Kelayakan Piala Dunia: Khalid Ali Tidak Yakin Dengan Barisan Pilihan Tan Cheng Hoe

Beberapa hari lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini.

Bek kiri JDT, Corbin Ong dan pemain pertahanan tengah PKNS FC, Rodney Celvin adalah antara pemain yang mendapat panggilan daripada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Malah, Cheng Hoe turut melakukan kejutan apabila mengugurkan penyerang Kedah, Zaquan Adha yang memikulkan tugas sebagai kapten ketika dalam saingan Piala Suzuki AFF tahun lalu dan menyenaraikan Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha di posisi serangan.

Bagaimanapun, bekas pemain negara, Khalid Ali menyuarakan pandangan beliau dalam Harian Metro menyifatkan barisan serangan dalam skuad Harimau Malaya kali ini kurang menyengat.

“Saya lihat setakat ini tiada penyerang yang berkualiti iaitu digeruni lawan sekali gus membayangkan kemungkinan agak sukar untuk menewaskan Timor Leste.

“Jika ada penyerang pun, mereka ini jarang bermain untuk pasukan masing-masing dan ada antara mereka hanya memanaskan bangku simpanan saja. Jadi untuk meledak gol pada perlawanan nanti mungkin agak sukar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

FOTO: FAM

Meskipun Malaysia diundi menentang pasukan yang berada dalam kedudukan ranking terendah, Khalid meramalkan skuad negara akan menghadapi kesukaran untuk menundukkan Timor Leste kerana kualiti pasukan lawan sentiasa meningkat setiap tahun.

“Pemain tempatan juga berkebolehan dan hebat namun jika mereka ini kurang mendapat peluang bermain, mereka boleh berkarat dan jika diturunkan mewakili negara, pasti akan tempang.

“Kita tidak boleh terlalu yakin dapat menundukkan lawan kerana pasukan lain semakin bertambah kuat dan berusaha ke arah memajukan bola sepak masing-masing namun kita seperti ketinggalan pula,” katanya.

Jika menang, skuad Harimau Malaya akan mara ke pusingan kedua bersama 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.

Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023. Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram