Kelonggaran PKPB Timbul Lebih Banyak Soalan Dari Pengusaha Padang

Kerjasama Semuanya BOLA

Pada 17 Oktober lepas, kerajaan mengumumkan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pengusaha padang bola sepak dan gelanggang futsal.

Sebelum ini operasi di dua tempat ini ditutup sepenuhnya bermula 14 hingga 27 Oktober di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Penutupan operasi ini menimbulkan kerisauan yang besar dalam kalangan pemain industri sukan tempatan yang sudah pun terjejas teruk akibat perlaksanaan PKP dan PKPB sebelum ini.

Tetapi selepas pengumuman 17 Oktober itu, padang dan gelanggang futsal dibenarkan dibuka semula dengan beberapa syarat.

Pertama, padang bola dan gelanggang futsal hanya dibenarkan dibuka bagi tujuan latihan sahaja. Kapasiti maksimum pengunjung pula terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa.

Kedua, kebenaran ini akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober 2020. SOP selanjutnya akan diumumkan oleh Kementerian Belia & Sukan (KBS) dalam masa terdekat.

Pengumuman kelonggaran PKPB ini menimbulkan reaksi berbeza-beza dalam kalangan pengusaha operasi padang di Lembah Klang, seperti yang didapati oleh Semuanya BOLA semalam.

Permintaan buat latihan rendah

Menurut Pengarah Urusan Arena Legacy Sdn Bhd Nadzry Abu Bakar, beliau berterima kasih dengan inisiatif KBS yang mendengar keluhan pengurus operasi padang sepertinya.

Nadzry Abu Bakar (tiga dari kiri) ketika majlis pelancaran padang Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada Disember 2019 (Foto: Noah Ismail Wong)

Tetapi syarat pembukaan padang yang terhad kepada tujuan latihan tidak akan membantu syarikatnya.

“90% permintaan padang adalah untuk perlawanan persahabatan dan liga. Demografik kami terdiri daripada komuniti bola sepak amatur dan sosial. Mereka tiada keperluan untuk menyewa padang untuk melakukan latihan kerana tiada kemampuan kewangan. Jadi permintaan sewa padang untuk latihan sangatlah rendah,” jelas Nadzry.

“Kalau kami buka semula operasi hanya untuk latihan, kami mungkin akan menanggung lebih banyak kerugian. Jadi kelonggaran PKPB ini membuatkan kami bingung.

Menurut Nadzry yang mengurus tiga kompleks padang komersil, di Arena 26 Shah Alam, Radia Arena Bukit Jelutong dan Gardens Arena Sungai Buloh, harapan sebenar pengusaha padang sepertinya adalah untuk melihat operasi mereka dibenarkan seperti biasa – tetapi dalam jumlah yang terhad.

“Mungkin kerajaan boleh hadkan jumlah perlawanan setiap hari. Atau hadkan jumlah padang yang boleh dimainkan di setiap lokasi.

“Kita semua tahu, selagi belum ada vaksin, kita akan hidup dengan COVID-19 untuk jangka masa yang lama. Jadi kami berpendapat kerajaan kena pandang kes kami mengikut dasar kes demi kes berbanding tutup sektor sukan secara menyeluruh.

“Samalah macam apa yang kerajaan buat di pusat membeli-belah di mana premis yang ada kes sahaja ditutup. Bukannya semua premis.”

Syarat kelonggaran PKPB tak praktikal dari segi kos

Sementara itu bagi Shazwan Wong, pengurus padang komersil New Camp di Bandar Utama, syarat kelonggaran yang diumumkan kerajaan baru-baru ini ibarat ‘membenarkan restoran dibuka untuk minum, tapi tak boleh makan’.

“Susah nak dapat klien membuat tempahan sewa padang hanya untuk latihan. Lebih-lebih lagi bila ada had 10 pemain.

shazwan wong akademi bola sepak
Shazwan Wong mohon penjelasan lanjut kerajaan mengenai syarat had 10 pemain di fasiliti sukan semasa PKPB (Foto: Shazwan Wong)

Shazwan turut mempersoalkan rasional penyeragaman had pemain di dua fasiliti sukan yang mempunyai keluasan berbeza.

“Padang bola sepak 4-8 kali lebih besar daripada gelanggang futsal. Tapi had pemain di dua fasiliti ini tetap sama, iaitu 10 orang.

“Padang dan gelanggang futsal pula beroperasi dengan kos yang berbeza. Sebab lampu memakan kos besar di padang. Bayangkan sebuah pasukan sewa padang untuk latihan. Tapi 10 pemain sahaja boleh berlatih. 10 pemain ini hanya guna 1/4 keluasan padang sahaja – walaupun dengan SOP yang menetapkan penjarakan sosial tiga meter. Tapi lampu tetap kena buka untuk keseluruhan padang.”

“Kemudian, kami juga masih tak jelas. Adakah had 10 pemain ini tertakluk di satu gelanggang/padang sahaja, atau 10 pemain di seluruh kompleks futsal/padang?”

Rela tutup padang selagi kes masih tinggi

Bagaimanapun seorang lagi pengusaha fasiliti sukan di Lembah Klang yang tak mahu dinamakan mempunyai pendapat berbeza.

“Bagi saya, kalau kerajaan benarkan fasiliti sukan dibuka sekali pun ketika kes [COVID-19] sedang tinggi, orang tetap takkan datang. Sebab orang akan takut. Tak guna juga buka.

“Kalau kita buka padang, pasukan A akan bawa sekian jumlah pemain. Pasukan B pun bawa sekian jumlah pemain. Sebelum, semasa dan selepas perlawanan, mereka akan melepak. Walaupun kita cakap kita akan jaga SOP, kalau ada seorang yang positif, fasiliti sukan akan ada kluster.

Menurutnya, beliau faham dengan dilema yang dihadapi oleh kerajaan.

“Saya mungkin akan marah kalau kerajaan masih tutup operasi fasiliti sukan walaupun jumlah kes sedang rendah. Tapi kalau jumlah kes sedang tinggi macam sekarang, saya setuju kerajaan menutup operasi fasiliti sukan.”

Tunggu SOP kelonggaran PKPB

Ketika ini apa yang boleh semua pengusaha padang dan gelanggang futsal ini boleh buat adalah menunggu SOP khas yang bakal dikeluarkan oleh KBS dalam masa terdekat. Diharapkan SOP ini akan dapat menjawab semua soalan susulan kelonggaran PKPB baru-baru ini.

Walaupun ada pengusaha fasiliti sukan yang bersetuju dengan langkah kerajaan menutup operasi mereka ketika jumlah kes masih tinggi, Nadzry menimbulkan soalan yang menarik untuk difikirkan.

“Kalaulah COVID-19 ini akan terus berada dalam masyarakat sehingga 1-2 tahun akan datang, adakah ini bermakna industri sukan negara kita akan mati perlahan-lahan dalam masa 1-2 tahun?

“Kami bukan tak peduli tentang aspek keselamatan dan kesihatan awam. Kami hanya mahu solusi yang realistik dalam jangka masa panjang memandangkan pandemik ini takkan berakhir dalam masa terdekat.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

PKPB: Kerajaan Benar Padang Bola Sepak Dan Futsal Dibuka Semula

‘Kerana PKPB Kami Yang Pertama Ditutup, Yang Terakhir Dibuka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram