Kenali Fabio Quartararo: Pelumba Petronas SRT Yang Digelar ‘The Next Marc Marquez’

Quartararo

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi pelumba termuda yang akan memulakan perlumbaan MotoGP di petak pertama iaitu pada usia 20 tahun 14 hari.

Catatan masa 1 minit 36.880 saat dirakamkan pelumba dari Perancis itu sekaligus memadamkan rekod ciptaan Marc Marquez pada tahun 2013 yang ketika itu berusia 20 tahun 62 hari.

Lebih manis buat Petronas Yamaha SRT apabila seorang lagi pelumba mereka, Franco Morbidelli akan bermula di petak kedua pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol yang diadakan di Litar Jerez itu.

Pencapaian hebat diraih pelumba Petronas Yamaha SRT ini terutamanya buat Quartararo telah menarik minat penulis bagi mengaitkannya dengan kancah bola sepak dunia ketika ini.

Bakat muda menyerlah seperti pemain Ajax Amsterdam

Pelumba muda kelahiran Nice, Perancis itu mempamerkan prestasi meyakinkan pada dua perlumbaan terakhir di Argentina (tempat ke-8) dan Amerika Syarikat (ke-7).

‘Pole position’ di Litar Jerez menguatkan lagi pendapat bahawa beliau mempunyai potensi yang cukup besar untuk menggegarkan saingan MotoGP.

Baru mencecah usia 20 tahun pada 20 April lalu, Quartararo turut dilabel media dan pemerhati sukan permotoran dunia itu sebagai calon ‘Rookie of the Year’ pada musim ini.

Keberanian Petronas Yamaha SRT membariskan Quartararo juga wajar diberikan pujian dan ia merupakan landasan terbaik buat beliau untuk membuktikan kualitinya, begitu juga buat Morbidelli.

Percayalah bahawa kejayaan akan menjelma hasil kerja keras dan kerjasama erat semua pihak.

Situasi hampir serupa buat Ajax Amsterdam yang mempertaruhkan ramai bakat muda berkaliber bagi diadunkan dengan pemain berpengalaman sekaligus menjadi resipi kecemerlangan kelab tersebut pada musim ini.

Reaksi gembira Quartararo selepas berjaya menduduki ‘pole position’.

Nama seperti Matthijs de Ligt, Frenkie De Jong, Kasper Dolberg, Donny van de Beek, David Neres, Noussair Mazraoui dan ramai lagi merupakan bakat besar yang menjadi tunjang kekuatan buat skuad Ajax Amsterdam.

Hasil kombinasi tersebut, Ajax kini berpeluang untuk memenangi kejuaraan berganda (Treble) apabila sedang menduduki tangga teratas Liga Eredivisie, terikat 80 mata dengan PSV Eindhoven ketika saingan hanya berbaki dua perlawanan.

Ajax juga memiliki kelebihan satu jaringan menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah berdepan Tottenham Hotspur di laman sendiri dan turut akan beraksi pada perlawanan akhir TOTO KNVB Cup malam ini.

Masih cemerlang dengan jentera ‘average’

Ketika berlumba di saingan Moto2 musim lalu, Fabio Quartararo telah menggunakan casis Speed Up. Ia berbeza dengan pasukan lain yang lebih memilih untuk menggunakan casis jenama Kalex.

Kali terakhir casis selain daripada Kalex yang berjaya memenangi kejuaraan keseluruhan Moto2 adalah pada tahun 2012 menerusi Marc Marquez ketika menggunakan casis Suter. Selepas itu, Kalex terus mendominasi sehingga ke musim lalu.

Ia jelas menunjukkan casis Kalex memiliki reputasi yang masyhur tetapi Quartararo masih mampu mempamerkan persembahan meyakinkan bersama Speed Up dengan menamatkan saingan di tangga ke-10 keseluruhan.

Di samping itu, status pasukan Petronas Yamaha SRT sebagai pasukan satelit juga menyaksikan Quartararo akan mendapat jentera yang sedikit ‘kurang’ berbanding pasukan ‘factory’.

Ia bagaimanapun tidak langsung menjadi penghalang buat beliau untuk mempamerkan kehebatannya.

LEICESTER, ENGLAND – MAY 07: Captain Wes Morgan and manager Claudio Ranieri of Leicester City lift the Premier League Trophy after the Barclays Premier League match between Leicester City and Everton at The King Power Stadium on May 7, 2016 in Leicester, United Kingdom. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

Leicester City telah membuktikannya dengan skuad yang ‘averange’ masih mampu untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris 2015/16.

Ketika tumpuan diletakkan kepada pasukan utama seperti Chelsea, Manchester City, Arsenal dan beberapa pasukan lagi, skuad yang ketika itu dibimbing Claudio Ranieri menepis segala cabaran dengan membanggakan.

Begitu juga dengan Wolverhampton Wanderers pada musim ini. The Wanderers yang diramal akan bergelut di zon penyingkiran telah membuktikan kemampuan dengan aksi cukup meyakinkan.

Wolves kini ditangga ke-7 dengan 57 mata serta mencatatkan beberapa kejutan dengan menumpaskan Chelsea, Manchester United dan Arsenal dalam saingan EPL dan turut menundukkan Liverpool di pusingan ketiga Piala FA.

Pecah dominasi pelumba Itali dan Sepanyol

Apabila menceritakan tentang saingan MotoGP, sudah pasti dominasi pelumba dari Sepanyol dan Itali sentiasa menjadi sebutan.

Rekod baru yang dicipta Quartararo itu sedikit sebanyak memberikan gambaran pelumba negara lain juga masih mampu untuk menyinar dalam pentas MotoGP.

MADRID, SPAIN – MARCH 05: Ajax players celebrate victory after the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between Real Madrid and Ajax at Bernabeu on March 05, 2019 in Madrid, Spain. (Photo by David Ramos/Getty Images)

Ia juga terjadi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini apabila Ajax dengan cemerlang ‘menendang’ gergasi bola sepak Eropah seperti Real Madrid dan Juventus keluar daripada persaingan.

Satu perkara yang menarik apabila sebuah dominasi itu berjaya dipecahkan!

Kesimpulan

Kami tertarik dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh bekas pemain Liverpool Alan Hansen yang berkata: “You don’t win anything with kids.”

Tapi dalam sukan, keterujaan semangat orang muda – seperti Quartararo dan Ajax Amsterdam contohnya – yang membuatkan sukan menjadi menarik untuk ditonton dan dinikmati oleh peminat.

Kami di Semuanya BOLA ingin mengucapkan selamat berjaya buat Quartararo dan pasukan Petronas Yamaha SRT dalam sirkit MotoGP di Jerez!

Kredit foto: Petronas SRT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN