukan tersebut, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan tiada dana diperuntukkan untuk pasukan itu pada musim ini.

Berita buruk itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah bahawa skuad itu ketiadaan dana untuk menyertai kejohanan PTSR musim ini.

Seperti yang semua sedia maklum, bola sepak wanita, bola sepak pantai dan program pembangunan bola sepak adalah dibawah kelolaan persatuan negeri dan bukanlah di bawah kelab yang baharu diwujudkan tempohari iaitu Kedah Darul Aman FC.

Dengan perkhabaran ketiadaan dana untuk menyertai PTSR dan pemaklumkan tiada penyertaan daripada Kedah untuk musim 2021, mereka kini terpaksa bergerak secara persendirian untuk tetap menyertai kejohanan PTSR tanpa bantuan dari KFA kali ini.

Lebih menyedihkan, pasukan yang kini akan dikenali sebagai Red E’Girls terpaksa membuat permohonan bantuan dan pencarian penaja mereka di media sosial mereka untuk mencukupkan dana bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan tersebut.

Realiti sebenar bola sepak wanita

Bola sepak wanita sering kali tidak mendapat sambutan yang sewajarnya. Ia jauh sekali dari dunia ‘glamour’ sepertimana yang dinikmati oleh bola sepak lelaki. Di kebanaykkan tempat, bola sepak wanita berhadapan dengan masalah pembayaran gaji, nilai tajaan yang kecil atau tiada langsung dan penganjuran pertandingan itu sendiri.

Tidak keterlaluan jika kita katakan bola sepak wanita seolah-olah mengalami diskriminasi gender. Sejak beberapa tahun yang lalu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai badan dunia untuk memperkasakan bola sepak wanita.

Bola sepak wanita di Colombia adalah contoh di mana pasukan wanita di negara tersebut ibarat hidup segan, mati tidak mahu. Walaupun datangnya dari sebuah kelab yang terkenal dan memiliki sokongan puluhan ribu penyokong untuk pasukan lelaki, sambutan untuk bola pasukan bola sepak wanita adalah sebaliknya.

Sepertimana di Malaysia, bola sepak adalah sukan yang amat diikuti rapat oleh rakyat Colombia. Namun kedua-duanya memiliki masalah sokongan secara berterusan daripada pihak berwajib, sama ada dari pengelola pertandingan, tajaan, tanggungjawab organisasi untuk tujuan pembangunan, serta sokongan tidak berbelah bahagi oleh penyokong bola sepak itu sendiri.

Disebabkan kurangnya pelaburan dan sokongan diterima, pertandingan bola sepak wanita di negara tersebut hampir gulung tikar pada 2019. Bayangan jumlah penyokong yang hadir boleh dihitung dengan jari. Media pula tidak memberi liputan yang sewajarnya. Penganjuran ibarat sekadar melepaskan batuk di tangga menyebabkan statistik perlawanan hampir tidak dapat diperolehi.

Begitu juga dengan bola sepak wanita di negara kita. Tanyalah kepada diri masing-masing. Berapakah bantuan yang sanggup anda hulurkan kepada skuad wanita Kedah untuk membantu mereka beraksi di kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah pada musim ini? Berapa banyak syarikat koporat yang akan tampil sebagai penaja? Berapa ramai penyokong Kedah yang akan membeli tiket perlawanan untuk memberikan sokongan?

Ini antara contoh soalan yang patut kita taya. Sudah tentu di sini kita bercakap dalam konteks lebih besar dari penyokong Kedah itu sendiri. KFA pula secara terang-terangan sudah cuci tangan enggan memberikan komitmen mereka. Jauh sekali untuk membantu mencari cara agar sekurang-kurangnya bantuan kewangan dapat dihulurkan.

Realiti bola sepak di Colombia

Atau mungkin kita boleh belajar dari Colombia. Club Deportivo Popular Junior F.C. S.A, turut dikenali sebagai Junior de Barranquilla bukan sebuah kelab yang asing di Colombia. Penyerang sensasi dan legenda Colombia, Carlos “El Pibe” Valderrama adalah antara pemain yang pernah menyarung jersi kelab tersebut selain Dida dan Garrincha dari Brazil.

Beraksi di Estadio Metropolitano Roberto Meléndez yang mempunyai kapasiti 46,692 tempat duduk, jarang sekali stadium tidak penuh terutama selepas Junior F.C muncul juara Categoría Primera A pada 2019. Bagaimanapun itu adalah kisah skuad lelaki. Berbeza sekali dengan apa yang berlaku dengan skuad wanita.

Berbeza dengan di Malaysia, pertandingan bola sepak di Colombia diadakan secara liga. Musim 2019 menyaksikan pertandingan hampir tidak dapat diadakan kerana ketiadaan dana dan sokongan.

Masalah di Colombia mungkin lebih teruk berbanding di negara kita. Pemain yang cuba bersuara akan disingkirkan dari pasukan kebangsaan. Masalah juga melibatkan pihak pengurusan kelab yang mengamalkan diskriminasi, selain gaji dan hadiah kemenangan yang tidak dibayar.

Dari segi kehadiran penyokong, bola sepak wanita di Colombia juga mengalami masalah sambutan. Kebiasaannya perlawanan berlangsung dalam stadium yang hampir kosong. Penyokong hanya berminat menyaksikan perlawanan membabitkan skuad lelaki.

Kempen ‘half fans’ di Colombia

Untuk mengubah keadaan tersebut, penaja utama Primera A, Aguila secara diam mengadakan satu kempen untuk memberi kesedaran kepada semua pihak – dari peringkat tertinggi pengurusan bola sepak di negara tersebut sehinggalah ke peringkat kelab dan penyokong.

Daripada saingan liga yang hampir dibatalkan pada 2019, Aguila berjaya mengubah realiti bola sepak wanita di negara tersebut dalam masa yang singkat. Bagaimana caranya?

Segar daripada muncul juara Prmiera A, Aguila bertindak mengubahsuai logo pada jersi Junior F.C. Sepertimana di mana-mana bahagian di dunia, logo kelab bola sepak adalah sesuatu yang keramat dan sensitif. Anda tentu masih ingat kontroversi yang menyelubungi logo Kedah Darul Aman FC yang dicetuskan oleh Presiden KFA sendiri sebelum ini.

Apa yag Aguila lakukan ialah dengan memotong logo pada jersi yang digunapakai oleh pemain ketika beraksi kepada separuh. Ini bermakna dalam satu perlawanan skuad lelaki Junior FC terpaksa beraksi dengan jersi yang memaparkan separuh logo sahaja. Manakala sebahagian lagi logo kelab pula berada di jersi skuad wanita.

Penyokong yang tidak memahami mesej tersebut pada mulanya marah dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial. Namun semuanya berubah selepas itu apabila mereka mulai memahami tindakan tersebut.

Anda sayangkan kelab anda. Tetapi perasaan sayang itu tidak boleh diberikan separuh – hanya kepada bola sepak lelaki sahaja. Jika anda adalah seorang penyokong sejati, maka anda harus memberikan sokongan sepenuhnya kepada skuad lelaki dan wanita. Selepas kejayaan di Junior FC, semakin banyak kelab bola sepak di Colombia menyertai kempen ini.

Hasilnya peningkatan sebanyak 633% penonton di Liga bola sepak wanita direkodkan pada 2019. Perlawanan akhir domestik turut menyaksikan 55,000 penyokong membanjiri stadium – satu fenomena yang dianggap mustahil sebelum itu. Saksikan paparan video di atas.

Rumusan

Situasi mungkin sedikit berbeza dengan di Malaysia khususnya di Kedah. Tetapi apa yang kami faham Kedah Darul Aman FC masih lagi berada di bawah pemilikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang berada di bawah kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi bin Md Nor. Sepertimana skuad KDA FC yang mewakili skuad lelaki, ini juga bermakna Red Eagles FC harus mendapat sokongan yang serupa dari KFA.

Membangunkan bola sepak memang tidak mudah. Apatah lagi dari peringkat akar umbi. Namun jika presiden dan badan induk sendiri mengambil langkah mudah ‘cuci tangan’ dengan mengabaikan perkara dari sebahagian yang membentuk asas bola sepak itu sendiri, maka pengertian di sebalik tindakan tersebut sebenarnya amat jelas.

Anda tidak memahami bola sepak, dan anda tidak layak memimpin mana-mana organisasi bola sepak. Wajarkah logo KDA FC dikerat separuh untuk memberi kesedaran yang sama?

Baca artikel lain mengenai Kedah Darul Aman FC melalui pautan:

Rabih Ataya Tak Cukup ‘Baguih’ Untuk Kedah Setakat Ini?

‘Ramai Yang Lebih Layak’ – MB Kedah Sedia Lepas Jawatan Presiden KFA

Sanusi: Keutamaan Kerajaan Kedah Adalah Menjaga Kebajikan Rakyat

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN