Kembali Bangkit Dari Bergelut, Elavarasan Pencetus Utama Peningkatan Prestasi Melaka United

Elavarasan

Musim 2018 menjadi tahun kedua buat Melaka United beraksi di Liga Super sejak penjenamaan semula bermula 2014.

Bukan satu perjuangan yang mudah buat Melaka pada permulaan musim walaupun berjaya mencatat tiga kemenangan dalam lapan aksi. Namun, mereka kalah lima kali dalam tempoh tersebut

Ketua jurulatih, Eduardo Almeida menjadi mangsa kecaman dan kritikan penyokong Melaka United apabila sekadar mencatatkan 4 kemenangan daripada lapan perlawanan Liga Super.

Nyata hilang sabar dengan pencapaian tersebut, pihak pengurusan Melaka United mengambil keputusan untuk menyingkirkan Almeida dan melantik jurulatih berpengalaman tempatan iaitu E. Elavarasan.

Elavarasan tidak mengambil masa yang lama untuk menuai kegembiraan dalam jiwa penyokong Melaka United yang mengharapkan musim yang lebih baik pada 2018.

Tugasan sulung digalas beliau adalah ketika menentang Perak yang berada di tangga kedua Liga Super. Segalanya berjalan seperti diharapkan apabila Melaka United berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan.

Kemenangan pertama Elavarasan hanya hadir pada perlawanan keempat beliau bersama ‘Sang Kancil’ ketika mereka mengejutkan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman.

Elavarasan juga tidak terlepas dari merasai kehangatan dalam tugasannya apabila turut melalui prestasi tidak konsisten bersama Melaka United.

Prestasi tidak menentu dipamerkan apabila mereka menang 4-3 menentang Kuala Lumpur tetapi kecundang 4-2 menentang lawan yang sama di laman sendiri.

Bekas import Felda United, Ifedayo Olusegun di bawa masuk Elavarasan untuk membantu meningkatkan prestasi Melaka United.

Percaturan beliau membuahkan hasil apabila pemain tersebut begitu tajam di hadapan gol untuk seringkali menghadiahkan Melaka United jaringan.

Dalam empat perlawanan terakhir, Melaka United mencipta dua kemenangan dan dua keputusan seri. Mereka membelasah Kedah 4-1  dan menundukkan Selangor 3-2.

Penyokong Melaka United kini boleh menarik nafas lega melihat skuad kebanggaan mereka menduduki lapan tangga teratas Liga Super dan tidak perlu memikirkan untuk mengelak dari zon penyingkiran.

Jelas sekali pencetus utama peningkatan prestasi Melaka United musim ini layak diberikan kepada Elavarasan yang melakukan beberapa pertukaran sistem yang menguntungkan Melaka United sendiri.

Harapan penulis yang merupakan penyokong Melaka United agar E. Elavarasan terus memacu kejayaan untuk Melaka United. Masih ada Piala Malaysia untuk di rebut dan persaingan Liga Super musim hadapan.

Foto: MFL

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Azhan Mohi. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram