Kenali Pemain Kendalian Mauricio Pochettino Yang Berjaya Lakukan Penampilan Pertama Bersama England

Mauricio Pochettino

Kehadiran Mauricio Pochettino di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2013 tanpa disedari telah memberikan kesan yang positif buat pemain dari England yang berjaya dibentuk dengan baik oleh pengurus berasal dari Argentina ini.

Pochettino menjadi pengurus dari Argentina kedua yang membimbing kelab di EPL selepas Osvaldo Ardiles apabila ditawarkan untuk menggantikan Nigel Adkins di Southampton pada Januari 2013.

Pada musim pertamanya di EPL 2012-13, Pochettino membantu Southampton menamatkan cabaran di kedudukan ke-14 dan pada musim penuhnya bersama kelab tersebut pada 2013-14, beliau berjaya membawa The Saints mencipta kedudukan yang lebih baik iaitu tempat ke-8. Kedudukan liga tertinggi buat kelab sejak tahun 2002-03.

Prestasi baik dipamerkan beliau ketika membimbing Southampton kemudiannya telah menarik minat Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy untuk menjadikan Pochettino sebagai pengganti kepada Tim Sherwood pada musim 2014-15.

Kini, Mauricio Pochettino boleh digelar sebagai salah seorang pengurus terbaik yang berada di EPL.

Dalam tempoh sejak 2013 hingga kini, terdapat 11 orang pemain dibawah kendalian Mauricio Pochettino telah berjaya melakukan penampilan pertama mereka bersama skuad kebangsaan England.

Antara pemain-pemain tersebut adalah :

Southampton

1) Rickie Lambert ( 14 Ogos 2013, England lawan Scotland (3-2) ) 

Lambert yang baru sahaja mengumumkan persaraannya dalam bola sepak merupakan pemain pertama dibawah Pochettino berjaya melakukan penampilan bersama England.

Aksi pertama beliau adalah ketika perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Scotland yang menyaksikan Lambert menjadi wira apabila berjaya menanduk masuk jaringan kemenangan buat England pada minit ke-70,  3 minit selepas beliau masuk menggantikan Wayne Rooney.

Lambert telah mencatatkan 11 penampilan bersama skuad England sepanjang kariernya.

2) Fraser Forster ( 15 November 2013, England lawan Chile (0-2) ) 

Penjaga gol berusia 29 tahun ini berjaya melakukan penampilan pertama bersama England pada tahun 2013 apabila diberikan tanggungjawab oleh Roy Hodgson ketika perlawanan bertemu Chile di Wembley.

Namun perlawanan sulung buat anak buah Pochettino di Southampton itu bukanlah permulaan yang indah apabila England tewas 2-0 kepada lawan dari benua Amerika Selatan tersebut hasil dua jaringan dari Alexis Sanchez.

3) Adam Lallana  ( 15 November 2013, England lawan Chile (0-2) )

Beliau yang kini bersama Liverpool turut mengalami nasib yang sama seperti Forster apabila melakukan penampilan pertama dalam kancah bola sepak antarabangsa dengan kekalahan keatas Chile.

Lallana memakai kasut khas pada perlawanan tersebut apabila kasut yang dipakainya diletakkan sulaman bendera England dan disertakan dengan perkataan ‘Cap Num 1’ bagi penampilan sulung tersebut.

Kasut yang dipakai Lallana pada perlawanan pertama bersama skuad England tersebut.

4) Jay Rodriguez  ( 15 November 2013, England lawan Chile (0-2) )

Perlawanan ini merupakan aksi tunggal buat Rodriguez bersama England. Beliau diturunkan sebagai kesebelasan utama pasukan dan digantikan pada minit ke-75 dengan Andros Townsend.

5) Luke Shaw ( 5 Mac 2014, England lawan Denmark (1-0) )

Luke Shaw masuk menggantikan Ashley Cole pada minit ke-45 bagi menikmati penampilan pertamanya bersama England dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan lewat dari Daniel Sturridge.

Ketika itu Shaw baru berusia 18 tahun dan berjaya menunjukkan ketenangannya ketika beraksi pada perlawanan tersebut. Aksi dipamerkannya menjadi bualan banyak pihak dan mengatakan beliau mampu mengisi posisi yang bakal ditinggalkan Ashley Cole ketika itu.

Tottenham Hotspur

6) Harry Kane ( 27 Mac 2015, England lawan Lithuania (4-0) )

Kane yang ketika itu berusia 21 tahun dibawa masuk pada minit ke-71 bagi menggantikan Wayne Rooney dan seterusnya berjaya meledak jaringan sulung pada penampilan sulung selepas beraksi 79 saat bagi jaringan keempat buat England.

Kane kemudiannya membuat penampilan sulung penuh pertama pada 31 Mac 2015 ketika perlawanan menentang Itali.

Kini Kane merupakan pemain utama buat The Three Lions dan bakal menjadi ketua pasukan pada perlawanan bertemu Slovenia pagi nanti.

7) Ryan Mason ( 31 Mac 2015, England lawan Itali (1-1) )

Bekas anak didik Mauricio Pochettino yang kini beraksi bersama Hull City ini membuat penampilan ketika bertemu Itali pada tahun 2015 di Turin.

Mason sempat beraksi selama 16 minit pada perlawanan tersebut dan tidak lagi mendapat panggilan bagi menyertai skuad England selepas itu.

8) Delle Alli ( 9 Oktober 2015, England lawan Estonia (2-0) )

Alli hanya sempat beraksi selama dua minit pada perlawanan ini apabila masuk bagi menggantikan Ross Barkley pada minit ke-88.

Pada 17 November 2015, beliau berjaya mencatatkan jaringan pertama bersama England ketika bertemu Perancis apabila melakukan rembatan cantik dari jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol yang merupakan rakan sepasukannya di Spurs, Hugo Lloris.

9) Eric Dier ( 13 November 2015, England lawan Sepanyol (0-2) )

Dier dimasukkan di minit ke-63 pada perlawanan dimana Sepanyol berjaya meranapkan rekod 15 perlawanan tanpa kekalahan yang dicatatkan England.

Dier kini bersama-sama Kane dan Alli merupakan antara pemain Spurs  yang menjadi pilihan untuk dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan England.

10) Danny Rose ( 26 Mac 2016, England lawan Jerman (3-2) )

Rose mendapat peluang keemasan tersebut apabila pertahanan kiri, Ryan Bertrand mengalami kecederaan dan Hodgson memilih untuk menyenaraikan pemain berusia 27 ini.

Rose berjaya beraksi penuh pada perlawanan sulung tersebut yang menyaksikan jaringan Harry Kane, Jamie Vardy dan Eric Dier berjaya menghampakan penyokong Jerman di Olympiastadion.

11) Kieran Trippier ( 13 Jun 2017, England lawan Perancis (2-3) )

Trippier menjadi pemain ke-76 dalam sejarah Tottenham Hotspur yang melakukan penampilan sulung bersama skuad England.

Beliau sempat beraksi selama 76 minit sebelum digantikan dengan Adam Lallana pada perlawanan tersebut.

Trippier turut mendapat perhatian dari Gareth Southgate bagi menyertai pasukan menjelang perlawanan bertemu Slovenia dan Lithuania pada minggu ini untuk memberikan peluang buat pemain berusia 27 tahun ini menambah kaps antarabangsanya.

 

Mail Online (2017) – http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4946150/Mauricio-Pochettino-produced-11-England-debutants.html

The Guardian (2013) – https://www.theguardian.com/football/2013/aug/15/rickie-lambert-england-debut

Mail Online (2013) – http://www.dailymail.co.uk/sport/worldcup2014/article-2507851/Adam-Lallana-wears-new-boots-England-cap-Chile.html

Daily Record (2013) – http://www.dailyrecord.co.uk/sport/football/football-match-reports/england-0-chile-2-fraser-2797627

Metro UK (2015) – http://metro.co.uk/2015/03/28/harry-kanes-first-england-goal-on-debut-sparks-11487-tweets-around-the-world-in-just-60-seconds-5124484/

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN