Kelekaan Saat Akhir, Malaysia Tewas Tipis Di Tangan Lubnan

Malaysia tampil dengan aksi lebih baik berbanding dengan aksi menentang Mongolia. Lubnan menurunkan pasukan yang kuat untuk menghadapi Malaysia dalam perlawanan terakhir mereka meskipun mereka sudah pun sah berada di tangga teratas kumpulan.

Lubnan mendahului Malaysia pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti. Kapten Lubnan, Hassan Maatouk yang dijatuhkan di dalam kotak penalti menyempurnakan tugasan tersebut.

Pada separuh masa kedua, Malaysia beraksi lebih baik daripada separuh masa pertama. Mereka cuba mencari gol penyamaan.

Berpunca daripada sepakan penjuru Nazmi Faiz Mansour, penyerang muda, Syafiq Ahmad menanduk masuk bola untuk Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Kemudian, Malaysia mengendurkan intensiti permainan dan lebih kelihatan mahu membawa keputusan seri pulang ke Kuala Lumpur. Lubnan ternyata mahu menang dalam perlawanan ini.

Mereka melabur lebih ramai pemain di zon serangan. Pada masa kecederaan, Al Helwe melakukan voli deras menewaskan Hafizul Hakim.

Lubnan menang 2-1. Itu adalah kemenangan ke-5 daripada 6 perlawanan kelayakan mereka. Lubnan tidak kalah dan hanya seri sekali untuk mengutip 16 mata daripada 18 yang ditawarkan.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan di tangga tercorot kumpulan B dengan hanya 1 mata. Hanya Macau dan Bhutan yang menamatkan kempen kelayakan lebih teruk daripada Malaysia dengan 0 mata.

Kekalahan ini juga menambahkan lagi penantian kemenangan Malaysia kepada 493 hari ataupun, setahun 4 bulan dan 8 hari. Dalam proses tersebut, Malaysia gagal menang dalam 12 perlawanan terakhir.

Perlawanan seterusnya, Malaysia akan berhadapan dengan Bhutan pada 1 April 2018.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram