Keperincian Analisis Oleh Bielsa Sudah Lama Kagumkan Guardiola

Kerjasama Semuanya BOLA

Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa berkata keterujaan beliau untuk melakukan analisis terhadap pasukan lawan bermakna dirinya mengetahui lebih banyak perkara mengenai Barcelona jika mahu dibandingkan dengan bekas pengendali, Pep Guardiola.

Bielsa semalam tampil dalam satu sidang media untuk menjelaskan kaedah yang digunakan oleh beliau untuk melakukan kajian terhadap pasukan lawan – berikutan skandal ‘spygate’ – secara terperinci, dan ia turut mengejutkan Guardiola yang kini adalah pengurus Manchester City.

Ambil tanggungjawab

Bielsa mengambil tanggungjawab terhadap skandal ‘spygate’ apabila salah seorang kakitangan Leeds United ditangkap kerana menghendap latihan yang dilakukan oleh Derby County – menjelang pertemuan di antara kedua-dua pasukan di Championship pada Jumaat lalu.

Tindakan Bielsa memanggil wartawan untuk melakukan sidang media tersebut adalah kerana beliau tidak mahu sidang media hari berikutnya (hari ini) yang sepatutnya dikhaskan untuk pra perlawanan dipalit isu yang sama. Ia juga bertujuan untuk mendedahkan cara kerja beliau di Leeds selama ini untuk memudahkan siasatan dilakukan oleh pihak English Football League (EFL).

Leeds United manager Marcelo Bielsa Queens Park Rangers v Leeds United – Emirates FA Cup – Third Round – Loftus Road 06-01-2019 . (Photo by Steven Paston/EMPICS/PA Images via Getty Images)
Guardiola terpegun

Marcelo Bielsa adalah pengurus yang sangat berpengaruh dalam arena bola sepak. Beliau sentiasa percaya, jurulatih tetap jurulatih walaupun apa sahaja prinsip yang menyatakan berikan kebebasan untuk pemain anda bermain.

Antara yang sentiasa mengkagumi hasil kerja Bielsa sejak dari dulu lagi ialah Guardiola – yang mula menyedari tentang keperincian analisis dilakukan terhadap pasukan lawan oleh Bielsa – ketika perlawanan akhir Copa del Rey diantara Athletic Bilbao kendalian jurulatih berusia 63 tahun itu dan Barcelona pimpinan Guardiola pada 2012.

(Photo credit should read LLUIS GENE/AFP/Getty Images)

Bercakap kepada wartawan semalam, Bielsa berkata: “Ketika saya adalah jurulatih Athletic Bilbao dan menentang Barcelona pimpinan Pep Guardiola [perlawanan akhir Copa del Rey], kami tewas 3-0.

“[Selepas perlawanan] Saya menyerahkan informasi yang saya perolehi mengenai Barcelona kepada Guardiola. Beliau melihatnya dan berkata, ‘anda lebih mengetahui Barcelona dari saya sendiri!”

“Saya melakukan analisis tersebut untuk memadam segala pertanyaan dan kerisauan pada diri saya. Tetapi ia masih informasi yang tidak berguna kerana mereka [Barcelona] masih menjaringkan tiga gol.”

Bagaimana Bielsa lakukan?

Bielsa mengakui melakukan intipan terhadap semua latihan oleh pasukan lawan pada musim ini, namun menganggap ia hanya sebahagian kecil dari persiapan keseluruhan yang beliau lakukan.

Analisis oleh Bielsa turut termasuk menonton setiap perlawanan 23 pasukan yang bertanding, kajian secara terperinci mengenai pemain pasukan lawan, diikuti oleh kajian menggunakan data statistik dan juga formasi pilihan yang digunakan.


“Kami menonton setiap perlawanan membabitkan pasukan lawan untuk musim 2018/19 ini,” ujar beliau lagi.

“Kami menyaksikan 51 perlawanan melibatkan pasukan Derby County. Mereka bermain 4-3-3 dari 49.9% perlawanan musim lalu. Kami menggunakan ini untuk memahami sistem yang mereka gunakan dan mengapa, serta bila mereka akan menukar sistem ketika perlawanan.

“Setiap satu perlawanan mengambil masa empat jam untuk dilakukan. Mengapa kami perlu melakukan sedemikian? Itu kerana kami berpendapat itulah sikap profesional yang harus dilakukan.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram