Kenali 16 Pasukan Yang Bertanding Dalam Kejohanan AFC B-23

Tahun ini merupakan edisi ketiga kejohanan AFC B-23 yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Sebanyak 16 pasukan muda terbaik dari seluruh Asia akan berentap dalam kejohanan yang bermula pada hari ini hingga 27 Januari 2018 di China.

Berikut ialah 16 pasukan yang bertanding mengikut kumpulan masing-masing.

Nama pasukan: China

Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2014, 2016)

Bagaimana mereka layak: Sebagai tuan rumah

Prestasi China dalam kejohanan AFC B-23 edisi 2014 dan 2016 agak hambar apabila mereka tersingkir di peringkat kumpulan dan gagal mengutip sebarang mata.

Selepas prestasi yang mengecewakan di Oman pada tahun 2014, China menunjukkan sedikit peningkatan pada edisi kedua di Qatar pada tahun 2016.

Ketika itu mereka diundi bersama Syria, Iran dan Qatar, China berjaya menjaringkan 1 gol melalui Liao Lishen dan kalah 3-1 kepada Qatar.

Liao turut menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Syria tetapi pasukan dari asia barat itu bangkit menewaskan China dengan jaringan yang sama 3-1.

China juga mencatat kekalahan ketiga di tangan Iran, 2-3 sekaligus tersingkir dari peringkat kumpulan dan menjadikan edisi 2016 sebagai mimpi buruk buat pasukan itu.

Walaupun layak ke edisi 2018 selaku tuan rumah, mereka turut mengambil bahagian dalam saingan kelayakan AFC B-23 di Phnom Penh, Kemboja. Mereka seri 0-0 dengan Kemboja kemudian mencatat kemenangan 2-0 ke atas Filipina sebelum mengejutkan juara bertahan, Jepun, 2-1.

Pemain tumpuan pasukan China ialah pemain sayap pasukan Shanghai SIPG, Wei Shihao dan pemain pertahanan Beijing Renhe, Deng Hanwen, kedua-duanya mempunyai caps dengan pasukan kebangsaan China.

Mereka juga mempunyai seorang penyerang yang bermain untuk kelab jerman, Werder Bremen, Zhang Yuning yang dianggap sebagai bintang China di masa hadapan.

Nama pasukan: Qatar

Pencapaian terbaik: Tempat ke 4 (2016)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan C saingan kelayakan AFC B-23

Walaupun tidak bertanding pada edisi pertama pada tahun 2014, Qatar berjaya mempamerkan prestasi yang menakjubkan apabila menduduki tempat ke 4 pada edisi kedua kejohanan AFC B-23 pada tahun 2016 selepas tewas kepada Iraq dalam penentuan tempat ketiga yang menawarkan tiket ke sukan Olimpik.

Skuad bimbingan Felix Sanchez pada edisi 2018 dibentuk oleh sebahagian pemain yang pernah beraksi pada edisi 2016 dan telah dilatih oleh Sanchez sejak mereka bermain dengan pasukan bawah 19 tahun Qatar.

Diketuai oleh bintang muda Qatar, Akram Afif dan Ahmed Moein, dua pemain ini menyinar ketika beraksi dalam kejohanan AFC B-19 dimana mereka membantu Qatar menewaskan Korea Utara di perlawanan akhir dan Moein dinobatkan sebagai pemain paling bernilai kejohanan itu.

Prestasi mantap ketika edisi 2016 membuktikan program pembangunan Qatar semakin menunjukkan hasilnya kerana mereka sedang dalam perancangan untuk membina sebuah pasukan yang kuat untuk tahun 2022, iaitu tahun mereka menjadi tuan rumah untuk kejohanan Piala Dunia FIFA.

Selain Afif dan Moein, mereka juga diperkuatkan oleh Almoez Ali, penjaring untuk pasukan Al-Duhail ketika dalam saingan AFC Champions League dan Assim Madibo yang bermain untuk kelab divisyen 1 Belgium, KAS Eupen.

Nama pasukan: Uzbekistan

Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2014, 2016)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan D saingan kelayakan AFC B-23

Uzbekistan layak secara merit kejohanan AFC B-23 dengan menjuarai kumpulan D apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan tuan rumah saingan kelayakan, UAE 2-0.

Walaupun mempunyai rekod layak secara merit dalam 2 edisi sebelum ini tetapi mereka masih gagal melepasi peringkat kumpulan dan skuad bimbingan Ravshan Khaydarov ini berharap edisi 2018 akan mengubah nasib pasukannya.

2 tahun lepas di Doha, skuad yang dikenali sebagai “White Wolves” ini tewas dalam 2 perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan dan Iraq sebelum menewaskan Yemen 3-1. Namun begitu, keputusan itu tidak cukup untuk membawa mereka mara ke peringkat suku akhir.

Pada aksi saingan kelayakan dari kumpulan D, Uzbekistan menewaskan Lebanon 3-1 dan Nepal 2-0 sekaligus menempah tiket ke kejohanan AFC B-23 buat kali ketiga berturut-turut.

Nama pasukan: Oman

Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2014)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan A saingan kelayakan AFC B-23

Tuan rumah edisi pertama kejohanan AFC B-23, Oman mungkin merupakan pencabar terkuat untuk saingan edisi 2018 di China apabila mereka menunjukkan peningkatan ketika saingan kelayakan dengan menjuarai kumpulan A.

4 tahun lalu di halaman sendiri, skuad ini menewaskan Myanmar 4-0 di perlawanan pembukaan tetapi tersingkir selepas tewas kepada Jordan dan Korea Selatan. Mereka juga gagal layak secara merit ke kejohanan AFC B-23 pada tahun 2016.

Pada aksi saingan kelayakan di Kyrgyzstan, skuad bimbingan Hamad Al Azani ini begitu menonjol dengan kehadiran 2 bintang muda yang sedang meningkat iaitu penyerang mereka, Muhsin Al Ghassani dan Jameel Al Yahmadi.

Kumpulan A yang dihuni oleh 3 pasukan setelah Sri Langka menarik diri menyaksikan Oman menewaskan tuan rumah, Kyrgyzstan dengan jaringan 5-1 sebelum mencipta kejutan menewaskan pasukan gergasi Asia, Iran 2-0 hasil jaringan daripada Muhsin Al Ghassani dan Jameel Al Yahmadi sekaligus menempah tiket ke China.

Nama pasukan: Jepun

Pencapaian terbaik: Juara kejohanan (2016)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan J saingan kelayakan AFC B-23

Juara bertahan, Jepun menjuarai kejohanan AFC B-23 buat kali pertama dalam sejarah bola sepak itu apabila mereka menewaskan Korea Selatan, 3-2 pada perlawanan akhir yang cukup mendebarkan di Qatar.

Walaupun Jepun tersingkir di peringkat suku akhir pada kejohanan edisi pertama di Oman, mereka kembali bangkit mendapatkan slot olimpik pada tahun 2016.

Pada eidisi 2016, skuad Blue Samurai ini menewaskan Korea Utara di perlawanan pembukaan sebelum menewaskan Thailand 4-0 dan mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi, 2-1 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan.

Di peringkat suku akhir, mereka terikat 0-0 kepada Iran sehingga 90 minit perlawanan. Jepun kemudian mencipta kejutan apabila bangkit menewaskan Iran 3-0 pada masa tambahan termasuk 2 gol daripada bintang muda mereka, Shoya Nakajima.

Mereka membuktikan kemaraan ke peringkat separuh akhir bukan kerana bernasib baik apabila menewaskan Iraq 2-1 dengan jaringan minit akhir daripada Riki Harakawa menempatkan Jepun di perlawanan akhir dan tiket ke sukan olimpik Rio 2016.

Di perlawanan akhir, pencabar terkuat mereka, Korea Selatan memberikan saingan yang cukup sengit. Korea Selatan mendahului dengan jaringan 2-0 di separuh masa pertama namun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat pasukan Jepun apabila mereka bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan Takuma Asano dan Shinya Yajima.

Takuma Asano muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan di minit akhir  yang menobatkan Jepun sebagai juara kejohanan AFC B-23 2016.

Nama pasukan: Korea Utara

Pencapaian terbaik: Suku Akhir (2016)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan G saingan kelayakan AFC B-23

Korea Utara menyasarkan untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka seperti edisi 2016 di Qatar dengan mara ke peringkat suku akhir dalam saingan edisi 2018 di China.

Selepas tersingkir dari peringkat kumpulan pada edisi pertama, Korea Utara bangkit dari kekalahan 1-0 kepada Jepun di perlawanan pembukaan di Doha sebelum seri 3-3 dengan Arab Saudi.

Mereka kemudiannya gagal menewaskan Thailand apabila terikat 2-2 tetapi berjaya mencipta sejarah mara ke peringkat suku akhir berdasarkan kelebihan rekod head to head dengan pasukan Thailand dan Arab Saudi.

Di peringkat suku akhir, skuad ini dijadualkan berdepan tuan rumah, Qatar dan tewas melalui sepakan penalti daripada Akram Afif. Berdasarkan prestasi Qatar yang sentiasa menyerang pasukan Korea Utara, jaringan satu gol itu sudah cukup selesa untuk menyingkirkan Korea Utara tetapi mereka silap apabila Korea Utara yang tidak mengenal erti putus asa berjaya menjaringkan gol di minit akhir perlawanan.

Walaubagaimanapun, kegembiraan Korea Utara menyamakan kedudukan tidak kekal lama apabila Qatar berjaya menyempurnakan peluang untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir dengan jaringan 2-1.

Skuad Korea Utara tidak mempunyai masalah untuk layak secara merit ke China apabila mudah menewaskan Laos dan Taiwan serta seri dengan Hong Kong lalu muncul sebagai juara kumpulan.

Nama pasukan: Thailand

Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2016)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan H saingan kelayakan AFC B-23

Thailand membuat penampilan kedua dalam kejohanan AFC B-23 edisi 2018 di China apabila layak secara merit melalui kedudukan tempat kedua terbaik dalam kumpulan H yang turut menempatkan 2 pasukan terbaik dari Asia Tenggara, Malaysia dan Indonesia.

Sebagai tuan rumah saingan kelayakan, skuad “War Elephants” ini bermula dengan hambar apabila hanya mampu seri dengan Mongolia dan kemudian bangkit menewaskan Malaysia 3-0.

Namun begitu, hasrat mereka untuk muncul sebagai juara kumpulan tidak kesampaian apabila gagal menewaskan Indonesia yang menyaksikan slot juara kumpulan menjadi milik Malaysia.

Thailand menyasarkan untuk menampilan persembahan yang lebih baik berbanding edisi 2016 di Qatar di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan walaupun bersaing sengit  dan seri dengan finalist edisi 2014, Arab Saudi.

Ketika itu mereka berpeluang mara ke suku akhir jika menewaskan Korea Utara di perlawanan terakhir peringkat kumpulan walaupun sebelum itu Jepun turut membelasah pasukan Thailand dengan jaringan 4-0.

Nama pasukan: Palestine

Pencapaian terbaik: Penampilan pertama (2018)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan E saingan kelayakan AFC B-23

Palestine mempamerkan prestasi yang menakjubkan dalam saingan kelayakan apabila muncul sebagai juara kumpulan yang membolehkan mereka membuat penampilan pertama dalam saingan AFC B-23 di China.

Pada peringkat kelayakan kumpulan E yang berlangsung di Hebron, Palestine menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila menewaskan musuh ketat, Jordan dengan jaringan 3-2 di hadapan ribuan penyokong mereka selepas ketinggalan 0-2.

Mereka turut menewaskan Bangladesh 3-1 sebelum terikat 2-2 dengan Tajikistan yang menyaksikan pasukan itu mencatat sejarah muncul sebagai juara kumpulan dan mara ke AFC B-23 buat kali pertama.

Pada edisi 2018, Palestine adalah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah kerana mereka menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan dan diperkuatkan oleh bintang muda, Mahmoud Abuwarda yang menjaringkan hatrik ketika menentang Bangladesh.

Nama pasukan: Iraq

Pencapaian terbaik: Juara kejohanan (2014)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan B saingan kelayakan AFC B-23

Iraq mempunyai rekod yang cukup mantap dalam saingan AFC B-23 apabila menjadi pasukan pertama yang menjuarai kejohanan ini pada tahun 2014 dan meraih tempat ketiga dalam saingan yang sama lalu menempah tiket ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil pada tahun 2016.

Selepas diundi dalam kumpulan maut dan menewaskan Arab Saudi, Uzbekistan dan China pada edisi 2014, Iraq turut mencipta kejutan apabila mereka menewaskan 2 pasukan gergasi asia iaitu Jepun dan Korea Selatan dengan jaringan 1-0 lalu menempah tiket ke perlawanan akhir dimana Mohanad Abdulraheem menjaringan go kemenangan ke atas Arab Saudi untuk muncul sebagai juara.

2 tahun kemudian di Qatar, mereka meneruskan kecemerlangan itu apabila berjaya merebut satu slot ke sukan olimpik. Pertukaran jurulatih pada lewat tahun 2016 menyaksikan skuad ini berjaya melahirkan 3 bintang muda yang berkaliber iaitu Alaa Mahawi, Amjed Attwan dan Hussein Alla yang dilantik jadi kapten.

Iraq turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan kelayakan apabila menewaskan Afghanistan, Bahrain dan Arab Saudi untuk membuat penampilan ketiga di China.

Nama pasukan: Jordan

Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (2014)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan E saingan kelayakan AFC B-23

Jordan turut membuat penampilan kali ketiga dalam kejohanan AFC B-23 dan menyasarkan untuk mara ke separuh akhir pada edisi 2018 di China.

Skuad yang dikenali sebagai ‘Al Nashama’ menduduki tempat ketiga pada edisi 2014 di Oman sebelum mara ke suku akhir 2 tahun lepas.

Pada tahun 2016, Jordan diundi berada dalam kumpulan D dan berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Vietnam, kemudian seri tanpa jaringan dengan Australia dan UAE lalu menyaksikan pasukan ini menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan kedudukan kedua tanpa kalah.

Kemampuan mereka melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi kejohanan sebelum ini memberi amaran awal kepada pasukan dalam kumpulan C yang dihuni oleh Iraq, Arab Saudi dan Malaysia.

Jordan juga pernah berdepan mimpi buruk dalam kejohanan ini apabila gagal mendapat slot ke Sukan Olimpik selepas mereka dikecewakan oleh Korea Selatan dengan jaringan 1-0.

Mereka kali ini mahu menebus kekecewaan itu di China apabila menyenaraikan penyerang berbisa Al Wehdat, Baha’ Faisal dalam skuad utama.

Nama pasukan: Arab Saudi

Pencapaian terbaik: Tempat kedua (2014)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan B saingan kelayakan AFC B-23

Naib juara edisi 2014, Arab Saudi adalah antara 10 pasukan yang telah layak secara merit ke kejohanan AFC B-23 kali ketiga berturut-turut. Namun begitu, mereka masih dihantui oleh mimpi buruk tersingkir dari peringkat kumpulan ketika kejohanan edisi 2016 di Qatar.

Penyerang Al Nassr, Abdulaziz Al Aryani mengetuai jentera serangan pasukan skuad bawah 23 tahun Arab Saudi. Beliau menjaringkan 3 gol ketika dalam saingan kelayakan dimana Arab Saudi menamatkan saingan di kedudukan kedua dalam kumpulan B selepas mencatat kemenangan ke atas Bahrain dan Afghanistan.

Skuad bimbingan Daniel Tigali itu membawa barisan terkuat kali ini termasuk bekas pemain skuad B-17 England, Mukhtar Ali dan pemain kelahiran Amerika, Faris Abdi.

Dua pemain ini dibawa masuk oleh jawatankuasa pencari bakat Arab Saudi untuk di serapkan ke dalam skuad senior bimbingan Juan Antonio Pizzi bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2018 di Russia.

Kejohanan ini juga menjadi pentas untuk barisan pemain muda Arab Saudi memikat panel jurulatih skuad senior untuk dipilih mewakil negara dalam Piala Dunia tahun ini.

Nama pasukan: Malaysia

Pencapaian terbaik: Penampilan pertama (2018)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan H saingan kelayakan AFC B-23

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun mencipta sejarah tersendiri pada tahun ini apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak sukan SEA. Namun begitu, hajat untuk mengulangi pencapaian memenangi pingat emas temasya Sukan SEA 2011 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam.

Selain terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee juga gagal menebus kekecewaan temasya sama pada tahun 2001 yang menyaksikan Malaysia turut tewas 0-1 kepada Thailand.

Walaubagaimanapun, kegagalan itu tidak begitu dirasai kerana skuad negara turut mencipta sejarah layak ke kejohanan AFC U23 Championship secara merit buat pertama kali dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.

Lebih membanggakan mereka mengesahkan tiket ke pusingan akhir kejohanan tersebut selepas muncul sebagai juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand, Julai lepas.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan tersebut dengan enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan sekaligus menempah tiket ke China.

Nama pasukan: Korea Selatan

Pencapaian terbaik: Tempat kedua (2016)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan I saingan kelayakan AFC B-23

Korea Selatan menamatkan saingan di kedudukan keempat pada edisi 2014 dan kemudian mereka menunjukkan peningkatan mendadak apabila melangkah ke perlawanan akhir dan muncul sebagai naib juara pada 2 tahun lalu di Qatar.

Pada edisi 2016, skuad ini tewas kepada Jepun 2-1 di perlawanan akhir. Sebelum itu, mereka bermula dengan cemerlang apabila menewaskan Uzbekistan 2-1 di peringkat kumpulan kemudian bintang muda mereka, Kwon Chang-Hoon menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-0 ke atas Yemen.

Korea melangkah ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri dengan juara bertahan, Iraq dan kemenangan ke atas Jordan di peringkat suku akhir mengesahkan tempat mereka sebagai 4 pasukan terbaik.

Jaringan daripada Kwon dan Moon Chang Jin ke atas Qatar di separuh akhir sudah cukup untuk membolehkan Korea Selatan menempah tiket ke sukan Olimpik dan perlawanan akhir bertemu Jepun.

Meskipun tewas kepada Jepun, Korea tekad mahu mengulangi semula pencapaian itu dengan mara ke peringkat akhir dalam edisi 2018 di China.

Nama pasukan: Australia

Pencapaian terbaik: Suku akhir (2014)

Bagaimana mereka layak: Juara kumpulan F saingan kelayakan AFC B-23

Penyingkiran daripada peringkat kumpulan bukanlah misi utama skuad bawah 23 tahun Australia kali ini. Mereka menyasarkan untuk mara ke peringkat suku akhir di China.

Walaupun skuad ini berdepan beberapa masalah dalaman berikutan kelab-kelab Liga Australia enggan melepaskan pemain muda terbaik mereka ke kejohanan AFC B-23, mereka tetap akan bertanding dengan membawa barisan terkuat ke China.

Pada kempen kelayakan di Yangon, Myanmar, skuad Australia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brunei dan kemudian membelasah pasukan Singapore 7-0.

Kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah, Myanmar memastikan skuad ‘Young Soocerroos’ itu menempah tiket ke China pada tahun ini dan diundi dalam kumpulan D dengan Korea Selatan, Syria dan Vietnam.

Nama pasukan: Syria

Pencapaian terbaik: Suku akhir (2014)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan C saingan kelayakan AFC B-23

Syria kali ini dibarisi oleh ramai pemain muda yang berpengalaman dan mempertaruhkan barisan pemain yang membantu skuad senior mereka menghadapi kempen cemerlang dalam saingan kelayakan Piala Dunia tahun lepas.

Sebahagian daripada skuad ini juga pernah beraksi untuk pasukan bawah 23 tahun Syria ketika edisi 2014 di Oman dan membantu Syria layak ke suku akhir.

Nassouh Al Nakdali, Hamid Mido dan Mardik Mardikian menjaringkan gol untuk pasukan Syria di peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah kemudian mereka tewas kepada Korea Selatan di peringkat suku akhir.

2 tahun kemudian di Qatar, Syria telah membawa masuk beberapa bintang muda berbakat seperti Omar Khribin yang menerima anugerah sebagai pemain terbaik AFC 2017.

Seperti pasukan lain, skuad Syria tekad mengulangi pencapaian pada tahun 2014 dan menyasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir pada edisi kali ini.

Nama pasukan: Vietnam

Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2016)

Bagaimana mereka layak: Tempat kedua terbaik kumpulan F saingan kelayakan AFC B-23

Selain Thailand dan Malaysia, Vietnam juga merupakan wakil dari asia tenggara yang ketiga dalam kejohanan kali ini.

Mereka membuat penampilan kedua berturut-turut sejak layak secara merit buat kali pertama 2 tahun lalu di Qatar.

Prestasi mereka dalam edisi di Qatar tidak begitu memuaskan apabila mencatat 3 kekalahan dan tersingkir dari peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.

Berdasarkan pengalaman beraksi di kejohanan AFC B-23 pada tahun 2016, Vietnam tidak meletakkan harapan tinggi dan akan melakukan yang terbaik untuk mengejutkan pasukan gergasi asia yang lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN