Kelayakan Piala Dunia: Badi 15 Tahun Berakhir, Malaysia 3-2 Indonesia

Mohamadou Sumareh Malaysia Indonesia

Perlawanan pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno berakhir dengan kemenangan 3-2 berpihak kepada Malaysia, sebentar tadi.

Mohamadou Sumareh yang hanya masuk bermula pada minit ke-36 berjaya muncul sebagai wira dengan dua gol peribadi selain menamatkan badi 15 tahun tanpa kemenangan di GBK membantu Malaysia meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Indonesia dan Malaysia turun dengan formasi yang sama dengan kedua-dua pengendali mempertaruhkan 4-2-3-1. Ia  seakan-akan membayangkan kedua-dua pasukan akan saling mengasak sambil menekan benteng pertahanan menerusi bahagian sayap.

10 minit awal menyaksikan kedua-dua pasukan masih mencari rentak berdepan tekanan Derbi Serumpun dan juga sorakan padu penyokong tuan rumah yang mula bersorak sejak wisel permulaan ditiupkan oleh pengadil daripada Korea Selatan, Ko Hyungjin.

Ia adalah perlawanan penuh emosi dan tekanan antara dua musuh tetangga ini. Indonesia telah berjaya mengasak awal kubu Harimau Malaya menerusi larian melepasi perangkap offside Stefano Lilipaly di sebelah kiri gawang namun berjaya dinafikan Farizal Marlias.

Minit ke-12, Indonesia berada di depan selepas hantaran cantik pemain sayap Saddil Ramdani melepasi tiga pertahanan skuad negara sebelum disambut dengan sentuhan mudah penyerang, Beto Goncalves menewaskan Farizal Marlias di gawang – gol ke-9 peribadinya untuk 9 penampilan bersama Sang Garuda.

Beto Goncalves Farizal Marlias Malaysia Indonesia
FOTO: Team Malaysia

 

Malaysia terselamat dua kali apabila Stefano Lilipaly diperangkap offside namun kelonggaran pertahanan skuad kebangsaan jelas kelihatan apabila Indonesia kerap kali berhasil memecah masuk sehingga ke kawasan gol menerusi hantaran lambung dan rendah daripada Andik Vermansyah mahupun Saddil Ramdani.

Selepas setengah jam, Indonesia mengurangkan tekanan kepada benteng pelawat dan Malaysia dilihat mula tenang dan kembali ke dalam perlawanan yang dikuasai penuh oleh tuan rumah. Ini telah merancakkan tempo dan serangan kedua-dua pasukan.

Minit ke-32, Safawi Rasid hampir menghasilkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma namun ianya sedikit tersasar ke sebelah kanan penjaga gol, Andritany Ardhiyasa – percubaan pertama skuad negara ke gawang Indonesia.

Sentuhan pertama pemain gantian, Mohamadou Sumareh yang  masuk di minit ke-36 telah berhasil mencetak gol penyamaan buat skuad negara selepas menerima hantaran kemas pemain tengah, Nor Azam Azih – gol ke-4 peribadinya untuk skuad kebangsaan.

Sumareh Malaysia Indonesia 2
FOTO: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Tidak bertahan lama, Beto Goncalves meledak gol kedua dari luar kotak penalti buat Indonesia selepas menerima hantaran kemas Andik Vermansyah di sayap kiri tuan rumah pada minit ke-39. Ia bermula dengan kesilapan Matthew Davies yang terlepas kawalan bola sehingga membantu lawan pantas mengasak ke kubu.

Seminit kemudian Harimau Malaya hadir mengasak ke gawang tuan rumah namun percubaan luar kotak Syafiq Ahmad ditepis Andritany Ardhiyasa disusuli tandukkan tersasar oleh Matthew Davies menerusi sepakan penjuru yang diperolehi tersebut.

Babak kedua bermula dengan percubaan Stefano Lilipaly yang berjaya menewaskan Adam Nor Azlin yang diperdaya dua kali sebelum melepaskan rembatan tersasar ke gawang pelawat.

Indonesia kembali mempamerkan penguasaan perlawanan untuk menekan benteng skuad negara di awal babak kedua. Pengendali Sang Garuda, Simon McMenemy telah membuat dua pertukaran awal di babak kedua biarpun mereka beraksi dengan baik.

Syafiq Ahmad Malaysia Indonesia
FOTO: Team Malaysia

Malaysia cuba bangkit menerusi half volley kaki kiri Safawi Rasid selepas menerima hantaran lintang Matthew Davies namun ianya tersasar daripada gawang lawan sebelum Syafiq Ahmad mensia-siakan peluang terbaiknya apabila rembatannya juga tersasar.

Akhirnya Malaysia kembali mengikat kedudukan apabila Syafiq Ahmad yang tampil untuk kaps ke-12 antarabangsanya berjaya menanduk masuk hantaran kemas Safawi Rasid dari bahagian kanan jentera serangan skuad negara di minit ke-66.

Selepas hampir lima minit perlawanan dihentikan akibat gangguan penyokong di minit ke-80, kelihatan rentak dan tempo kedua-dua pasukan sudah sedikit terjejas dan terganggu.

Minit ke-88, Syamer Kutty Abba yang baru sahaja dimasukkan menggantikan Syafiq Ahmad melepaskan peluang keemasan untuk menghasilkan gol apabila dinafikan betul-betul di depan gawang tuan rumah apabila hanya berdepan Andritany Ardhiyasa.

Harimau Malaya terus memburu gol kemenangan di penghujung babak kedua menerusi beberapa asakan yang cuba dicatur kepada Akhyar Rashid yang dimasukkan menggantikan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67 namun berjaya dinafikan benteng lawan.

Bek sayap kiri skuad negara, Corbin Ong juga hampir menjaringkan gol pada minit ke-93 namun percubaannya hanya tersasar diikuti percubaan tersasar Safawi Rasid yang membuat penampilan ke-20.

Di saat perlawanan hampir ditamatkan, Mohamadou Sumareh berjaya meledak gol kemenangan buat skuad kebangsaan di minit ke-98 selepas menerima hantaran rendah Matthew Davies di hadapan gawang Indonesia – gol keduanya malam ini.

Langkah kanan dan tiga mata berharga buat skuad negara sebagai permulaan aksi di pusingan kedua, saingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia kali ini. Ia mematikan terus sorakan puluhan ribu penyokong fanatik tuan rumah sepanjang 98 minit aksi!

Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN