Kenapa Terengganu FC Lalui 2 Perlawanan Tertutup Baru-Baru Ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Terengganu FC PDRM Perlawanan Tertutup Pra-Musim 2020

Terengganu FC telah melakukan persediaan yang rapi sepanjang pra-musim kali ini dan ianya disudahi dengan dua perlawanan tertutup berdepan Pahang dan PDRM FA.

Ianya mengundang persoalan dikalangan penyokong ataupun pemerhati bola sepak Malaysia, adakah Terengganu tidak mahu mendedahkan perancangan akhir ataupun taktikal mereka sebelum sepak mula CIMB Liga Super 2020 yang menjelang tiba?

Terengganu menang dalam kedua-dua aksi tersebut, menang 4-1 ke atas naib juara Liga Super 2019, Pahang dan kemudian menundukkan PDRM dengan keputusan 3-0.

Ketika dihubungi Semuanya BOLA, pengendali pasukan, Nafuzi Zain menafikan yang kedua-dua perlawanan tersebut merupakan medan uji kaji taktikal terakhirnya.

Boleh dikatakan sepanjang pra-musim adalah tempoh untuknya bagi menguji taktikal dan pilihan pemain untuk kesebelasan utama yang akan digunakan oleh Terengganu.

Menurutnya, kedua-dua pasukan tersebut bersetuju dengan cadangan Terengganu untuk mengadakan perlawanan secara tertutup atas beberapa faktor yang telah dijelaskan antaranya masih tidak sesuai untuk menerima kunjungan penyokong.

Perlawanan tersebut telah dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sudah lama tidak digunakan untuk aksi kompetitif dan Nafuzi Zain menjelaskan ianya masih memerlukan masa untuk menerima semula kehadiran para penyokong.

Stadium berkapasiti 50 ribu penonton itu mula digunakan pada Mei 2008 untuk Sukan Malaysia (SUKMA), namun dua kali mengalami keruntuhan struktur binaan – pada 2009 dan 2012, yang menyebabkan ianya ditutup untuk proses baik pulih.

“Kita buat secara tertutup sebab kedua-dua pasukan bersetuju. Lagipun, dalam masa yang sama kita mahu menyediakan stadium itu yang sudah lama tidak digunakan.

“Mungkin [stadium tersebut] belum bersedia lagi untuk menerima kehadiran para penyokong dan juga yang lain,” tambah pengendali berusia 41 tahun itu lagi.

“Bukanlah [sebab] taktikal sangat. Pasukan lawan juga bersetuju untuk main secara tertutup,” jelas Nafuzi Zain lagi sambil memaklumkan skuadnya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk membuka saingan Liga Super di stadium ‘baharu’ itu.

Sebelum ini, Terengganu menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu sebagai gelanggang rasmi dan dengan kelulusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan kembali digunakan musim depan serta bakal menyambut kehadiran semula penyokong pada 29 Februari ini.

KREDIT FOTO: TERENGGANU FC