Kenali Syed Saddiq, Menteri Belia Dan Sukan Yang Baharu

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengangkat sumpah di Istana Negara hari ini sebagai Menteri Belia dan Sukan sekaligus mencipta sejarah sebagai menteri yang paling muda dalam kalangan jemaah Menteri di Malaysia.

Menteri yang paling muda di dunia ialah Shamma Al Mazrui ketika dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan UAE pada usia 22 tahun.

Syed Saddiq yang berusia 26 tahun akan memegang portfolio yang berkaitan hal-hal belia dan sukan di Malaysia bagi menggantikan menteri sebelum ini, YB Khairy Jamaluddin.

Siapakah sebenarnya Syed Saddiq?

Beliau merupakan pendebat terbaik asia ketika mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC) di Bali.

Kebijaksanaan dan kepetahan beliau dalam berhujah memberikan pendapat dikagumi ramai serta dianggap sebagai ikon anak muda pada generasi kini.

Syed Saddiq mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran peringkat Master di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford.

Dari segi sukan bola sepak, beliau merupakan seorang penyokong setia pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan peminat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Walaupun beliau tidak pernah terlibat aktif dalam bidang sukan sebagai atlet, namun beliau mempunyai cita-cita yang tinggi untuk membangunkan sukan negara terutamanya E-Sports (E-Sukan).

Menurut Syed Saddiq, pemain E-sukan atau ‘gamers’ di Malaysia wajar diberi perhatian melalui penyediaan fasiliti sewajarnya demi memajukan sukan itu sendiri.

Beliau berkata kerajaan komited untuk membantu anak-anak muda yang berpotensi tinggi dalam industri ini menerusi pembangunan “stadium” e-sukan atau e-stadium.

E-sukan merupakan sebahagian daripada evolusi sukan, dan sewajarnyalah stigma buruk mengenai pemain permainan video wajar diubah.

“Mungkin ada pihak akan kata kenapa mahu bantu mereka (pemain e-sukan) yang malas duduk atas kerusi tidak membuat apa-apa. Tetapi, sukan berevolusi.

“Kalau kita lihat pada kurun ke-18 atau ke-19, sukan yang ada sekarang mana ada wujud pada masa dahulu.

“Kita perlu pandang ke hadapan. Kita sudah masuk ke fasa yang baru dan ia melibatkan e-sukan,” kata Syed Saddiq seperti dipetik dalam Astro Awani.

Kritikan terhadap sukan bola sepak

Sebagai penyokong pasukan JDT, beliau juga tidak terlepas daripada ejekan atau hinaan daripada penyokong pasukan lawan jika JDT tewas dalam perlawanan Liga Malaysia.

Malah, beliau juga pernah melontarkan kritikan terhadap bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengkritik pentadbiran pasukan bola sepak JDT milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, Annuar tidak patut mengharapkan kerajaan persekutuan atau negeri untuk “bail out” KAFA menggunakan wang rakyat susulan kegagalan dirinya sendiri mengurus tadbir KAFA dengan baik selama ini.

Syed Saddiq berpendapat hanya katak di bawah tempurung yang akan menafikan transformasi dibawa TMJ dan kelab JDT berjaya menyatukan orang Johor serta mengembalikan maruah bola sepak negeri itu seterusnya mengubah landskap bola sepak negara.

“Tan Sri harus mohon maaf kepada TMJ dan menjawab tuduhan penyelewengan wang rakyat Kelantan berkenaan pembelian Kereta Porsche Panamera milik Tan Sri,” katanya seperti dipetik dalam free Malaysia today.

Walaubagaimanapun, sebagai pencinta sukan Bola Sepak, Syed Saddiq mempunyai keinginan untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara dengan mencontohi pentadbiran TMJ yang membawa JDT mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Kalau Malaysia ada lebih ramai pemimpin seperti Tunku, saya yakin kita akan berjaya mengembalikan zaman kegemilangan negara tercinta,” katanya melalui laman facebook rasminya.

Harapan peminat bola sepak tempatan kepada Menteri Belia dan Sukan yang baharu

Dengan kedudukan ranking skuad Harimau Malaya yang semakin merundum, kebanyakan peminat bola sepak tanah air mahukan perubahan dari segi pengurusan liga, kelab dan pembinaan akademi bola sepak di setiap negeri.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang diilhamkan oleh Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, perlu diteruskan memandangkan ia adalah program berimpak tinggi yang mengkhususkan kepada pembangunan bola sepak dari akar umbi.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq perlu memastikan program NDFP berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran awal beraksi dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) pada tahun 2019.

Rumusan

Kami di Semuanya BOLA, turut mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat Yang Berhormat Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman atas perlantikan selaku Menteri Belia Dan Sukan yang baharu.

Semoga melalui perlantikan ini, industri sukan tanah air, dan bola sepak khasnya akan terus maju ke hadapan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN